KEM INTERAKSI PEMIMPIN MUDA (IN-TEAM) SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN BANDAR TASIK SELATAN

10:08 AM

       Alhamdulilah syukur ke hadrat ilahi, kesinambungan perjuangan Kelab In-Smartive Univesiti Malaysia Pahang (UMP) masih lagi dapat diteruskan apabila Kelab In-Smartive telah berpeluang untuk mengendalikan projek Kem Interaksi Pemimpin Muda (In-Team) yang telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Selatan (SMKBTS). Kali ini, tugas sebagai Pengurus Projek telah dipertanggungjawabkan kepada Saudara Mohamed Marzuk Abdul Lathiff dan dipantau oleh Saudara Madyasir Ahmad Basir selaku Penyelaras Projek. Kem 3 hari 2 malam ini telah berlangsung pada 15 hingga 17 april yang lalu, ia merupakan projek pertama kerjasama antara pihak sekolah dan Kelab In-Smartive UMP. Projek kali ini dianggap unik kerana julung kalinya diadakan di tengah bandar dan pengurus projek ini merupakan alumni sekolah tersebut.

     Seramai 21 orang fasilitator daripada Kelab In-Smartive telah berkerjasama bagi menjayakan projek ini. Pihak sekolah telah menyerahkan 100 orang pelajar mereka yang terdiri daripada ahli organisasi kepimpinan sekolah dan unit beruniform yang merupakan pelajar daripada tingkatan satu dan tingkatan dua. Projek ini telah berlangsung dengan jayanya.



Jumaat| 15 Mei 2015

     Aktiviti Oh Gambang Oh Pekan telah diadakan oleh fasilitator-fasilitator bertujuan mempromosikan dan memberi pendedahan tentang Universiti Malaysia Pahang (UMP)  dan subjek-subjek yang ada kepada para pelajar tingkatan 5. Aktiviti ini bermula dari jam 1130 hingga 1230 dan telah berjalan dengan lancar. 


    Seterusnya ialah pendaftaran peserta berlangsung selepas berakhirnya perhimpunan sekolah dan Majlis Penyerahan Peserta kepada  Kelab In-smartive yang telah berlangsung pada jam 1500 di Dewan Terbuka Sekolah ynag telah disempurnakan oleh Pengetua SMK Bandar Tasik Selatan, Puan Hafsah Sharif kepada wakil penasihat Kelab Insmartive, Encik Asraf Ahmad. 


Perjalanan kem dimulakan dengan taklimat kursus yang telah diberikan oleh saudara Mohamed Marzuk Abdul Lathiff  selaku Pengurus Projek. Peserta didedahkan dengan taklimat mengenai perjalanan kem, peraturan sepanjang kem dan taklimat kesihatan dan keselamatan peserta yang perlu dipatuhi oleh semua pihak.
     Sesudah Majlis Penyerahan Peserta, slot pertama kem dimulakan tepat jam 1600 iaitu slot Tak Kenal Maka Tak Cinta, slot ini memberi peluang kepada perserta untuk saling mengenali antara satu sama lain dan mengenali fasilitator kem. Peserta telah dibahagikan kepada 10 kumpulan yang terdiri daripada 10 ahli dan 1 orang fasilitator kumpulan. Perjalanan slot telah diceriakan dengan pelbagai permainan menarik dan kreatif yang telah diatur bagi mencapai objektif slot. Slot ini telah berlangsung selama 1 jam. Selepas itu, peserta diberi masa untuk solat Asar secara berjemaah dan memasang khemah mereka sendiri di dataran perhimpunan sekolah. 


     Solat Magrib dan Isyak secara berjemaah diadakan di surau sekolah, masa terluang diisi dengan slot Allah Dihatiku kepada peserta yang telah dikendalikan oleh AJK Kerohanian kem di mana slot ini bertujuan untuk peserta lebih mengenali nama-nama Allah. Seterusnya, slot Mulanya Di Sini telah dijalankan seperti yang dirancang. Slot tersebut berlangsung di dewan terbuka sekolah. Pengisian slot tersebut amat berguna kepada peserta dalam memahami fungsi jawatankuasa mengikut susunan organisasi yang ditetapkan dengan betul. Antara pengisian slot adalah penyampaian manifesto oleh calon seterusnya sesi pemilihan melalui sistem undi. Organisasi yang telah terbentuk tersebut dilengkapi dengan pelbagai jawatan dan portfolio. Bendera organisasi juga telah dicipta oleh peserta mengikut kreativiti mereka. Slot tamat pada jam 2230 malam dan diteruskan dengan slot Warkah Buat Sang Pemimpin dimana peserta membuat resolusi terhadap diri dan rakan-rakan serta slot Muhasabah Diri.

Sabtu | 16 Mei 2015     

    Seawal jam 5:00 pagi, aktiviti qiamulail telah dijalankan, Solat Subuh berjemaah dan slot Halaqah Jiwa telah diadakan. Slot ketiga kem diteruskan selepas sarapan pada jam 0815 dengan slot D.I.C.E . Aktiviti berkumpulan ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta dengan  kemahiran membuat keputusan menggunakan  teknik D.I.C.E  iaitu DetermineIdentifyChoose  dan Evaluate. Selasai slot D.I.C.E , pengisian kem diteruskan dengan slot Work It Out  yang menekankan teknik yang betul dalam membuat sesuatu perancangan iaitu menggunakan teknik  “Apakah?  Bilakah?  Bagaimanakah? dan Siapakah? disamping memupuk semangat berkerjasama dalam kumpulan. Seterusnya slot Last Man Standing yang menguji sifat keberanian,tahap pengawalan emosi dan tahap keyakinan peserta untuk bercakap di hadapan. Slot tersebut berakhir pada jam 1230 mengakhiri pengisian sesi pagi. Seterusnya peserta diberi ruang waktu untuk makan dan solat Zuhur secara berjemaah di surau sekolah.

       Bermula jam1400 slot Cheers War berlangsung di mana slot ini telah berjalan dengan suasana yang sangat ceria dan menyegarkan.Set iap kumpulan perlu berfikiran kritis dan kreatif dalam menghasilkan tepuk sorak kumpulan masing-masing yang mana ia akan dipersembahkan kepada kumpulan lain. Selepas solat Asar berjemaah, slot seterusnya diadakan di padang sekolah iaitu slot The Burj. Peserta dipecahkan mengikut jantina dan dibekalkan dengan beberapa alatan iaitu batang paip, tali rafia dan penyambung paip. Setiap kumpulan ditugaskan menyiapkan binaan bangunan tertinggi menggunakan bahan yang telah disediakan. Kemahiran mendengar arahan ketua amat penting dalam memastikan tugasan dapat diselesaikan dengan mudah dan cepat. 


       Slot seterusnya berlangsung jam 2100 iaitu slot Salah Siapa. Setiap kumpulan perlu bertindak proaktif dalam melontarkan hujah-hujah mereka dan mempertahankan diri dalam mencari pihak yang benar-benar bersalah. Slot ini telah berjaya mencapai objektifnya iaitu peserta dapat berfikir dengan pantas dan kreatif. Slot berikutnya ialah Humpty Dumpty di mana peserta dibahagikan kumpulan mengikut jantina dan diberi kertas mahjung,bola ping pong dan sudu plastik. Peserta dikehendaki berdiri di atas kertas mahjung yang akan dilipat dari masa ke semasa dan meletakkan bola ping pong di atas sudu plastik serta perlu mengimbangkan bola ping pong tersebut supaya tidak jatuh. Slot ini bertujuan untuk menguji kreativiti dan kerjasama peserta. Seusai Slot Humpty Dumpty, aktiviti malam tersebut diteruskan dengan Slot Cermin Diri. Pengisian slot ini lebih kepada sesi memuhasabahkan peserta untuk menjadi pemipin yang lebih memahami akan tanggungjawab mereka. Perjalanan slot ini telah dirancang agar kelihatan serius dan lebih praktikal di mana situasi yang diwujudkan perlu diselesaikan oleh peserta secara langsung. Slot ini merupakan slot yang paling mencabar minda peserta untuk menjadi pemimpin di masa hadapan. 


Ahad | 17 Mei 2015

   Slot pada pagi itu bermula pada jam 9:15 pagi iaitu slot Hati Ke Hati, slot ini merupakan slot terakhir para peserta bersama fasilitator masing-masing. Pengisian slot adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada peserta untuk memberi pendapat dan memberi penilaian serta maklum balas berkenaan pelaksanaan program secara keseluruhannya.

     Majlis Perasmian Penutup berlangsung tepat jam 1100. Hadir merasmikan majlis penutup serta menyampaikan sijil kepada peserta adalah Pengetua SMK Bandar Tasik Selatan, Puan Hafsah Sharif. Turut hadir, Yang-Dipertua PIBG, Encik SophianRamly dan Penasihat Kelab In-Smartive UMP, Encik Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain. Bagi mengakhiri majlis, sesi bergambar diadakan sebagai kenang-kenangan antara warga SMK Menerong dan Kelab In-Smartive UMP. Sebagai simbolik penutupan program, sesi menandatangani banner program turut diadakan. Tamat majlis, sedikit jamuan makan telah disediakan. Para fasilitator menikmati jamuan sebelum bertolak pulang ke UMP tepat jam 1745.











You Might Also Like

0 comments

Rakan Blog InSmartive

Total Pageviews