KEM INTERAKSI PEMIMPIN MUDA (IN-TEAM) SMK MENERONG

1:52 AM

     Alhamdulilah syukur ke hadrat ilahi, kesinambungan perjuangan Kelab In-Smartive Univesiti Malaysia Pahang (UMP) masih lagi dapat diteruskan apabila Kelab In-Smartive telah berpeluang untuk mengendalikan projek Kem Interaksi Pemimpin Muda (In-Team) yang telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong. Kali ini, tugas sebagai Pengurus Projek telah dipertanggungjawabkan kepada Saudara Mohamad Wafiq Bin Taufik dan dipantau oleh saudara Shahrul Azri Bin Ibrahim selaku Penyelaras Projek. Kem 3 hari 2 malam ini telah berlangsung pada 9 hingga 12 april yang lalu, ia merupakan projek pertama kerjasama antara pihak sekolah dan Kelab In-Smartive UMP.

     Seramai 29 orang fasilitator daripada Kelab In-Smartive telah berkerjasama bagi menjayakan projek ini, pihak sekolah telah menyerahkan 100 orang pelajar mereka yang terdiri daripada ahli organisasi kepimpinan sekolah dan asrama. Projek ini telah berlangsung dengan jayanya. Pada masa yang sama, Projek Kilauan Mutiara (PKM)  juga telah berlangsung di daerah yang sama iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Mengkawang.

Khamis| 9 April 2015

     Perjalanan kem bermula dengan Majlis Penyerahan Peserta kepada Kelab In-smartive yang telah berlangsung pada jam 3:00 petang di Dewan Makan Asrama SMK Menerong. Majlis telah disempurnakan oleh Penolong Kanan Hal Pentadbiran (PKP) SMK Menerong

     Encik Rasdi Bin Derahman kepada wakil penasihat Kelab In-Smartive, Cik Izzah Hayati Binti Yahya. Perjalanan kem dimulakan  dengan sesi Taklimat Kursus yang telah diberikan oleh saudara Mohamad Wafiq Bin Taufik selaku Pengurus Projek. Peserta didedahkan dengan taklimat perjalanan kem, peraturan sepanjang kem dan taklimat kesihatan dan keselamatan peserta yang perlu dipatuhi oleh semua pihak.



Majlis penyerahan peserta kepada pihak Kelab In-Smartive

     Sesudah Solat Asar berjemaah di surau sekolah, slot pertama kem telah dimulakan tepat jam 1700, slot Tak Kenal Maka Tak Cinta, slot ini memberi peluang kepada perserta untuk saling mengenali antara mereka dan mengenali fasilitator kem. Peserta telah dibahagikan kepada 10 kumpulan yang terdiri daripada 10 ahli dan 2 orang fasilitator kumpulan. Perjalanan slot telah diceriakan dengan pelbagai aktiviti menarik dan kreatif yang telah diatur bagi mencapai objektif slot. Slot ini telah berlangsung selama 1 jam.

     Aktiviti Solat Magrib dan Isyak secara berjemaah diadakan di surau sekolah, masa terluang diisi dengan bacaan Surah Yasin dan tutorial Doa Rabitah kepada peserta yang telah dikendalikan oleh AJK Kerohanian kem. Seterusnya, slot Mulanya Di Sini telah dijalankan seperti yang dirancang. Slot tersebut berlangsung di dewan sekolah selama 2 jam. Pengisian slot tersebut amat berguna kepada peserta yang sememangnya terdiri daripada pemimpin sekolah dalam memahami fungsi jawatankuasa mengikut susunan organisasi yang ditetapkan dengan betul. Antara pengisian slot adalah penyampaian manifesto oleh calon seterusnya sesi pemilihan melalui sistem undi. Organisasi yang telah terbentuk tersebut dilengkapi dengan pelbagai jawatan dan portfolio. Bendera organisasi juga telah dicipta oleh peserta mengikut kreativiti mereka. Slot tamat pada jam 11 malam dan diteruskan dengan slot Pra Muhasabah dan slot Warkah Buat Sang Pemimpin dimana peserta membuat resolusi terhadap diri dan rakan-rakan.

Jumaat | 10 April 2015     

     Seawal jam 5:00 pagi aktiviti qiamulail, Solat Subuh berjemaah dan slot Halaqah Jiwa telah diadakan. Slot ketiga kem diteruskan selepas sarapan pada jam 8:15 pagi iaitu slot D.I.C.E . Aktiviti berkumpulan ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta dengan  kemahiran membuat keputusan menggunakan  teknik  D.I.C.E  iaitu Determine, Identify, Choose  dan Evaluate. Selasai slot D.I.C.E , pengisian kem diteruskan dengan slot Work It Out  yang menekankan teknik yang betul dalam membuat sesuatu perancangan iaitu menggunakan teknik  “Apakah?  Bilakah?  Bagaimanakah? dan Siapakah? disamping memupuk semangat berkerjasama dalam kumpulan. Slot berikutnya ialah slot Cheers War, slot ini telah berjalan dengan suasana yang sangat ceria dan menyegarkan. Setiap kumpulan perlu berfikiran kritis dan kreatif dalam menghasilkan tepuk sorak kumpulan masing-masing yang mana ia akan dipersembahkan kepada kumpulan lain. Slot tersebut berakhir pada jam 11:30 pagi mengakhiri pengisian sesi pagi. Seterusnya peserta diberi ruang waktu untuk makan dan Solat Jumaat.


Peserta membentangkan hasil kerja mereka kepada fasilitator

     Bermula jam 2:30 petang, slot Last Man Standing berlangsung. Peserta dipecahkan kepada 3 kumpulan besar dan melakukan aktiviti yang menguji tahap keyakinan diri, pengawalan emosi dan pemikiran kritis. Peserta dikehendaki untuk berhujah berdasarkan tajuk yang diberikan berdasarkan fakta yang tepat. Selepas Solat Asar berjemaah, slot seterusnya diadakan di padang sekolah iaitu slot The Burj. Peserta dipecahkan mengikut jantina dan dibekalkan dengan beberapa alatan seperti batang paip, tali rafia dan penyambung paip. Setiap kumpulan ditugaskan menyiapkan binaan bangunan tertinggi menggunakan bahan yang telah disediakan. Kemahiran mendengar arahan ketua amat penting dalam memastikan tugasan dapat diselesaikan dengan mudah dan cepat.

Peserta bertindak berdasarkan arahan ketua mereka

     Slot seterusnya berlangsung jam 9:00 malam selepas selesai persiapan diri, solat Magrib dan Isyak secara berjemaah iaitu slot Salah Siapa. Setiap kumpulan mewakili sesuatu pihak yang terlibat dalam situasi yang diberikan oleh fasilitator. Setiap kumpulan perlu bertindak proaktif dalam melontarkan hujah dan mempertahankan diri dalam mencari pihak yang benar-benar bersalah. Slot ini telah berjaya mencapai objektifnya iaitu peserta dapat berfikiran kritis dan kreatif. Seusai slot Salah Siapa, aktiviti malam tersebut diteruskan dengan slot Cermin Diri, pengisian slot ini lebih kepada sesi memuhasabahkan peserta untuk menjadi pemipin yang lebih memahami akan tanggungjawab mereka. Perjalanan slot ini telah dirancang agar kelihatan serius dan lebih praktikal, situasi yang diwujudkan perlu diselesaikan oleh peserta secara langsung. Slot ini merupakan slot yang paling mencabar minda peserta sebagai seorang pemimpin sekolah.

Peserta gigih melepasi halangan semasa slot Cermin Diri

Sabtu | 11 April 2015

     Hari ketiga kem dimulai dengan slot Timeline yang bermula pada jam 8:15 pagi. Peserta dibahagikan kepada 3 kumpulan besar mengikut tahap pengajian yang terdiri daripada Menengah Rendah, Menengah Atas dan Pra Universiti. Perkongsian dan pendedahan yang amat berguna telah diberikan kepada peserta berkaitan teknik belajar, hala tuju pendidikan dan maklumat kerjaya yang berkaitan. Slot terakhir bermula pada jam 9:15 pagi iaitu slot Hati Ke Hati, slot ini merupakan slot terakhir para peserta bersama fasilitator masing-masing. Pengisian slot adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada peserta untuk memberi penilaian dan maklum balas berkenaan pelaksanaan program secara keseluruhannya.

     Majlis Perasmian Penutup berlangsung tepat jam 11:00 pagi. Hadir merasmikan majlis penutup serta menyampaikan sijil kepada peserta adalah Pengetua SMK Menerong, Puan Hajah Kamariah Binti Mamat. Turut hadir, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Encik Mohd Radzi Bin Abd Rahman dan Penasihat Kelab In-Smartive UMP, Encik Wan Nazrul Helmy Bin Wan Mohd Zain. Bagi mengakhiri majlis, sesi bergambar diadakan sebagai kenang-kenangan antara warga SMK Menerong dan Kelab In-Smartive UMP. Sebagai simbolik penutupan program, sesi menandatangani banner program turut diadakan.


Penyampaian cenderamata kepada pihak sekolah oleh Penasihat Kelab In-Smartive, Encik Wan Helmy Zain

Ahad | 12 April 2015

      Projek kali ini sedikit berbeza berbanding projek-projek yang biasa dijalankan. Setelah tamat berprogram di SMK Menerong, semua fasilitator dari SMK Menerong telah bergerak ke FELDA Mengkawang. Gabungan fasilitator In-Team SMK Menerong dan fasilitator PKM SK FELDA Mengkawang mewakili Kelab In-Smartive UMP telah mengadakan aktiviti gotong-royong di FELDA Mengkawang. Antara aktiviti yang telah dilaksanakan ialah gotong-royong membersihkan kawasan tanah perkuburan, membersihkan Pejabat Felda dan aktiviti mengecat simbol tapak kaki sepanjang jalan di dalam kawasan kampung, ia merupakan simbolik kepada ‘Kempen Berjalan 10 000 Langkah’ yang telah diadakan disana.

     Selesai aktiviti gotong-royong, satu Majlis Penghargaan telah diadakan oleh pihak FELDA Mengkawang, majlis telah berlangsung di Balai Raya FELDA Mengkawang. Tamat majlis, sedikit jamuan makan telah disediakan. Para fasilitator menikmati jamuan sebelum bertolak pulang ke UMP tepat jam 3:00 petang.


Antara aktiviti yang dilakukan semasa gotong-royonng

Disediakan oleh Jawatankuasa In-Team SMK Menerong, Safuan Sanosi

You Might Also Like

0 comments

Rakan Blog InSmartive

Total Pageviews