KEM INTERAKSI PEMIMPIN MUDA SEKOLAH KEBANGSAAN JAMBU LAWAR, KELANTAN

11:40 PM

     Tanggal 23 hingga 25 Januari 2014 telah berlangsungnya program Kem Interaksi Pemimpin Muda  (IN-TEAM) Sekolah Kebangsaan Jambu Lawar bertempat di Machang, Kelantan. Seramai 40 orang fasilitator dari Kelab In-Smartive Universiti Malaysia Pahang (UMP) terlibat dalam menjayakan projek ini. Program ini melibatkan 139 peserta yang terdiri daripada pemimpin pelajar Tahun 3,4, 5 dan 6. Kem IN-TEAM ini bertujuan untuk mendidik pelajar sebagai pemimpin yang lebih bertanggungjawab dan berdisiplin di samping meningkatkan keyakinan diri dalam diri pemimpin muda ini.

     Sebelum menjengah ke sekolah, kami telah melaksanakan Mini Projek Semaian Budi di Pondok Hidayah II, Batu 30, Machang, Kelantan. Ketibaan kami disambut meriah oleh pengurus serta warga penduduk Pondok Hidayah. Pondok Hidayah merupakan satu penempatan yang terletak di Machang yang berkeluasan 30 hektar persegi. Kami dengan berbesar hati dapat melawat dan membantu melakukan aktiviti seperti bergotong-royong membersihkan kawasan, memasak, melukis mural dan beramah mesra dengan warga emas di pondok tersebut. Terlihatlah deraian air mata fasilitator dan warga emas saat kaki ingin melangkah pergi meninggalkan Pondok Hidayah. Walaupun hanya beberapa detik berkenalan, kemesraan yang terjalin dapat dirasai dan berharap agar ukhwah ini berkekalan.

Slot Taklimat Program bersama pengurus projek.
     Seterusnya, kami ke destinasi program di Sekolah Kebangsaan Jambu Lawar. Setibanya di sana, majlis penyerahan peserta kepada Kelab In-Smartive telah dilaksanakan dan peserta diberikan taklimat untuk mengetahui aliran program dan perkara-perkara yang berkaitan sepanjang program berlangsung.  Pepatah ada mengatakan 'Tak Kenal Maka Tak Cinta'. Oleh itu, modul Tak Kenal Maka Tak Cinta diperkenalkan untuk sesi pengenalan fasilitator kepada para peserta supaya mereka dapat mengenali setiap seorang fasilitator dan ini akan memudahkan komunikasi dua hala antara mereka. 

Peserta bersama-sama barang amanah

      Setiap pertemuan pasti ada perkenalan. Mulanya Di Sini merupakan modul di mana bermulanya satu kemesraan dan ikatan pengenalan antara para peserta dan fasilitator. Modul terakhir bagi para peserta sebelum melelapkan mata pada hari pertama ialah modul 'Light Camera Action'. 'Light Camera Action' diperkenalkan bagi membantu para peserta supaya dapat berfikiran kreatif dan kritis dalam membentangkan idea mereka.

     Hari kedua di mulakan dengan slot Tahajud Cinta kepada Yang Maha Esa. Setiap manusia perlukan makanan untuk terus hidup, begitu juga dengan jiwa dan diri yang perlukan makanan rohani. Tahajud Cinta ini bertujuan untuk menerapkan amalan kerohanian dalam diri setiap peserta disamping mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. 

Slot "Tahajud Cinta"
     Badan Cergas Minda Cerdas, aktiviti di pagi hari untuk menjaga kesihatan dan menguatkan kecergasan badan. Sesi keempat iaitu modul Kapal Bocor merupakan satu modul yang menggalakkan pelajar berfikir. Kapal bocor ini membantu mendidik para peserta untuk membuat keputusan dengan cepat dan tepat dalam situasi yang genting. Ada yang mengatakan bahawa ‘Orang yang berjaya adalah orang yang mampu membuat keputusan dengan tepat dalam masa kritikal’. 

Slot "Badan Cergas Minda Cerdas"
Slot "Kapal Bocor"

     Explorace merupakan salah satu aktiviti kemuncak yang ada dalam kem IN-TEAM. Explorace kali ini mempunyai 8 checkpoints. Peserta dikehendaki menyelesaikan setiap tugasan di setiap checkpoint untuk meneruskan permainan. Sikap berpasukan, bekerjasama dan juga semangat kesukanan dapat dipupuk dalam diri setiap peserta melalui aktiviti ini. 


Slot "Explorace"
     Seterusnya, modul Pulau Impian. Orang bijak ada berkata ‘Apabila terjadi sesuatu persoalan dan permasalahan maka cepatlah memperbaikinya’. Modul Pulau impian membantu para peserta untuk berfikiran kreatif dan kritis selain mampu membantu para peserta untuk berfikir dan berpandangan jauh ke hadapan. Pelajar meneruskan program mereka dengan modul ‘Bob The Builder’. Objektif modul ini adalah untuk memastikan pelajar mempunyai sikap bekerjasama dan saling mempercayai antara setiap ahli di dalam kumpulan disamping memupuk sikap kepimpinan. 

Slot "Bob The Builder"


   Hidup perlukan pengorbanan, pengorbanan perlukan perjuangan dan perjuangan perlukan keyakinan. Program diteruskan dengan modul 'Last Man Standing' untuk meningkatkan keyakinan para peserta. Muhasabah diri penting sebagai satu langkah untuk seseorang individu mencapai kejayaan. Slot muhasabah yang dilakukan nyata mampu membuat peserta menitiskan air mata tatkala mengenangkan kesalahan dan perlakuan mereka yang kurang menyenangkan. Sudah terang lagi bersuluh bahawa muhasabah mampu menyedarkan para peserta untuk menjadi individu yang lebih baik di masa akan datang.

Slot "Last Man Standing"


Slot "Muhasabah"


     Hari terakhir program ini dimulai dengan slot 'Inspire'. Objektif slot ini diadakan adalah untuk meningkatkan motivasi diri para peserta supaya mereka lebih bermotivasi dan bersemangat dalam menjalani hidup ini. Menggilap Mutiara merupakan modul terakhir dilakukan bagi mengetahui kesesuaian program dan kejayaan program yang dilaksanakan. Selain itu, para peserta dapat saling berkongsi cerita dan perasaan mengenai program yang dijalankan. 

Slot "Menggilap Mutiara"

     Setiap permulaan pasti ada pengakhirannya. Begitu juga setiap pertemuan pasti ada perpisahan akhirnya. Penghujung program kami di akhiri dengan perasmian penutup yang dihadiri oleh Guru Besar, guru-guru serta para pelajar Sekolah kebangsaan Jambu Lawar. Sesi fotografi dan bersalaman menjadi tirai penutup buat program Kem Interaksi Pemimpin Muda SK Jambu Lawar ini. 



You Might Also Like

0 comments

Rakan Blog InSmartive

Total Pageviews