KEM INTERAKSI PEMIMPIN MUDA (IN-TEAM) SEK. KEB. (LKTP) JENGKA 5

4:30 PM

Pada 25 Mac hingga 27 Mac 2016, telah berlangsungnya Kem Interaksi Pemimpin Muda (IN-TEAM) dengan kerjasama antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Sekolah Kebangsaan (LKTP) Jengka 5. Program ini merupakan program ketiga kerjasama antara kelab In-Smartive dan pihak sekolah selepas dua tahun menganjurkan Projek Kilauan Mutiara. Program ini diketuai oleh Pengurus Projek, Nur Afifah Binti Ahmad Sabri dan dibantu oleh alumni sekolah tersebut, Nor Hafizatul Ain Binti Mohd Yusoff. Seramai 75 orang pelajar yang terdiri daripada pengawas, ketua kelas dan penolong ketua kelas serta 25 orang fasilitator UMP yang telah menjayakan program ini. 

Dalam program ini, semua modul yang dijalankan dirumus berdasarkan enam aspirasi kemenjadian murid Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu Pengetahuan (25.4%), Kemahiran Berfikir (22.2%), Kemahiran Kepimpinan (15.9%), Etika dan Kerohanian (19.0%), Profisiensi Dwibahasa (8.0%) dan Identiti Nasional (9.5%).

Jumaat | 25 Mac 2016

Pergerakan bas yang membawa para fasilitator dari UMP ke destinasi program sepatutnya bermula pada jam 10.00 pagi tetapi dilewatkan kepada jam 12.00 tengah hari dan selamat tiba pada jam 1.30 tengah hari. Seterusnya, Majlis Penyerahan Peserta telah dimulakan pada jam 3.30 petang dan disempurnakan oleh guru besar Sekolah Kebangsaan (LKTP) Jengka 5, Encik Kassim Bin Haji Pardi. Selepas selesai solat asar, program yang sebenar dimulakan dengan slot taklimat kursus yang telah disampaikan oleh Pengurus Projek, Nur Afifah Binti Ahmad Sabri kepada peserta tentang peraturan yang perlu dipatuhi serta pendedahan kepada prinsip "One For All, All For One".

Slot seterusnya ialah slot Tak Kenal Maka Tak Cinta yang asalnya dibuat pada waktu malam. Di sini semua peserta telah mengenali semua fasilitator dan membentuk sebuah kumpulan untuk slot di sepanjang program ini. Selepas slot kedua, peserta dan fasilitator bersembahyang Maghrib dan Isyak berjemaah disamping mendengar tazkirah Celik Minda dan mengenali Doa Rabitah. Setelah selesai, acara seterusnya ialah Mulanya Di Sini. Slot ini bertumpu kepada pembentukan penghulu dan penghuluwati sepanjang projek berlangsung dan diteruskan dengan membuat satu bandage kumpulan dan bendera. Selepas slot ini, telah berlangsungnnya kemuncak program untuk hari pertama iaitu Warkah Buat Sang Pemimpin. Di sini peserta bertukar pendapat dengan ahli kumpulan yang lain dapat mencerminkan diri mereka dengan pandangan rakan-rakan yang lain.

Sebelum makan malam, penghulu perlu membaca doa

Sabtu | 26 Mac 2016

Hari kedua program ini telah dimulakan dengan sesi khidmat diri, solat subuh, sesi Halaqah Jiwa dan perhimpunan pagi. Selepas selesai perhimpunan, semua peserta melakukan Morning Punch-Out untuk memberi semangat penuh bagi peserta sendiri.

Slot pertama untuk hari kedua ialah D.I.C.E. dimana setiap kumpulan perlu merancang dan membina sebuah 'Pulau Impian' serta mencari dan menyelesaikan satu daripada semua masalah menggunakan konsep D.I.C.E. iaitu Determine, Identify, Choose dan Evaluate. Peserta telah dapat merancang dan membuat sebuah keputusan yang sesuai dan tepat.

Peserta sedang menulis beberapa penyelesaian dalam slot D.I.C.E.

Slot seterusnya selepas D.I.C.E. ialah slot Siapa Aku?. Dalam slot ini, peserta telah dapat merefleksikan diri mereka dengan pemimpin yang telah dikenalpasti ciri-ciri pemimpin yang sebenar. Selepas itu, slot S.A.L.A.M. telah dimulakan pada jam 10.30 pagi. Slot ini tertumpu kepada kemahiran pengetahuan dan pemikiran peserta dimana mereka perlu membina ayat berdasarkan gambar yang diberi dengan menggunakan konsep S.A.L.A.M.  iaitu 'siapa', 'aktiviti', 'lokasi', 'alatan', dan 'mengapa'. 


Peserta sedang mengrefleksikan diri dalam slot Siapa Aku?

Program diteruskan dengan slot Last Man Standing pada jam 2.30 petang. Sebelum slot tesebut bermula, dua kumpulan besar peserta terbentuk dan mereka perlu melawan bahas melalui aktiviti Battle of Questions dan Battle of Statements. Dengan menggunakan teknik I-MEC iaitu Introduction, Main point, Explaination dan Conclusion, setiap peserta perlu memberanikan diri untuk berhujah pendapat melalui komunikasi satu-hala dan dua-hala berdasarkan tajuk yang diberikan oleh fasilitator.


Selepas itu, akitiviti waktu petang dimulakan dengan slot Bob The Builder yang bertumpu kepada penilaian arahan ketua kepada ahli kumpulan. Di sinilah setiap kumpulan melantik seorang ketua dan tugas mereka ialah membina menara dengan menggunakan cawan, tali, dan getah dan peserta kumpulan perlu menutup mata sambil bekerjasama dan mendengar arahan daripada ketua.

Dalam slot Bob The Builder, peserta bekerjasama mengangkat cawan tersebut

Pada sebelah malam pula, slot Salah Siapa? dimulakan dan slot ini masih menggunakan teknik I-MEC seperti slot yang terdahulu. Dalam slot ini, setiap kumpulan dibahagikan kepada beberapa watak berdasarkan situasi yang diberikan dan mereka perlu berdebat mengenai masalah watak bagi situasi tersebut. Slot Cermin Diri merupakan slot kemuncak untuk hari kedua yang bertumpu kepada kesedaran dan ujian emosi, fizikal dan mental para peserta supaya dapat memahami konsep “One For All, All For One".


Ahad | 27 Mac 2016

Pada hari terakhir program ini peserta sekali lagi bangun untuk solat subuh, slot Halaqah Jiwa, perhimpunan pagi dan senaman Morning Punch-out. Pada pukul 8.00 pagi telah bermulanya slot Sembang Santai. Dalam slot ini, semua peserta melatih untuk bertukar pendapat dengan fasilitator dan peserta lain tentang pengajaran dan pengalaman yang peserta alami sepanjang program. Selepas itu, slot Hati Ke Hati merupakan slot penilaian untuk peserta member maklum balas mengenai program ini disamping fasilitator menilai tahap peserta.

Majlis Perasmian Penutup merupakan acara kemuncak untuk program ini dan disempurnakan oleh Pengurus FELDA Jengka 5, Abdul Ghani Nawawi turut dihadiri Penolong Pendaftar (Pentadbiran & Acara) Pejabat Naib Canselor UMP, Asraf Ahmad dan guru besar Sekolah Kebangsaan (LKTP) Jengka 5, Encik Kassim Bin Haji Pardi. Majlis penutup diserikan lagi dengan persembahan daripada para peserta berlatarkan lagu ‘Kenali Dunia’ yang merupakan lagu rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia dan penyampaian sijil dan cenderamat. Sesi bergambar kemudian diadakan sebagai kenang-kenangan antara pihak SK (LKTP) Jengka 5 dan Kelab In-Smartive UMP dan sesi menandatangani banner program ini turut diadakan sebagai simbolik penutupan program ini.

Penghulu, peserta lelaki dan perempuan terbaik bersama wakil

Sesi bergambar selepas Majlis Penutup
























You Might Also Like

0 comments

Rakan Blog InSmartive

Total Pageviews