KEM INTERAKSI PEMIMPIN MUDA (IN-TEAM) SMK PADANG TENGKU 2015
8:41 PM
Pada 6 hingga 8 Mac 2015, telah
berlangsungnya Kem Interaksi Pemimpin Muda (IN-TEAM) Sekolah Menengah
Kebangsaan Padang Tengku (SMKPT) buat kali ke-2 dibawah kendalian Kelab
In-Smartive Universiti Malaysia Pahang.
Kem ini disertai seramai 86 orang pelajar yang terdiri daripada Pengawas Sekolah, Exco Asrama
dan Pembimbing Rakan Sebaya. Seramai 31 orang fasilitator daripada Kelab
In-Smartive turut menjayakan kem ini. Hasil kerjasama pihak sekolah dan Kelab
In-Smartive, kem selama 3 hari 2 malam ini telah berlangsung dengan jayanya.
Objektif kem ini adalah untuk melahirkan
pemimpin yang bertanggungjawab dan amanah dalam menjalankan tugas yang
diberikan. Disamping itu, kem ini diadakan untuk memantapkan lagi kepimpinan serta
ketahanan fizikal dan mental pelajar sebagai seorang pemimpin.
6 Mac 2015 | Jumaat
Tepat jam 4.00 petang, bas yang membawa
fasilitator dari Universiti Malaysia Pahang telah selamat tiba di Kem Camas,
Kampung Selendang, Kuala Lipis, Pahang. Majlis penyerahan disempurnakan oleh Penolong Kanan Hal Ehwal
Murid SMKPT, Puan Harinawati Binti Hussin. Selepas itu, para peserta menunaikan solat asar secara berjemaah
bersama fasilitator. Slot pertama dimulakan dengan taklimat
kursus yang telah disampaikan oleh saudara Madyasir Bin Ahmad Basir selaku Pengurus Projek untuk kem ini. Peserta diberi pendedahan tentang prinsip Pilihan
dan Berdikari pada kem kali ini . Dalam
slot ini, tag nama dan barang amanah diberikan kepada para peserta.
Penghuluwati Sementara melaporkan kekuatan peserta kepada Pengurus Projek.
Selesai taklimat kursus, para peserta
dilepaskan untuk khidmat diri dan makan malam. Setelah itu, para peserta
melaksanakan solat maghrib secara berjemaah. Slot Halaqah Jiwa dijalankan di antara solat Maghrib
dan solat Isya’. Pada jam 9.00 malam, pembahagian kumpulan dijalankan di dalam
slot Tak Kenal Maka Tak Cinta. Slot ini dimulakan
dengan memperkenalkan para fasilitator
kepada para peserta. Dalam slot ini, para peserta dibenarkan untuk memilih
sendiri fasilitator kumpulan yang mereka inginkan. Hal ini kerana konsep kem pada kali ini adalah Pilihan dan
Berdikari.
Sesi pengenalan antara peserta dan fasilitator kumpulan dalam slot Tak Kenal Maka Tak Cinta.
Slot seterusnya ialah Mulanya Di Sini. Antara aktiviti yang dijalankan ialah penghasilan ”bandage” kumpulan, bendera
pasukan, penubuhan organisasi peserta serta pertabalan Penghulu dan Penghuluwati. Kem pada kali ini membawa sedikit kelainan di mana Penghulu dan Penghuluwati perlu menjalani sesi angkat sumpah untuk watikah perlantikan. Slot
ini tamat pada jam 11.30 malam.
Sesi menandatangani surat angkat sumpah oleh Penghuluwati kem.
Pada malam yang hening di Kem Camas ini, slot
diteruskan lagi dengan Warkah Buat Sang Pemimpin. Dalam slot yang istimewa ini,
peserta perlu menulis coretan buat rakan yang lain secara rawak tanpa
pengetahuan tuan empunya badan. Secara rasionalnya, peserta dapat menegur
kekhilafan sesama sendiri dan seterusya menambah nilai diri masing-masing. Sebagai
penutup aktiviti, slot Pra-muhasabah dijalankan. Slot ini
bertujuan memberi kesedaran kepada peserta akan kelemahan dan kekurangan diri
sebagai seorang pemimpin.
7 Mac 2015 | Sabtu
Para peserta dikejutkan seawal jam 5 pagi
untuk sesi Qiamullail. Meskipun tidur lewat berikutan slot Pra-muhasabah, para
peserta masih bersemangat untuk bangun pada awal pagi bagi pengisian rohani. Usai
solat Subuh secara berjemaah dan slot Halaqah Jiwa, para peserta berkumpul di
hadapan rumah tetamu untuk perhimpunan pagi dan senaman pagi yang dikenali
sebagai slot “Rise and Shine”. Para peserta begitu teruja apabila mereka dibawa
berjoging di kawasan sekitar kem oleh para fasilitator. Aktiviti ini sangat membantu dalam
meningkatkan tahap kecergasan para peserta untuk menjalani aktiviti sepanjang
hari.
Selepas sarapan pagi, para peserta diperkenalkan dengan slot “Story
Behind the Paper”. Dalam slot ini, peserta dapat mempamerkan kreativiti dan
teknik mengarang masing-masing. Para peserta perlu membuat karangan ringkas
berdasarkan tajuk yang diberi menggunakan keratan ayat dari surat khabar. Objektif slot ini ialah
untuk menguji tahap kerjasama antara ahli kumpulan. Disamping itu, para peserta
dapat belajar untuk lebih bijak menyelesaikan tugasan yang diberi dalam masa
yang ditetapkan.
Peserta menerangkan karangan “Story Behind the Paper” mereka.
Tepat jam 10.00 pagi, pengisian
aktiviti diteruskan dengan slot Siapa Aku. Slot ini dijalankan untuk
meningkatkan motivasi para peserta agar menjadi pemimpin yang berwibawa. Hal
ini kerana, mereka perlu membandingkan sikap dan akhlak diri mereka dengan
tokoh yang dikagumi oleh mereka. Selepas menikmati kudapan, slot Kapal Bocor
pula dijalankan. Slot ini mendapat sambutan yang hangat kerana para peserta
masing-masing hebat dalam mempertahankan hujah dan pendirian masing-masing.
Mereka perlu berhujah dan mempertahankan diri agar nakhoda kapal memilih mereka
untuk diselamatkan.
Siapa aku?
Usai menunaikan solat fardhu Zohor secara
berjemaah, perjalanan pada hari ini diteruskan lagi dengan slot “Last Man
Standing”. Slot ini merupakan salah satu
medium untuk memberi ruang kepada peserta bagi meningkatkan keyakinan diri
terutamanya ketika berucap di khalayak ramai. Slot Parlimen Hari ini yang
dijalankan selepas itu juga tidak kurang hebatnya. Slot ini membawa pendekatan
yang sama di mana peserta perlu berbahas berdasarkan tajuk yang diberi
berlandaskan fakta yang tepat di khalayak ramai dengan berpandukan tatacara
seperti di Dewan Parlimen.
Peserta dipilih secara rawak untuk memberi ucapan di khalayak ramai.
Pada sebelah petangnya, tepat jam 5.00 petang slot Botol Kat Mana dijalankan. Setiap
peserta diberi sehelai kain untuk menutup mata. Cabaran utama dalam slot ini
adalah, mereka perlu mencari kedudukan botol dalam keadaan mata terikat dengan
kain sambil diberi arahan oleh ketua mereka sendiri.
Peserta sedang
berjalan sambil mencari botol dengan kawalan ketua mereka.
Pada malamnya pula, aktiviti
disambung lagi dengan slot “Work It Out”. Slot ini memperkenalkan para peserta
terhadap kemahiran merancang untuk menyelesaikan masalah.
Selain itu, peserta dapat mengetahui kepentingan perancangan menggunakan teknik
“What? When? How? dan Who?”. Objektif slot ini adalah untuk mendidik peserta agar
dapat berfikir secara strategik untuk menyelesaikan masalah bersama-sama ahli
kumpulan.
Slot terakhir ini adalah kemuncak
aktiviti iaitu slot Cermin Diri yang merupakan sesi muhasabah diri. Slot ini
dikendalikan oleh Encik Wan Nazrul Helmy Bin Wan Mohd Zain, Ketua Penyelidik
Kepada Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang merangkap Penasihat Kelab
In-Smartive. Muhasabah pada kali kedua ini menggunakan pendekatan kepimpinan dalam konsep Pilihan dan Berdikari. Emosi, fizikal, minda dan juga rohani diuji untuk melihat sejauh
mana mereka memahami prinsip Pilihan dan Berdikari. Untuk sampai ke tempat slot
Cermin Diri dijalankan, setiap peserta diuji dengan menutup mata.
Mereka terpaksa berjalan di dalam kegelapan berlandaskan seutas tali yang telah
diikat pada pokok-pokok. Sepanjang perjalanan, mereka diganggu dengan pelbagai
gangguan yang telah direncanakan oleh para fasilitator.
Peserta berjalan
sambil memegang bahu rakan-rakan sambil diawasi oleh para fasilitator.
8 Mac 2015 | Ahad
Hari ini merupakan hari terakhir di kem ini. Seperti biasa, peserta
dikejutkan seawal jam 5.00 pagi untuk menunaikan tanggungjawab kepada Yang Maha
Esa. Slot pertama pada hari terakhir ini diambil alih oleh fasilitator yang
terlibat bagi meneruskan slot Untukmu Guru. Slot ini bertujuan untuk membantu
para peserta dalam merangka pelan bagi persediaan untuk menyambut Hari Guru. Dapatan
pelajaran dari slot ini adalah peserta dapat melatih diri untuk membuat pelan
pelaksanaan secara terarah. Slot
Hati ke Hati diteruskan selepas itu dimana para peserta diberikan borang
penilaian terhadap pelaksanaan kursus secara keseluruhan terhadap diri dan
kepimpinan mereka. Di samping itu, slot ini bertujuan untuk merasionalkan serta
menegaskan semula para peserta terhadap setiap objektif slot yang dilaksanakan
sepanjang kem ini untuk kesedaran dan pengaplikasian oleh para peserta selepas
ini.
Peserta merancang aktiviti serta pelaksanaan Hari Guru dalam slot Untukmu Guru sambil dibimbing oleh fasilitator kumpulan.
Bagi mengakhiri IN-TEAM SMK Padang Tengku ini,
majlis perasmian penutup diadakan. Ucapan daripada penghulu bagi kem ini mendahului
majlis. Majlis diteruskan dengan ucapan Ketua Penyelidik Kepada Naib Canselor merangkap
Penasihat kelab In-Smartive, Encik Wan Nazrul Helmy Bin Wan Mohd Zain dan
perasmian penutup oleh Naib Yang Dipertua PIBG SMK Padang Tengku, Encik
Shamsudin Bin Idris. Sijil penyertaan kepada para peserta dari pihak Kelab
In-Smartive Universiti Malaysia Pahang turut diserahkan. Pihak sekolah juga
turut menyerahkan cenderahati kepada para fasilitator Kelab In-Smartive. Majis
turut dihadiri oleh Guru Penolong Kanan Pentadbiran SMKPT, Guru Penolong Kanan
HEM SMKPT serta guru-guru penyelaras badan pengawas SMKPT.
Majlis penutup kem ini diserikan lagi dengan persembahan daripada para
peserta dan fasilitator. Sesi bergambar sebagai kenang-kenangan di antara pihak
SMK Padang Tengku dan Kelab In-Smartive Universiti Malaysia Pahang dan upacara
menandatangani banner program ini turut diadakan sebagai simbolik majlis
penutup kem ini.
Sesi menandatangani ‘banner’.
Gambar sesi penutupan Kem Interaksi Pemimpin Muda SMK Padang Tengku.
Tahniah buat semua yang terlibat dalam menjayakan Kem Interaksi Pemimpin Muda SMK Padang Tengku.
Disediakan oleh Jawatankuasa IN-TEAM SMK Padang Tengku, Fahimah Binti Mohd Noor
0 comments