LAWATAN SEKOLAH BERASRAMA PENUH INTEGRASI TEMERLOH KE UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG, PEKAN

11:30 PM

Pada 24 Mac 2016, Universiti Malaysia Pahang dengan kerjasama Kelab In-Smartive telah meraikan 24 pelajar Tingkatan 5 dan seorang guru pengiring dari Sekolah Berasrama Penuh Temerloh (SBPI Temerloh) ke Universiti Malaysia Pahang. Program ini bermula pada 9.30 pagi sehingga 5.00 petang dan bertempat di UMP Kampus Pekan.

Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar aliran kejuruteraan mengenai kursus kejuruteraan yang boleh mereka ceburi di universiti sekali gus memperkenalkan kursus-kursus yang ditawarkan di UMP kampus Gambang dan Pekan. Selain itu, lawatan ini juga dapat memberi pengalaman baharu dan gambaran awal kepada pelajar tentang kehidupan di universiti kelak.

Bas SBPI Temerloh tiba di perkarangan Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK) UMP Pekan pada jam 9.30 pagi. Kehadiran mereka disambut dengan meriah oleh fasilitator dan staff UMP. Guru pengiring sekolah, Puan Ira Irniyati Binti Ibrahim sangat peramah dan para pelajar kelihatan sangat teruja dan ceria saat mereka menjejakkan kaki ke UMP. Hal ini membuatkan fasilitator semakin bersemangat untuk mengenali adik-adik pelajar di samping berkongsi pengalaman hidup mereka sebagai pelajar universiti.

Program ini dimulakan dengan slot UMP Glory yang dikendalikan oleh Encik Asraf Bin Ahmad, Penolong Pendaftar, Pentadbiran Acara & Promosi, Pejabat Naib Canselor UMP. Slot ini berlangsung di Auditorium PBMSK dan  bertujuan untuk memberi ceramah motivasi kepada para pelajar. Mereka begitu teruja apabila Encik Asraf berkongsi pengalaman hidupnya sewaktu beliau bergelar seorang pelajar.

Slot UMP Glory yang dikendalikan oleh Encik Asraf Ahmad
Seterusnya, slot Brain Picking 1 berlangsung di mana para pelajar telah dibawa melawat ke makmal pembuatan di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) di dalam kumpulan bersama fasilitator kumpulan. Mereka berpeluang melihat simulasi yang dilakukan oleh pelajar Ijazah Sarjana. Tambahan pula, mereka kelihatan teruja dan tekun mendengar penjelasan yang disampaikan oleh pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda.

Pelajar tekun mendengar penjelasan daripada staf UMP mengenai alatan di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan

Keterujaan mereka diteruskan dengan slot Brain Picking 2 di mana mereka telah dibawa melawat makmal di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM). Mereka telah didedahkan dengan pelbagai teknologi yang terdapat di makmal tersebut. Mereka bertambah minat untuk mendengar taklimat yang diberikan oleh staff UMP mengenai fakulti tersebut kerana mereka dapat melihat proses penghasilan pemegang kad matrik yang dihasilkan oleh UMP sendiri.

Taklimat mengenai Fakulti Kejuruteraan Mekanikal yang disampaikan oleh staf UMP

Tepat jam 2.00 petang, slot Brain Picking 3 diteruskan. Pelajar telah dibawa oleh fasilitator kumpulan melawat makmal di Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE). Mereka telah diberikan pendedahan tentang kursus tersebut dan mereka kelihatan begitu aktif sewaktu sesi soal jawab bersama staf UMP. Tambahan pula, mereka berpeluang melihat simulasi ringkas tetapi menarik yang dilakukan oleh staf tersebut. 

Fasilitator sedang berkongsi pengalaman hidupnya bersama para pelajar

Usai slot Timeline, slot D.I.C.E menyusul di mana slot ini menguji kemahiran mereka dalam membuat keputusan dengan menggunakan teknik D.I.C.E iaitu Determine, Identify, Choose dan Evaluate. Pada mulanya, fasilitator akan bercerita serba sedikit informasi tentang Pulau Nauru. Seterusnya,mereka dikehendaki membuat keputusan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Pulau Nauru dan mencari inisiatif untuk menaikkan semula pulau tersebut. Para pelajar sangat tekun dalam menyelesaikan tugasan tersebut dan memberikan kerjasama yang sangat padu di dalam kumpulan masing-masing.

Fasilitator member informasi tentang Pulau Nauru dan memberi tugasan kepada pelajar

Sesudah tamat slot D.I.C.E, Majlis Penutup berlangsung tepat jam 4.00 petang yang dihadiri oleh Encik Asraf dan guru pengiring SBPI Temerloh, Puan Ira Irniyati Binti Ibrahim. Majlis tersebut berjalan dengan lancar dan disusuli dengan sesi bergambar sebagai tanda kenang-kenangan. Pelajar SBPI Temerloh bersurai dan bertolak pulang setelah selesai sesi bergambar. 

Sesi bergambar di hadapan pintu masuk Dewan Auditorium PBMSK UMP Pekan

You Might Also Like

0 comments

Rakan Blog InSmartive

Total Pageviews