PROJEK KILAUAN MUTIARA 3.0 SK BUKIT BESI

11:58 PM

     Pada tanggal 2 hingga 5 April yang lalu, Projek Kilauan Mutiara 3.0 Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Besi, satu lagi iniasiatif di bawah kendalian Kelab In-Smartive Univesiti Malaysia Pahang (UMP) telah berlangsung dengan jayanya. Projek ini diketuai  oleh Pengurus Projek , saudara Muhammad Aizat Bin Azed dan dipantau oleh Penyelas Projek iaitu saudara Ahmad Bahiyuddin Bin Ahmad Bakhir, alumni bagi SK Bukit Besi di Dungun, Terengganu. Projek ini merupakan projek kali ketiga kerjasama antara Kelab In-Smartive dan pihak sekolah.

     Kem ini disertai oleh 73 orang pelajar tahun 6 sekolah tersebut dan 21 orang fasilitator daripada Kelab In-Smartive bagi menjayakan projek ini. Hasil kerjasama jitu pihak sekolah dan Kelab In-Smartive, projek selama 4 hari 3 malam ini telah berlangsung dengan jayanya. Program PKM kali ini juga meneruskan program anak angkat seperti edisi yang lalu. Ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara pihak Kelab In-Smartive dan para penduduk kawasan Bukit Besi.


 Khamis | 2 April 2015


Pada jam 3:30 petang, majlis penyerahan peserta kepada Kelab In-Smartive telah disempurnakan oleh Guru Besar SK Bukit Besi, Puan Hajjah Zaiton Binti Mohd Yusof kepada wakil penasihat Kelab In-Smartive, Encik Asraf Bin Ahmad. Majlis penyerahan fasilitator kepada keluarga angkat pula disempurnakan oleh Yang Di-Pertua PIBG SK Bukit Besi, Encik Ahmad Bakhir Bin Chik. Program ini dimulakan dengan taklimat kursus yang telah disampaikan oleh saudara Muhammad Aizat Bin Azed selaku Pengurus Projek. Peserta diberi pendedahan tentang peraturan yang perlu dipatuhi sepanjang program.



Majlis penyerahan peserta kepada Kelab In-Smartive
     Selesai kudapan petang dan solat Asar berjemaah, maka bermulalah slot pertama bagi program ini iaitu Tak Kenal Maka Tak Cinta. Para peserta telah dibahagikan kepada 8 kumpulan dan setiap kumpulan mempunyai 2 orang fasilitator yang akan membimbing mereka. Para fasilitator memperkenalkan diri mereka dengan gaya yang menarik dan kreatif agar peserta lebih mudah mengenali mereka. Setelah tamat slot ini, peserta diberi masa untuk persiapan diri, makan malam dan solat berjemaah.

     Selesai sahaja bersolat, program pada sebelah malamnya diteruskan dengan slot Ilusi Atas Kertas. Objektif slot ini adalah peserta dapat lebih fokus dalam setiap arahan yang diberikan oleh ketua. Peserta perlu melukiskan objek yang diberitahu oleh ketua mereka. Slot Inovasi pula diteruskan setelah tamatnya slot Ilusi Atas Kertas. Dalam slot ini peserta diberi bahan-bahan yang boleh dikitar semula seperti botol dan surat khabar. Peserta diminta untuk menghasilkan menara impian mereka berdasarkan bahan-bahan tersebut. Objektifnya supaya peserta akan dapat berfikir secara kreatif untuk menghasilkan inovasi.

Peserta sedang tekun menyiapkan inovasi mereka
Jumaat | 3 April 2015

     Pada jam 7:30 pagi, peserta sudah mula berkumpul di dewan terbuka sekolah. Slot pagi itu dimulakan dengan slot Bingo yang bermula pada pukul 8:15 pagi. Slot ini menguji daya pemikiran peserta dalam membuat ayat dengan menggunakan perkataan yang diberi. Slot ‘Work It Out’ bermula setelah tamatnya slot Bingo. Slot ini melatih peserta untuk mengetahui kepentingan perancangan dengan menggunakan teknik ‘What, Who, How and When’. Slot seterusnya ialah Last Man Standing dan Kapal Karam yang berlansung selepas kudapan dan solat sunat dhuha. Bagi Last Man Standing peserta belajar untuk meningkatkan keyakinan diri dalam memberi pengucapan awam berdasar tajuk yang diberi. Manakala slot Kapal Karam, peserta diajar untuk membuat keputusan yang bijak. Mereka dikehendaki berbincang untuk memilih 2 orang yang perlu diselamatkan oleh mereka bagi menaiki bot untuk keluar dari pulau.


Peserta membentangkan hasil kerja mereka kepada fasilitator
     Slot Cheers War dijalankan pada jam 2:30 petang. Peserta disuruh menghasilkan sorak kumpulan berdasarkan nama adiwira yang diberi dan mereka harus berlawan sorakan. Seterusnya, slot Who’s Who yang mana peserta dapat mengenali kekuatan diri mereka dan berusaha untuk menjadi pemimpin yang hebat. Selesai sahaja solat asar dan kudapan, program diteruskan dengan slot Bob The Builder. Slot ini menguji kepekaan peserta terhadap arahan ketua sambil penglihatan mereka ditutup oleh kain atau Blindfolded.

     Pada sebelah malam pula, aktiviti disambung lagi dengan slot Solat Dihatiku. Peserta didedahkan dengan cara mengambil wuduk dengan hanya menggunakan sebotol air mineral, perlaksanaan rukun solat yang betul dan cara solat ketika duduk, baring mengiring dan baring melentang serta dengan isyarat kelopak mata dan isyarat hati.

Sabtu | 4 April 2015

      Seperti hari kedua peserta berkumpul pada jam 7:30 pagi. Slot pertama pada hari terakhir ialah slot Inspire. Slot ini disampaikan oleh Encik Jamil yang juga merupakan alumni kepada sekolah tersebut. Slot ini bertujuan untuk memberi semangat dan motivasi dalam diri peserta. Diteruskan pula slot Hati Ke Hati yang mana para peserta diberikan borang penilaian terhadap pelaksanaan kursus secara keseluruhan, penilaian terhadap diri serta berkongsi pengalaman dengan para fasilitator.

     Setelah selesai, majlis perasmian penutup pula diadakan. Hadir merasmikan majlis penutup serta menyampaikan sijil kepada peserta adalah Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Dungun, Encik Shahrin Sulong. Turut hadir, Guru Besar SK Bukit Besi, Puan Hajjah Zaiton Binti Mohd Yusof, Yang Di-Pertua PIBG SK Bukit Besi, Encik Ahmad Bakhir Bin Chik, Penasihat Kelab In-Smartive, Encik Wan Nazrul Helmy Bin Wan Mohd Zain dan Presiden Kelab In-Smartive, Saudara Ahmad Zarif Bin Ahmad Fauzi.  Keluarga angkat juga tidak ketinggalan untuk menerima cenderamata yang disampaikan oleh Penasihat Kelab In-Smartive. Majlis ini diserikan lagi dengan persembahan daripada para peserta dan fasilitator. Kemudian, sesi bergambar diadakan sebagai kenang-kenangan antara warga Bukit Besi dan Kelab In-Smartive UMP. Sebagai simbolik penutupan, sesi menandatangani banner program turut diadakan.

Sesi bergambar sebagai kenang-kenangan

     Pada jam 3:00 petang, para fasiltator telah dibawa oleh Bukit Besi Dalam Ingatan (BUDI) untuk melawat kawasan bersejarah di Bukit Besi. Kawasan bersejarah yang dimaksudkan ialah kawasan perlombongan bijih besi. Kami dibawa melawat mini muzium di pejabat ketengah yang menyimpan bijih besi dan gambar-gambar sejarah tempat itu. Kami juga dibawa melihat monument-monumen bersejarah yang digunakan semasa zaman kegemilangan Bukit Besi dalam sektor perlombongan.

Lawatan ke tempat bersejarah
Ahad | 5 Mac 2015

     Pada hari terakhir Bukit Besi, para fasilitator telah meluangkan masa bersama keluarga angkat di kawasan Tasik Puteri, Bukit Besi. Mereka mengadakan jamuan makan secara kecil-kecilan bagi menghargai jasa baik keluarga dan warga Bukit Besi. Selesai sahaja jamuan, para fasilitator berkemas untuk pulang. Mereka telah pulang ke UMP pada jam 4:00 petang.

Santai bersama keluarga angkat
Disediakan oleh jawatankuasa PKM 3.0 SK Bukit Besi, Surijakkun

You Might Also Like

0 comments

Rakan Blog InSmartive

Total Pageviews