KEM INTERAKSI PEMIMPIN MUDA 2.0 SMK NENASI

4:46 AM

KEM INTERAKSI PEMIMPIN MUDA 2.0 SMK NENASI

Pada 14 Februari hingga 16 Februari 2014, telah berlangsungnya Kem Interaksi Pemimpin Muda (IN-TEAM) bagi para pemimpin Sekolah Menengah Kebangsaan Nenasi, Pekan, Pahang yang telah dikelolai oleh Kelab In-Smartive Universiti Malaysia Pahang (UMP). Seramai 96 orang peserta yang terdiri daripada pengawas sekolah, pengawas pusat sumber dan pembimbing rakan sebaya yang berusia antara 13 tahun hingga 17 tahun terlibat dalam kem ini. Hasil kerjasama daripada fasilitator Kelab In-Smartive, pihak sekolah dan pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, kem ini telah berjaya melabuhkan tirai setelah selama 3 hari 2 malam kem ini berlangsung. Untuk makluman, kem ini sebenarnya telah diadakan sebelum ini dan setelah diberi kepercayaan oleh pihak sekolah untuk berkolaborasi bersama Kelab In-Smartive, kem ini sekali lagi diadakan untuk kali kedua.  

Kem IN-TEAM ini bertujuan untuk mendidik para pelajar supaya menjadi pemimpin yang lebih bertanggungjawab dan berdisiplin di samping meningkatkan keyakinan diri dalam diri para pemimpin muda ini. Para peserta diberikan pilihan untuk memilih beberapa barang amanah yang telah disediakan dan setiap para peserta diberikan satu tag nama yang akan dipakai dan akan menjadi ganti nama mereka sepanjang program ini berlangsung. Tidak hanya itu, para peserta juga telah diberikan pilihan untuk menyerahkan atau menyimpan sendiri barang-barang berharga seperti jam tangan, telefon bimbit atau barangan elektronik mereka.

14 Februari 2014

Setibanya di tapak persekolahan SMK Nenasi, kedatangan kami disambut mesra oleh guru-guru SMK Nenasi. Seterusnya, kami dibawa ke dewan terbuka sekolah tersebut untuk melanjutkan agenda kem ini iaitu majlis penyerahan pelajar secara rasmi kepada kelab In-Smartive yang telah diadakan oleh wakil pihak pengurusan SMK Nenasi.


Selesai sahaja Majlis Penyerahan, satu taklimat kursus telah diberikan oleh Saudari Amanina Farhana yang merupakan Pengurus Projek In-Smartive untuk kali ini kepada para peserta. Pada ketika ini, para peserta diterangkan berkenaan kod etika, ketetapan masa, disiplin dan slogan pendekatan yang akan diaplikasikan sepanjang kem iaitu “One for All, All For One”. Namun demikian, untuk memberi kelainan pada program yang pernah dilakukan sebelum ini, sedikit penambahan telah diadakan iaitu konsep “Pilihan & Berdikari”.

Tak Kenal Maka Tak Cinta merupakan slot pertama bagi kem ini. Aktiviti ini bertujuan untuk memperkenalkan fasilitator kepada para peserta. Konsep pilihan diberikan kepada peserta untuk memilih fasilitator pilihan mereka. Seterusnya, para peserta di bahagikan kepada 10 kumpulan kecil di mana fasilitator yang dipilih sebentar tadi akan menemani mereka sepanjang kem ini dijalankan. Selepas itu mereka diberikan sedikit masa untuk lebih mengenali ahli kumpulan dan juga fasilitator dengan lebih rapat. Sejurus tamat, para peserta telah dilepaskan untuk menunaikan solat asar dan menikmati sedikit kudapan.

Pada sebelah malamnya pula, sesi diteruskan dengan perlantikan penghulu dan penghuluwati. Mereka akan diberikan amanah dan tanggungjawab untuk memastikan anak buah mereka berada dalam keadaan terkawal. Untuk sesi ini, para peserta diberi pilihan untuk melantik atau sukarela menawarkan diri untuk menjadi penghulu dan penghuluwati. Pelantikan ini dimulakan dengan cadangan, manifesto, pengundian dan akhir sekali ialah penubuhan kabinet.

Perlantikan rasmi diadakan untuk merai kabinet yang ditubuhkan.

Kata sepakat dipersetujui atas kabinet yang ditubuhkan.

Siapa yang berada di tangga teratas?

Sesi “Bandage” diteruskan dimana setiap kumpulan diminta mencipta logo kumpulan masing-masing yang melambangkan identiti kumpulan mereka. Beberapa kumpulan telah dipilih untuk membuat pembentangan dan menampilkan kreativiti masing-masing. Setiap bentuk, warna dan lakaran mempunyai rationalnya. Tujuannya adalah untuk menjadikan para peserta dapat berfikiran secara kreatif disamping sedar akan tanggungjawab menjaga amanah. ‘Cheer’ juga tidak ketinggalan untuk  membakar semangat setiap kumpulan untuk saling bekerjasama. Sebelum terlupa, para peserta juga telah membuat satu bendera untuk mewakili semua.

Logo bendera yang melambangkan kesepakatan mereka.

Seterusnya, fasilitator menerangkan skop tugasan kepada para peserta. Di sini, para peserta dapat mengetahui pertimbangan yang mendalam sangat diperlukan sebelum membuat keputusan disamping perlunya berfikir secara kreatif dan kritis untuk menyelesaikan sesuatu masalah dan mengimbau kembali sepanjang aktiviti seharian mereka supaya dapat diperbaiki pada keesokannya. Sebelum para peserta dilepaskan ke bilik penginapan masing-masing dan makan malam, “Warkah Cinta Buatmu Sahabat” telah diadakan di mana mereka perlu berutus surat antara mereka.

15 Februari 2014

Seawal jam 0500,  para peserta bersedia untuk qiammulail. Selesai qiammulail dan solat subuh berjemaah, mereka dijamukan dengan sarapan pagi dan bersedia bergerak ke UMP Kampus Pekan untuk sesi “Explorace”. Pada jam sekitar 0730 para fasilitator dan peserta bergerak ke UMP Kampus Pekan dan tiba sekitar jam 0830 dengan menaiki 4 buah bas. Memandangkan cuaca pada ketika itu tidak berapa baik, sesi explorace ditangguhkan sementara, dan diteruskan sekitar jam 1030. Sebelum itu, taklimat ringkas oleh Saudari Maisal selaku PIC “Explorace” diadakan untuk mengingatkan peserta tentang keselamatan sepanjang berada di dalam kawasan UMP.

Aktiviti explorace meliputi seluruh kawasan UMP Kampus Pekan dimana terdapat 10 checkpoints yang telah disediakan. Aktiviti ini diadakan bertujuan untuk mendedahkan semangat berpasukan, kepantasan dan kekreatifan setiap pasukan menyelesaikan setiap tugasan yang diberikan oleh para fasilitator di setiap checkpoints. Di samping itu, para peserta juga dapat melihat dan merasai cara hidup sebagai seorang mahasiswa.

Aktiviti “explorace” tamat pada seawal jam 1700. Walaupun setiap tugasan yang dikenakan agak mencabar, namun mereka tetap bersemangat dan berusaha dengan sedaya upaya untuk menghabiskan kesemua checkpoints yang telah disediakan tanpa mempamerkan rasa penat mereka malah semakin bersemangat walaupun mereka terpaksa berlari merata-rata semata-mata untuk menyelesaikan tugasan dengan jayanya. Hal ini demikian secara tidak langsung dapat memupuk sikap bersaing secara positif sesama mereka untuk menjadikan kumpulan mereka di antara yang terbaik.Setelah selesai solat asar berjemaah, dan menikmati juadah di dalam talam, fasilitator dan para peserta bergerak pulang ke SMK Nenasi.

Bersemangat berbincang tentang inovasi yang boleh dibuat
berbekalkan kotak,aluminium foil dan barang sekeliling.

Tekun mendengar arahan daripada Saudara Jamil.

Agak-agak nak buat apa ni?

Permainan roket yang disukai ramai.. Sangat meriah!!

Pada sebelah malam, slot diteruskan dengan sesi Bursa Saham dimana setiap peserta dibahagikan kepada dua syarikat iaitu syarikat A dan B. Bursa Saham merupakan satu slot yang melatih para peserta untuk mengetahui kepentingan kerjasama dan kepercayaan yang utuh di dalam organisasi. Selain itu, slot ini juga dapat menguji sifat kejujuran dan kelincahan dalam bekerja secara berkumpulan. Slot ini juga merujuk kepada situasi sebenar cabaran dalam kerjaya.

Sesi perbincangan dilaksanakan untuk memilih
saham mana yang terbaik.

     Slot seterusnya diteruskan dengan slot “Cheer War” dimana para peserta dapat menunjukkan bakat, kreativiti dan kepantasan kumpulan masing-masing untuk memprovokasi kumpulan yang lain.

Semua bersedia!! Kumpulan mana yang akan menerima
 tembakan "Cheers"

Get Set.. Goooo!!!

Kemuncak pada malam tersebut adalah sesi Muhasabah Diri yang dikendalikan sendiri oleh Encik Wan Nazrul Helmy selaku penasihat Kelab In-Smartive. Sesi ini bertujuan untuk memberi kesedaran dan pengisian rohani kepada para peserta. Pelbagai permainan emosi telah melanda para peserta pada malam tersebut. Dalam keadaan genting, mereka sekali lagi diberikan lagi pilihan untuk memilih samaada mahu menyerahkan barang amanah mereka ataupun fasilitator mereka yang terpaksa menerima hukuman di atas kesalahan yang telah mereka lakukan. Hal ini secara tidak langsung dapat membuatkan mereka merenung kembali kekhilafan diri dan seterusnya menginsafi diri mereka. Di samping itu, mereka diberikan pendedahan tentang cara penyelesaian masalah apabila berada di tahap yang kritikal.

16 Februari 2014

Pada hari terakhir, para peserta meneruskan satu lagi sesi iaitu Resolusi. Sesi ini dilakukan secara santai bagi mendengar pendapat dan luahan hati mereka mengenai program yang telah berlangsung selama 3 hari 2 malam. Pelbagai luahan dan pendapat telah didengari daripada para peserta Kem Interaksi Pemimpin Muda SMK Nenasi. Setelah selesai slot resolusi, penasihat Kelab In-Smartive telah menggulungkan dan merasionalkan segala tindakan dan slot yang dijalankan sepanjang program. Slot ini amatlah penting untuk memberi kesedaran tentang ketegasan dan menjadi tunjang utama program ini adalah untuk melatih para pemimipin supaya mempunyai ketahanan fizikal dan mental yang kuat dan apabila mereka tamat sahaja program ini. Mereka boleh mempraktikkan apa yang telah mereka belajar sekiranya mereka menempuh sebarang masalah dan sekali gus dapat menyelesaikannya dengan bijak.

Malah konsep “One For All, All for One” serta Pilihan & Berdikari sebenarnya bukan sahaja diterapkan ketika program tetapi sebagai satu badan kepimpinan, sikap dan budaya saling bekerjasama terutamanya dalam satu organisasi untuk memastikan kerja dapat dilaksanakan dengan lancar. Pada jam 1100, sesi Hati Ke Hati telah dijalankan. Slot Hati Ke Hati ini bertujuan untuk memberi ruang kepada para peserta untuk memberikan maklum balas dan penilaian mereka terhadap perlaksanaan kursus ini secara keseluruhan. Pada sesi kali ini, para peserta dan fasilitator kumpulan masing-masing saling bertukar surat dimana terdapat kata-kata hikmah ataupun ucapan terima kasih sebagai penghargaan masing-masing sepanjang program ini berlangsung.

Saudari Yusna memberi panduan cara untuk mengisi borang kaji selidik.

Borang kaji selidik dah siap isi ke belum?

Pada jam 1230 Majlis Perasmian Penutup Kem Interaksi Pemimpin Muda SMK Nenasi telah diadakan. Majlis perasmian berjaya dilaksanakan yang dikendali sendiri oleh wakil pemimpin muda SMK Nenasi. Majlis dimulakan dengan bacaan doa serta ucapan penghulu bagi mewakili semua para peserta yang lain dituruti dengan ucapan penghargaan daripada penasihat In-Smartive dan disudahi dengan ucapan wakil guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.

Akhir sekali, sesi penyampaian cenderamata kepada semua wakil kumpulan pemimpin muda SMK Nenasi sebagai penghargaan kepada mereka semua di atas kerjasama mereka sepanjang program berlangsung. Majlis diteruskan dengan tayangan montaj sebagai tanda berakhirnya program Kem Interaksi Pemimpin Muda (IN-TEAM) SMK Nenasi untuk kali kedua. Majlis melabuhkan tirainya dengan persembahan istimewa daripada barisan pemimpin muda SMK Nenasi kepada para fasilitator mereka dan seterusnya persembahan istimewa daripada para fasilitator buat semua para peserta SMK Nenasi dan majlis disudahi dengan sesi fotografi.

Sesi fotografi sebagai simbolik tamatnya kem ini.




















You Might Also Like

0 comments

Rakan Blog InSmartive

Total Pageviews