KEM INTERAKSI PEMIMPIN MUDA (INTEAM) SMK CHIKU 2

9:18 PM

KEM INTERAKSI PEMIMPIN MUDA (INTEAM) SMK CHIKU 2

Gua Musang, 21 Januari – Seramai 25 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari Kelab InSmartive memanfaatkan cuti semester mereka dengan memberi khidmat bimbingan sukarela bagi menjayakan Kem Interaksi Pemimpin Muda (INTEAM) selama tiga hari baru-baru ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chiku 2.

  

Program INTEAM yang disertai seramai 90 pengawas SMK Chiku 2 ini merupakan kali ketiga yang dilaksanakan oleh Kelab InSmartive di sekolah berkenaan sejak diperkenalkan pada tahun 2015.

Menurut Pengurus Projek, Nur Afiqah Turidi, 23 yang juga mahasiswa Tahun 2 di Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian, pelaksanaan modul memfokuskan kepada pembentukan jati diri peserta yang berperanan sebagai pemimpin muda yang matang dan berwibawa.

 

“Kandungan modul direkabentuk berdasarkan enam aspirasi pelajar menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu Kemahiran Kepimpinan, Kemahiran Berfikir, Etika dan Kerohanian, Identiti Nasional, Pengetahuan dan Profisiensi Dwibahasa.

“Para peserta telah menjalani pelbagai aktiviti interaktif bagi menguji semangat kerja berpasukan, kemahiran membuat keputusan, keupayaan mengendalikan krisis dan bakat pengucapan awam melalui modul-modul yang dirumus khusus seperti Mulanya Di Sini, Our Anthem!, Work It Out!, Multum In Parvo, 5S, Mari Menyiasat dan Cermin Diri,” katanya.

 

Bagi Pengetua SMK Chiku 2, Md Basri Arifin mengharapkan supaya jalinan kerjasama yang terjalin antara pihak sekolah dan UMP melalui inisiatif Kelab InSmartive ini dapat dikembangkan pula kepada program motivasi kecemerlangan akademik untuk para pelajar khususnya dalam kalangan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Program menyaksikan Mohammad Nuzul Hakimi Mat Zain, 17 dan Nur Idayu Mohd Lutue, 16 telah diumumkan sebagai Peserta Terbaik INTEAM semasa Majlis Perasmian Penutup yang disempurnakan oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,  Wan Adnan Wan Abdullah. Turut hadir ialah Pembantu Penyelidik, Pejabat Naib Canselor, Mohd Mukhris Awang yang mewakili Penasihat InSmartive dan Presiden InSmartive, Asraf Ahmad.



Berita disediakan oleh Muhamad Firdaus Azman, Setiausaha Bahagian Penerangan Kelab In-Smartive dan Nur Afiqah Turidi, Pengurus Projek manakala foto oleh Muhammad Aminuddin Rosnizan dan Khairunnita Safitri Tahir.

You Might Also Like

0 comments

Rakan Blog InSmartive

Total Pageviews