SEMAIAN BUDI MAJLIS EKSEKUTIF

9:23 PM

SEMAIAN BUDI MAJLIS EKSEKUTIF

Pekan, 12 Februari – Jika lazimnya ketahanan fizikal diuji dengan aktiviti lasak seperti mendaki gunung atau kayuhan basikal jarak jauh, namun bagi 20 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari Kelab InSmartive mereka memilih untuk melalui rutin sebagai penternak lembu dan kambing bagi menguji kelasakan dan kekentalan mereka dalam Projek Semaian Budi selama tiga hari baru-baru ini.

 

Dengan tema “Dari Kampus Ke Lapangan Masyarakat”, mahasiswa ini diberikan pendedahan mengenai pengurusan penternakan lembu dan kambing secara moden, sistematik dan bersepadu di DSaba Agro Farm di Kampung Permatang Pauh dan Ladang Ternak Haji Jalalin di Kampung Penadah dekat sini.

Pengurus Projek, Nurnatasha Eizreena Atiqah Abdullah, 20 yang juga mahasiswa Tahun 2 Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli berkata, selain pendedahan terhadap selok-belok industri penternakan, projek ini turut bertujuan membentuk sifat kepimpinan dalam kalangan peserta khususnya dalam konteks gerak kerja berpasukan dan bertanggungjawab terhadap tugasan yang diamanahkan.

 

Bagi Presiden InSmartive, Asraf Ahmad, 26 yang juga mahasiswa pascasiswazah Sarjana Pengurusan Teknologi Industri di Fakulti Pengurusan Industri, walaupun tempoh pelaksanaan projek agak singkat, namun rutin penternak yang dilalui beliau dan peserta lain mendidik unsur kesabaran diri dan ketelitian kerja yang amat penting dalam konteks keberkesanan kepimpinan.

"Para peserta melalui jadual aktiviti yang padat yang diatur pihak pengurusan kedua-dua ladang tersebut sepanjang projek. Mereka berpeluang merasai sendiri pengalaman membersihkan kandang, memandikan ternakan, menuai rumput Napier, memproses najis ternakan sebagai baja, memberi makan kepada ternakan lembu dan kambing serta teknik sembelihan sebagaimana yang dilalui oleh pekerja lain di sana," katanya.

 

Sementara itu, Pengurus DSaba Agro Farm, Noraini Mat Hassan, pihaknya amat mengalu-alukan komitmen UMP untuk terus bekerjasama dalam memberikan latihan pendedahan seperti ini yang turut membuka minda mahasiswa untuk mempertimbangkan keusahawanan tani sebagai kerjaya alternatif setelah tamat pengajian kelak.

Berita disediakan oleh Muhamad Firdaus Azman, Setiausaha Bahagian Penerangan Kelab InSmartive dan Nurnatasha Eizreena Atiqah Abdullah, Pengurus Projek manakala foto oleh Muhammad Iqbal Basirudin dan Ezwan Shah Mohd Nordin.

You Might Also Like

0 comments

Rakan Blog InSmartive

Total Pageviews