SMART REACH OUT @REPUBLIC OF SINGAPORE

10:22 PM

17 Ogos 2016 (Rabu)
Tepat jam 2030,kami bergerak ke R&R Skudai bermula dari UMP Gambang dengan menaiki bas UMP.Perjalanan kami yang  mengambil masa sekurang-kurangnya 6 jam ke R&R Skudai memberikan kami peluang dan ruang untuk menikmati rehat yang secukupnya sebelum tiba di destinasi.Kami dijadual tiba di R&R Skudai pada 0330.Tepat jam 0530 kami diberikan masa untuk melakukan khidmat diri serta menunaikan fardhu subuh sebelum bertolak ke JB Sentral pada jam 0625.

18 Ogos 2016 (Khamis)
Keadaan lalu lintas yang tidak sesak membolehkan kami tiba di JB Sentral hanya 20 minit dari R&R Skudai .Setelah tiba di JB Sentral pada jam 0700 ,kami melakukan ‘spotcheck passport’ dan sedikit penerangan tentang urusan imigresen sebagai langkah berjaga-jaga dan peringatan demi memudahkan urusan masing-masing sewaktu di imigresen, seusai penerangan kami menikmati makan pagi  bersama-sama.Pada jam 0835 berlaku urusan imigresen di Pejabat Imigresen Bangunan Sultan Iskandar (CIQ).Kemudian,kami bergerak ke Woodlands Checkpoint menyeberangi Tambak Johor menaiki bas transit dan pada jam 1000 kami akhirnya tiba di Woodlands Checkpoint untuk urusan imigresen sebelum menyeberangi sempadan Johor-Singapura.Selesai urusan imigresen di Woodlands Checkpoint kami bergerak ke Kranji MRT menaiki bas transit tepat pada jam 1132.Perjalanan ke Kranji MRT yang hanya mengambil masa 5 minit membolehkan kami tiba awal iaitu pada jam 1137.Tiba sahaja di Kranji MRT kami diedarkan Singapore Tourist Pass oleh Encik Wan Nazrul Helmy (penasihat kelab In-Smartive), sebagai ‘pass’ untuk menggunakan semua pengangkutan awam di Singapura termasuk MRT,SMRT dan bas.Kemudian kami menaiki Kranji MRT ke Jurong East MRT.Setelah tiba di Jurong East MRT kami tukar laluan ke Kallang MRT untuk menuju ke tempat penginapan iaitu Backpackers Joyfor Hostel bertempat di Geylang Road,Kallang.Tepat jam 0100 kami tiba di Joyfor Backpackers Hostel, kami terus melakukan urusan ‘check-in’ hostel dan menyimpan kelengkapan seperti bagasi sebelum bertolak semula ke Bugis menaiki Kallang MRT dan Bugis MRT.Setibanya di Bugis, pada jam 1400 kami semua menikamati makan tengahari di Restoran Kampung Glam.


Kemudian, kami melawati Malay Heritage Centre atau dipanggil Taman Warisan Melayu,Istana Kampung Glam.Di Taman Warisan ini terdapat banyak khazanah dan sejarah penceritaan, hikayat dan keturunan salasilah kaum Melayu sewaktu masih di bawah jajahan British dan pelbagai budaya dan nilai-nilai seni yang masih diterapkan dalam masyarakat Melayu Singapura dari segi pendidikan, pantang larang malah seni muzik.Pelbagai pameran yang menarik juga disediakan bagi pengunjung seperti tayangan video,aktiviti mewarna serta pertunjukan persembahan.Di sini, kami diberikan tugas untuk mencari 10 gambar yang memberi nilai sentimental yang tinggi serta impak yang positif terhadap diri apabila melihatnya beserta kisah sejarah gambar tersebut.Setelah 3 jam berada di Taman ini maka kami mengadakan perbincangan dan perangkaan asas bagi pembaharuan dan penambahbaikan modul berdasarkan aspek sejarah,jati diri dan kewarganegaraan.

                                    
 Saudari Ain Nadhirah sedang membaca dan memahami  sejarah keris
                                        

     Barisan fasilitator sedang peka mendengar penerangan daripada pegawai muzium.



19 Ogos 2016(Jumaat)
Seperti yang telah dijadualkan, pada 19 Ogos kami akan mengadakan kunjungan hormat ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia yang terletak di Jervois Road pada pukul 1000.Perjalanan kami seawal 0730 menaiki Kallang MRT dan tiba di Tiong Bahru MRT mengambil masa selama kurang dari 10 minit.Setibanya di Tiong Bahru MRT kami bergerak ke Redhill untuk mengambil teksi.Sistem lalu lintas dan trafik Singapura yang begitu sistematik dan teratur memudahkan lagi pergerakan kami untuk ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia.Tepat pada jam 1000 kami berjaya tiba di perkarangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan kedatangan kami telah disambut mesra oleh Puan Siti Izayani Sazali,Third Secretary(Consular).Kemudian,kami dibawa ke bilik mesyuarat untuk diberikan taklimat ringkas yang diketuai oleh Encik Nur Azman Abdul Rahim( Deputy High Commissioner)  mengenai peranan Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan membincangkan perkara-perkara berbangkit seperti isu kerakyatan,keselamatan dan kebajikan warganegara Malaysia di Singapura.Sesi mesyuarat dan perbincangan dua hala selama 1 jam 15 minit itu memberikan banyak ilmu yang bermanfaat,merungkai segala persoalan serta membuka mata dan minda untuk bergerak seiring kemajuan negara.Seterusnya,kami dibawa untuk mengikuti lawatan di sekitar bangunan berfungsi di Suruhanjaya Tinggi Malaysia oleh Puan Siti Izayani Sazali,Third Secretary(Consular) dan Encik Nai Mung Kun A/L Ai Wong,Counsellor(Labour).Antara pejabat yang kami lawati ialah Immigration Department of Malaysia dan Consular Section.

                          
   Penyampaian cenderamata dan penghargaan kepada Encik Nur Azman
        Abdul Rahim oleh Encik Wan Nazrul Helmy
    
 Sesi bergambar bersama pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Kemudian, kami meneruskan tentatif projek iaitu lawatan ke Masjid Temenggung Daeng Ibrahim menaiki bas transit Singapura di perhentian bas Seah Im Food Centre. Kami tiba pada jam 1418 di Masjid Temenggung Daeng Ibrahim yang terletak di Telok Blangah. Kedatangan kami disambut baik oleh Encik Mohd Khairul Nizam Basar,iaitu Pegawai Masjid.Kami dibawa untuk melawat makam kerabat Johor yang terletak di atas bukit masjid tersebut.Hal ini membuktikan bahawa kesultanan Johor telah bertapak lama sejak awal pembentukan Singapura.Malah,kami juga difahamkan bahawa satu-satunya bendera Johor yang dibenarkan berkibar di Singapura hanyalah di Masjid Temenggung Daeng Ibrahim,Telok Blangah.Banyak tinggalan istana yang telah diubahsuai untuk kegunaan masjid seperti balairung seri istana telah dijadikan sebagai ruang solat muslimin dan muslimat. Sungguh besar penghargaan kami atas kesudiaan Encik Mohd Khairul Nizam untuk membawa kami meninjau seluruh masjid di samping menceritakan pengalamannya selama 13 tahun menjaga masjid tersebut.

                               

                                         Bendera negeri Johor yang berkibar di Masjid Temenggung Daeng Ibrahim di
                                                                                    Telok Belangah,Singapura.

                                 

                                  Lawatan ke Makam Sultan Johor yang diiringi oleh Encik Mohd Khairul Nizam
                                                                                   sebagai pegawai masjid.


20 Ogos 2016 (Sabtu)
Seawal jam 0945 kami telah tiba di Fort Canning Park atau dikenali sebagai kubu perlindungan tentera British sewaktu kemaraan tentera Jepun pada 8 Februari 1942.Di sini kami akan dibawa untuk memasuki terowong atau kubu bawah tanah tentera British yang dipanggil ‘The Battlebox’ supaya dapat memahami dan menghayati lebih mendalam sejarah perjuangan tentera British dalam mempertahankan Singapura sebelum jatuh ke tangan Jepun dalam masa seminggu.Rombongan ke Battlebox ini diketuai dan dibantu oleh ‘tour guide’ untuk memudahkan pergerakan dan memberikan gambaran dengan lebih jelas tentang keadaan semasa perang kepada pengunjung.Terdapat 23 ruang bilik yang masih kekal utuh sehingga hari ini di dalam ‘Battlebox’ dan setiap satu bilik mempunyai fungsi tersendiri.Terdapat Engineer Room,Power Transplant Room,Radiofrequency Room dan sebagainya dalam memastikan kesiapsiagaan tentera British untuk menentang tentera Jepun.

                                  

                                                                       Bergambar di luar pintu masuk Battlebox


Seterusnya,tepat jam 1300 kami meneruskan lawatan bersejarah ke National Museum of Singapore.Muzium ini telah dicatatkan antara muzium paling besar dunia antara muzium-muzium yang lain di Asia Tenggara.Di muzium ini juga terdapat 7 bahagian galeri yang berasingan dan mempunyai tema tertentu seperti galeri Surviving Syonan,We Built a Nation dan galeri Desire and Danger serta lain-lain galeri.Kekayaan nilai estetik sejarah Singapura yang tinggi  membuatkan kami berasa terpesona dan tertarik untuk lebih mempelajari segala latar belakang sejarah yang terdapat di setiap galeri.Tambahan pula,kecanggihan teknologi dalam mempersembahkan karya atau sejarah dalam bentuk moden adalah sesuatu yang harus dibanggakan dan dicontohi.Setelah 3 jam melawati setiap galeri di National Museum of Singapore kami telah dapat mengubah persepsi dan pandangan terhadap muzium dan nilai-nilai sejarah yang tiada tolok bandingnya.
                                  

                                     Barisan fasilitator mengabadikan kenangan di luar bangunan National Museum
                                                                                                 of Singapore

                                           

                             Saudara Amar sedang mendengar luahan rasa seorang mangsa kekejaman tentera Jepun ke
                                                                                 atas ayahnya suatu ketika dahulu.

Pada jam 1600 kami dijadualkan untuk bersama-sama mengikuti lawatan ke Fort Canning Spice Garden yang terletak di sekitar Fort Canning Park.Lawatan ini dibantu oleh Mr Edwin Lim untuk memberikan lebih kefahaman dan pendedahan tentang pokok-pokok herba yang terdapat di Singapura malah seluruh pelusuk Asia Tenggara.Fort Canning Spice Garden merupakan satu taman eksperimen bagi saintis pada suatu ketika dahulu untuk mengembangkan idea dan kepakaran dalam bidang pertanian serta perubatan.Sehingga kini banyak tanaman herba yang dapat dihasilkan di Fort Canning Spice Garden,seperti pokok Durian,pokok bunga kantan,misai kucing,pokok lada hitam dan pelbagai pokok rempah.Kami juga telah dibawa sekitar taman tersebut dan diberikan peluang untuk merasai pengalaman memetik dan memakan buah-buahan yang ada di taman itu.

                                 

                                    Encik Wan Nazrul Helmy sedang berbual bersama Mr Edwin Lim sebagai
                                                        pegawai bertugas di Fort Canning Spice Garden.


                                      

                                  Mr Edwin Lim memberi taklimat mengenai spesies tumbuhan herba di taman tersebut
                                       

                               Bergambar di papan tanda sebagai simbolik  kedatangan kami ke Fort Canning Spice Garden


21 Ogos 2016 (Ahad)
Selepas kami tiba di Pasir Panjang MRT pada jam 0930 kami meneruskan perjalanan ke Bukit Chandu dengan mendaki Bukit Chandu sejauh 5km.Setibanya kami di puncak Bukit Chandu kami memasuki Muzium Bukit Chandu dan mengadakan lawatan selama 3 jam di dalam muzium tersebut.Bukit Chandu yang terletak di Pasir Panjang, merupakan kubu pertahanan Askar Rejimen Melayu yang diketuai oleh Leftenan Adnan sewaktu penaklukan tentera Jepun ke atas Singapura.Bukit Chandu inilah yang menjadi saksi pertumpahan darah Askar Rejimen Melayu menentang tentera Jepun walaupun setelah diumumkan status ‘Surrender’ Singapura oleh Liutenant General Arthur Percival(General Officer of Commanding Malaya).Namun, Askar Rejimen Melayu masih sanggup mempertahankan maruah dan kedaulatan negara dengan slogan ‘Taat Setia’.
                                  
                                    Fasilitator sedang menghayati rentetan  peristiwa bersejarah di Bukit Chandu
                                          
                                    

                                              Saudari Fatimah menerangkan kepada saudari Ain Nadhirah mengenai
                                                                                  kewibawaan Leftenan Adnan

Pada jam 1600 kami berjaya tiba di Changi Chapel Museum menaiki bas transit dari Bugis.Di Changi Chapel Museum ini menceritakan tentang kisah Prisoners of War(POW) setelah penjajahan kuasa Jepun ke atas tanah Singapura secara rasmi pada 16 Februari 1942.Pelbagai penindasan telah dilakukan serta hukuman yang kejam dilaksanakan kepada sesiapa yang mengingkari askar Jepun atau lebih dikenali sebagai ‘Kempeitai’.Selain itu,Jepun juga mengeluarkan propaganda untuk meraih sokongan rakyat dengan menyatakan ‘Asia for Asians’.Terdapat banyak kisah duka cita POW sewaktu mereka dijajah dan sebahagian lagi POW yang terdiri daripada Malay,India dikerah untuk membina ‘Death Railway’Thailand-Burma demi kepentingan Jepun terhadap eksploitasi barang mentah ketika itu.



                                 

                                             Surat-surat daripada pengunjung buat memperingati pengorbanan dan jasa 
                                                                                             Prisoner of Wars (POW)

Pada penghujung hari kami mengadakan perjumpaan bersama Encik Alfian Yasrif Kuchit,Deputy Director(Community Relations)Community Relations and Department Vision,Ministry of Culture,Community and Youth.Encik Alfian telah membawa kami untuk melawat tempat-tempat keagamaan yang bersejarah dan menceritakan kepentingan suatu tempat tersebut pada suatu ketika dahulu yang terletak di Tanjung Pagar,Singapura.Tempat pertama yang kami lawati ialah Makam Habib Noh iaitu dipercayai sebagai seorang wali Allah yang terkenal dengan kehebatan ilmu agamanya.Kemudian kami ke Masjid Al-Abrar dan dikatakan bahawa masjid tersebut menjadi tempat beribadat yang utama kepada para saudagar yang singgah di Singapura kerana berdekatan dengan Tanjung.Seterusnya,kami dibawa melawat Thiong Hok Koong Temple,Ying Fo Fui Kun Temple,Street Mosque serta Mohamed Ali Mosque.Lawatan selama 2 jam bersama Encik Alfian disudahi dengan pemberian cendera mata dari Encik Wan Nazrul Helmy sebagai tanda terima kasih dan penghargaan.
                                
                                                     Ying Fo Fui Kun Temple yang dipercayai dijaga oleh Dewa Laut
                                
                                                   Makam Habib Noh yang terletak di atas bukit berdekatan Masjid Al-Abrar

                                
                                          Mengakhiri acara projek dengan penyampaian cenderamata  kepada
                                                                                     Encik Alfian Yasrif Kuchit.


22 Ogos 2016 (Isnin)
Kami diberikan peluang untuk membeli barang-barang cenderamata di Mustafa Centre dan Bugis sebelum check-out hostel pada pukul 1200.Setelah selesai urusan check-out kami menaiki Kallang MRT dan ‘interchange’ di Jurong East MRT sebelum tiba di Kranji MRT untuk urusan pemulangan Singapore Tourist Pass.Di Kranji MRT juga kami menikmati makan tengahari sebelum menaiki bas untuk urusan imigresen di Woodlands Checkpoint.Selesai urusan imigresen di Woodlands Checkpoint kami menaiki bas transit semula menyeberangi Tambak Johor untuk ke JB Sentral bagi urusan imigresen di Bangunan Sultan Iskandar Shah (CIQ) yang hanya memakan masa selama 10 minit. Setelah kami berjaya melepasi imigresen di CIQ kami menaiki bas UMP untuk pulang semula ke UMP Gambang.Kami tiba di UMP Gambang pada jam 2303.





You Might Also Like

0 comments

Rakan Blog InSmartive

Total Pageviews