Pekan, 8 April –
Seramai 17 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari Kelab InSmartive
memanfaatkan cuti pertengahan semester mereka dengan memberi khidmat bimbingan
sukarela bagi menjayakan Kem Interaksi Pemimpin Muda (INTEAM) selama satu hari baru-baru
ini di Universiti Malaysia Pahang (UMP) Pekan.
Program INTEAM yang disertai seramai 100 badan
kepimpinan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Lumpur ini merupakan kali
pertama kolaborasi antara kelab InSmartive bersama SMK Tanjong Lumpur.
Menurut Pengurus Projek, Muhammad Bin Baharudin,
22 yang juga mahasiswa Tahun 3 di Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli,
pelaksanaan modul memfokuskan kepada pembentukan jati diri peserta yang
berperanan sebagai pemimpin muda yang matang dan berwibawa.
“Kandungan modul direkabentuk berdasarkan enam
aspirasi pelajar menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025
iaitu Kemahiran Kepimpinan, Kemahiran Berfikir, Etika dan Kerohanian, Identiti
Nasional, Pengetahuan dan Profisiensi Dwibahasa.
“Para peserta telah menjalani pelbagai aktiviti
interaktif bagi menguji semangat kerja berpasukan, kemahiran membuat keputusan,
keupayaan mengendalikan krisis dan bakat pengucapan awam melalui modul-modul
yang dirumus khusus seperti Bursa Saham, My
Destination dan Siapakah Aku” katanya.
Bagi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa & Guru
(PIBG) SMK Tanjong Lumpur, Yang Berusaha Encik Mohd Amran Abd Hamid
mengharapkan supaya jalinan kerjasama yang terjalin antara pihak sekolah dan
UMP melalui inisiatif Kelab InSmartive ini dapat diteruskan pada masa yang akan
datang dan dapat meneruskan menabur bakti kepada anak-anak pelajar SMK Tanjong
Lumpur.
Program menyaksikan Raja Muhammad Iqmal Raja
Ibrahim, 17 dan Siti Hajar Anis Che Mansor, 15 telah diumumkan sebagai Peserta Terbaik
INTEAM semasa Majlis Perasmian Penutup yang disempurnakan oleh Yang Dipertua
PIBG. Turut hadir ialah Ketua Penyelidik, Pejabat Naib Canselor, merangkap
penasihat bagi Kelab InSmartive, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain dan Pembantu
Penyelidik, Pejabat Naib Canselor, Mohd Mukhris Awang.
Berita disediakan oleh Muhammad Firdaus Azman, Setiausaha Bahagian Penerangan Kelab InSmartive dan Muhammad Bin Baharudin, Pengurus Projek Projek manakala foto oleh Muhammad Aminuddin Bin Rosnizan dan Faiz Zuraimiey Bin Samsuddin.