TITIK SENTUHAN YOGYAKARTA

8:00 AM

RINGKASAN PROGRAM

‘Projek Titik Sentuhan @Yogyakarta’ ini adalah projek khas yang merupakan salah satu inisiatif mobiliti antarabangsa yang julung kalinya  dikendalikan oleh Kelab In-Smartive, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan sokongan pihak Pejabat Menteri Besar Pahang dan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Pahang serta kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni dan Universitas Teknologi Yogyakarta (UTY). Dengan objektif utama iaitu untuk menanda aras amalan terbaik program pendampingan masyarakat oleh institusi pengajian tinggi di Indonesia melalui mekanisme perlaksanaan Kuliah Kerja Nyata (KKN) yang melibatkan 23 orang mahasiswa UMP dengan dibantu oleh 15 orang mahasiswa UTY. Justeru itu, mahasiswa kedua-dua universiti ini berganding bahu untuk transformasi Dusun Ngepring iaitu sebuah petempatan di pedalaman Daerah Istimewa Yogyakarta sebagai Desa Binaan UMP-UTY. Perkongsian ilmiah dan pemahaman budaya masyarakat Yogyakarta dalam menyatukan keharmonian serumpun turut dikongsi bersama mahasiswa UTY. Rutin harian seperti memerah susu lembu dan kambing, membersihkan kandang ternakan, memasarkan susu yang telah diperah ke koperasi tempatan, mencari rumput dan memberi makan haiwan ternakan mengisi jadual aktiviti peserta. Dengan adanya projek ini, mahasiswa Malaysia khususnya mahasiswa UMP bakal mempelajari dan menekuni usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh mahasiswa UTY dalam membentuk mahasiswa yang berjiwa karismatik dan cakna dengan isu-isu masyarakat tempatan.

30 JUN 2013 (AHAD)

Perjalanan kami bermula di UMP kampus Gambang pada jam 2330 dengan menaiki bas ke LCCT International Airport, Kuala Lumpur dan menaiki penerbangan Air Asia AK1324 pada jam 0945 ke Bandara Adisutjipto. Setiba kami di sana, kami disambut oleh kakitangan serta mahasiswa UTY dan dibawa melawat kampus utama universiti itu. Seterusnya, sesi dialog telah diadakan. Dalam sesi ini, pendedahan yang mendalam berkaitan dengan objektif utama program kami iaitu pengenalan kepada KKN telah diberikan. 

Majlis Sambutan di Kampus 1 UTY
Perjalanan kami kemudiannya diteruskan ke Dusun Ngepring. Secara ringkasnya Dusun Ngepring ini terletak di Kelurahan Purwobinangun, Kacamatan Pakem, Kabupatan Sleman, Provinsi Daerah Istimewa Yogyakarta, Republik Indonesia yang berjarak sekitar 25KM dari Bandar Yogyakarta. Sesampainya kami disana sekitar jam 1800 waktu Indonesia, keadaan dusun yang gelap dengan suasana malam yang dingin disebabkan kedudukannya di lereng selatan Gunung Merapi amat menarik hati kami sejak awal lagi. Seterusnya, kami ditempatkan di rumah keluarga angkat masing- masing bagi penginapan kami untuk 3 hari disini. Keramahan masyarakat dusun membuat kami terpesona dan tertarik dengan suasana dusun tersebut. Hilang rasa malu dan janggal dengan layanan yang petah walaupun terdapat perbezaan bahasa komunikasi. 

Gunung Merapi dan suasana dingin yang dapat di rasai di Dusun Ngepring
1 JULAI 2013 (ISNIN)

Pada awal pagi hari kedua ini, kami diberi taklimat secara ringkas tentang tentatif program yang akan dilaksanakan. Setelah selesai melakukan senaman ringan, kami diberi peluang untuk membuat tinjauan sekitar dusun bagi mempelajari kehidupan masyarakat disana. Kami mengambil kesempatan untuk merasakan sendiri pengalaman kehidupan masyarakat disana bagi mencari rezeki harian. Dari segi sosial ekonomi, kebanyakan penduduk dusun berkecimpung dalam sektor pertanian dan penternakan. Pertanian seperti salak dimajukan berdasarkan keadaan muka bumi dan struktur tanah yang subur yang turut menerima debu dan pasir daripada letusan Gunung Merapi beberapa tahun dahulu. Bagi bahagian perternakan pula, purata penduduk dusun menternak lembu dan kambing tenusu untuk di jual susu dan dagingnya. Kami tidak melepaskan peluang mempelajari dan merasai cara memerah susu lembu dan kambing. Sepanjang tinjauan kami di dusun ini, kami juga berkesempatan meninjau tinggalan letusan Gunung Merapi yang dapat dilihat secara terus melalui kewujudan pasir dan batu tinggalannya. 

Aktiviti memerah susu bersama keluarga angkat masing-masing
Beramah mesra bersama masyarakat
Aktiviti seterusnya ialah sesi perbincangan permasalahan dan cadangan bagi mengatasi masalah berdasarkan tinjauan yang telah di lakukan. Sebelum sei perbincangan di mulakan, mahasiswa UTY dan UMP telah bermain dua permainan bagi sesi suai kenal. Permainan "Sambung Cerita" dan "The Power Of Numbers" menjadi medan untuk merapatkan hubungan sesama kami. Dalam perbincangan tersebut, pelbagai pandangan dan buah fikiran telah di bahaskan oleh mahasiswa kedua-dua universiti untuk transformasi dusun ini.

Sesi perbincangan bagi transformasi Dusun Ngepring selepas tinjauan
Petangnya, satu perlawanan bola tampar persahabatan telah diadakan antara masyarakat dusun bersama mahasiswa UMP-UTY sejurus selepas proses baik pulih Masjid Baiturrahman di dusun ini sempena kedatangan bulan Ramadhan yang juga mendapat sentuhan istimewa mahasiswa UMP-UTY yang turut serta dalam kerja mengecat premis tersebut.

Perlawanan bola tampar persahabatan
Malamnya, aktiviti diteruskan dengan sesi dialog bersama Karang Teruna yang merupakan satu badan yang dianggotai oleh pemuda dan pemudi dusun ini. Walaupun suasana malam yang dingin dan sepi, namun sambutan dan penglibatan daripada Karang Teruna sedikit sebanyak telah menambah pemahaman kami mengenai organisasi, budaya dan aktiviti masyarakat di dusun ini.

2 JULAI 2013 (SELASA)

Sesi perkongsian ilmu dan keunikan masakan Malaysia menjadi  sesi pembukaan bagi hari ketiga ini. Perkongsian ini disaksikan oleh kaum ibu dan pemudi di Dusun Ngepring. Tujuan slot ini diadakan adalah untuk beramah mesra dan mengeratkan lagi hubungan antara Mahasiswa UMP, Mahasiswa UTY dengan kaum ibu dan pemudi di dusun ini.  Menu nasi lemak telah menjadi pilihan sebagai menu yang dikongsikan. Sewaktu slot dijalankan, penerimaan kaum ibu dan pemudi ternyata sangat positif.

Sesi perkongsian masakan nasi lemak oleh Wan Nazrul Helmy
Pada sebelah petangnya pula, sesi perkongsian ilmu seni kain felt oleh mahasiswa UTY telah dijalankan. Perkongsian ini dijalankan kepada pemudi di dusun ini sendiri. Perkongsian ini telah menjadi pertukaran ilmu kerana para pemudi di dusun ini sememangnya sudah hebat dalam bidang seni kain felt ini. Pelbagai produk telah dihasilkan oleh mereka, antaranya ialah key chain, kerongsang, beg dan pelbagai produk lain yang sangat kreatif.

Sesi perkongsian ilmu seni kain felt
Perkampungan selama 3 hari mahasiswa UMP-UTY diakhiri pada malam harinya dengan sesi  Focus Group Discussion bertajuk “Pariwisata Sebagai Penggerak Ekonomi Lokal” yang dipimpin oleh Pensyarah Program Alam Bina UTY, Endah Tisnawati. Turut hadir dalam perbincangan ialah Naib Rektor (Akademik) UTY, Dr Tri Gunarsih, Ketua Penyelidik Naib Canselor UMP yang juga Penasihat Kelab In-Smartive, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain dan para pemimpin Rukun Warga dan Rukun Tetangga Dusun Ngepring.

Wakil Karang Teruna menerima sumbangan bola tampar dan jaring yang baru untuk kegunaan harian mereka
Focus Group Discussion
3 JULAI 2013 (RABU) 

Pagi 3 Julai 2013 ini menyimpan memori perpisahan kami semua bersama keluarga angkat masing-masing. Sedikit cenderamata kenang-kenangan diberikan kepada setiap keluarga angkat dan kami mengambil peluang untuk bergambar bersama keluarga angkat masing-masing serta bergambar beramai-ramai untuk kenang-kenangan. Sepanjang tiga hari kami berkampung di Dusun Ngepring ini, pelbagai pengalaman dan pengetahuan berharga telah kami rasakan yang mana ianya dirasakan sangat sukar ditemui di tempat lain. Keakraban dan penerimaan positif yang ditunjukkan membuatkan kami makin menghargai detik-detik bersama penduduk Dusun Ngepring ini.

Gambar kenang-kenangan
Delegasi UMP kemudiannya  telah dibawa ke Candi Borobudur yang terletak di Kabupaten Magelang, Jawa Tengah, Indonesia. Borobudur adalah stupa Buddha mazhab Mahayana dan monumen Buddha terbesar di dunia. Disini dapat dilihat lebih 2672 arca dinding pelbagai aktiviti manusia dan haiwan dan 504 stupa loceng dan binaan lain yang pastinya mempunyai keistimewaaan yang tersendiri.

Gambar kenangan di Candi Borobudur
Sekembalinya ke Yogyakarta, delegasi UMP dibawa ke Panti Asuhan Yatim Putri ‘Aisyiyah. Setiba kami di panti asuhan ini, kami disambut dengan nyanyian lagu dan bacaan ayat suci Al-Quran daripada pelajar-pelajar panti asuhan. Dari sini dapat dilihat akan keberkesanan pembelajaran dan pendidikan yang diberikan oleh pihak panti asuhan ini dalam menghasilkan muslimah yang beriman, bertakwa dan berketerampilan. Dalam kunjungan ini, kedua-dua pihak menyumbang sebanyak 100 kilogram beras dan wang tunai untuk dimanfaatkan bagi menampung kos operasi rumah perlindungan anak yatim persendirian tersebut. Sebelum pulang, kami mengambil peluang untuk bergambar bersama seluruh warga panti asuhan sebelum menginap masuk ke Hotel Raditya Graha untuk penginapan kami yang berbaki dua hari lagi.

Bergambar bersama warga Panti Asuhan Yatim Putri Aisyiyah
4 JULAI 2013 (KHAMIS)

Kunjungan kami diteruskan ke Sekolah Menengah Atas (SMA) Muhammadiyah 1, Yogyakarta  iaitu antara sepuluh sekolah menengah termoden dan terbaik di Indonesia yang mempunyai seramai 1057 orang pelajar yang berasal daripada pelbagai daerah. Selain itu, perbincangan pra-koloborasi turut diadakan antara Kelab In-Smartive dengan pihak sekolah tersebut yang diwakili Naib Pengetuanya, Sarno R Sudibyo.

Bergambar di SMA Muhammadiah 1
Seterusnya, kami meneruskan lawatan ke Keraton Kesultanan Yogyakarta Hadiningrat. Keraton ini masih berfungsi sebagai tempat tinggal sultan dan rumah tangga istananya yang masih menjalankan tradisi kesultanan hingga saat ini. Sebahagian kompleks keraton merupakan muzium yang menyimpan berbagai koleksi milik sultan, termasuk pelbagai pemberian dari raja-raja Eropah, replika pusaka keraton, dan gamelan. Daripada koleksi-koleksi bahan pameran tersebut, dapat dilihat bahawa Keraton Kesultanan Yogyakarta Hadiningrat mempunyai pelbagai warisan budaya baik yang berbentuk upacara mahupun benda-benda kuno dan bersejarah. Di sisi lain, keraton ini juga mempunyai suatu lembaga adat lengkap dengan pemangku adatnya. Oleh itu, tidaklah menghairankan jika nilai-nilai falsafah menyelubungi Keraton Kesultanan Yogyakarta Hadiningrat. Dari segi bangunannya, keraton ini merupakan salah satu contoh binaan istana Jawa yang terbaik, memiliki balairung-balairung mewah dan lapangan serta anjung yang luas.

Di hadapan Keraton Kesultanan Yogyakarta Hadiningrat
Pasar Malioboro menjadi destinasi kami seterusnya. Pasar sepanjang 8KM ini semestinya tidak habis untuk kami kunjungi. Pasar yang terkenal dengan syurga membeli-belah ini kami manfaatkan dengan membeli cenderamata dan buah tangan untuk dibawa pulang ke Malaysia. Pada sebelah malamnya pula, kami menghadirkan diri ke kampus UTY untuk majlis makan malam bersama pihak UTY. Malam ini pastinya meninggalkan memori yang mendalam kepada para peserta UMP dan UTY yang juga malam terakhir kami di Daerah Istimewa Yogyakarta ini. Kami mengambil peluang untuk bersalam-salaman buat kali terakhir dan suasana sayu untuk meninggalkan bumi Yogyakarta ini mulai terasa.

Gambar kenang-kenangan bersama seluruh warga UMP dan UTY yang terlibat
5 JULAI 2013 (JUMAAT)

Selepas sarapan pagi dan daftar keluar dari hotel, delegasi UMP berkunjung ke Kampus UTY1 untuk bertemu dengan Naib Canselor UTY, Drs. Bambang Hartadi  di pejabat beliau. Turut dibincangkan dalam kunjungan ialah prospek koloborasi yang berterusan antara UMP dan UTY dalam aktiviti melibatkan masyarakat di Malaysia dan Indonesia. Lain-lain adalah melibatkan penyelidikan bersama mengenai dasar pelaksanaan Desa Binaan di Indonesia dan mekanisme penyusunan semula masyarakat melalui intrumen Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di Malaysia. Hadir sama dalam perbincangan adalah Naib Rektor (Akademik), Dr. Tri Gunarsih dan Naib Rektor (Kewangan), Bahagia Tarigan serta pegawai-pegawai kanan UTY. Sedikit cenderamata kenang-kenangan diberikan diantara kedua-dua pihak sebelum kami berangkat ke Bandara Adisutjipto dan seterusnya menaiki penerbangan Air Asia AK1321 pada jam 1715 pulang ke Malaysia.

Sesi perbincangan di Kampus UTY 1
Alhamdulillah, delegasi Projek Titik Sentuhan @Yogyakarta telah selamat kembali ke Malaysia setelah enam hari berkelana di bumi Yogyakarta, Indonesia. Syabas dan tahniah buat Saudara Brahma Wirapati Rossi selaku pengurus projek dan warga pengelola UMP dan UTY atas kecemerlangan perlaksanaan projek ini.


You Might Also Like

0 comments

Rakan Blog InSmartive

Total Pageviews