LAWATAN SMK ZAINAB (1) KE UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG

3:03 PM

Khamis | 9 April 2015

     Kelab In-Smartive telah diberi kepercayaan untuk menjayakan program lawatan SMK Zainab (1) ke Universiti Malaysia Pahang (UMP). Kehadiran seramai 36 orang pelajar perempuan aliran kejuruteraan yang diiringi oleh 2 orang guru iaitu Puan Nurul Izati Binti Hassan dan Puan Azizun Binti Zakaria amat bermakna dan dihargai oleh pihak UMP dan Kelab In-Smartive.

     Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar aliran kejuruteraan ini mengenai cabang-cabang bidang kejuruteraan yang pelbagai serta memberi pengalaman baharu kepada mereka tentang kehidupan di universiti. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memperkenalkan bidang-bidang pengajian yang ditawarkan oleh UMP di kampus Gambang dan kampus Pekan.


     Bas SMK Zainab (1) tiba di perkarangan bangunan Galeri UMP pada pukul 8:20 pagi, kedatangan mereka disambut dengan senyuman mesra dan salam perkenalan. Guru-gurunya sangat peramah dan mudah mesra. Pelajar-pelajar SMK Zainab (1) sangat ceria sebaik sahaja sampai, mereka seolah-olah tidak sabar untuk mengenali UMP. Keadaan ini telah menaikkan lagi semangat kami dalam melaksanakan tugas sebagai pemudah cara.

     Sesi pertama dimulakan dengan taklimat yang diberikan oleh Encik Jamil Jaafar, Penolong Pendaftar Bahagian Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor dan diteruskan dengan pengenalan fasilitator. Semasa taklimat dijalankan, suasana amat santai dan semua pelajar memberi respon yang sangat baik. Walaupun pelajar sekolah ini adalah keseluruhannya perempuan tetapi mereka sangat aktif bertanya dan memberikan pandangan mereka apabila disoal. Sesi taklimat tersebut diadakan di dalam Dewan Tun Fatimah.
Pelajar-pelajar giat menanyakan soalan kepada fasilitator
Taklimat program oleh Encik Jamil Jaafar
Selepas taklimat berakhir, mereka dibawa melawat Galeri UMP dan diberikan penerangan tentang sejarah UMP dan inovasi-inovasi hasil kreativiti warga UMP. Mereka kelihatan sangat teruja melihat hasil inovasi yang dipamerkan di dalam galeri. Memandangkan mereka diberi kuiz mengenai UMP, mereka tekun mencari jawapan dan fokus pada setiap penerangan  yang diberi oleh Encik Fadhli Suhaimi, staf Galeri UMP.

Penerangan yang menarik oleh Encik Fadhli
Keterujaan mereka diteruskan ke sesi lawatan ke makmal Fakulti Sains & Teknologi Industri (FSTI) dan Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (FKKSA). Semasa melawat makmal FSTI, pelajar-pelajar didedahkan dengan pelbagai teknologi yang digunakan di dalam makmal tersebut. Pelajar-pelajar juga berpeluang untuk melihat kajian yang dilakukan oleh pelajar Ijazah Sarjana. Seterusnya, pelajar-pelajar diiringi oleh para fasilitator ke makmal FKKSA. Pelajar-pelajar sekolah kelihatan gembira dengan teknologi dan alatan yang digunakan dalam makmal FKKSA tersebut. Pelajar amat tertarik dengan sebahagian kajian yang ditunjukkan oleh pelajar Ijazah Sarjana dan staf FKKSA.

Pelajar-pelajar didedahkan dengan kajian yang sedang dilakukan dalam makmal FSTI

Staf memberikan penerangan mengenai makmal FKKSA
Sesudah tamat sesi lawatan, para pelajar diarahkan untuk kembali semula ke Dewan Tun Fatimah untuk sesi penutup. Pada sesi ini, sedikit taklimat diberikan oleh En.Jamil Jaafar dan para fasilitator mengenai 'Hala Tuju Selepas SPM'. Pelajar yang dapat menjawab kuiz dengan cemerlang diberikan hadiah istimewa yang disampaikan oleh En.Jamil Jaafar.

Penyampaian hadiah kepada pelajar cemerlang kuiz
Setelah selesai majlis penutup, pelajar-pelajar dan guru sekolah dihidangkan dengan makanan tengah hari kemudian pelajar-pelajar dan guru mengambil gambar bersama para fasilitator dan En.Jamil sebagai kenang-kenangan. Pelajar sekolah tersebut bersurai dan bertolak pulang setelah tamat sesi bergambar.

Sesi bergambar di hadapan pintu masuk Galeri UMP
Disediakan oleh Jawatankuasa Lawatan UMP



You Might Also Like

0 comments

Rakan Blog InSmartive

Total Pageviews