TITIK SENTUHAN 3.0

11:14 AM


Tanggal 24 hingga 27 Oktober 2013 yang lalu, telah berlangsungnya satu program yang tidak asing lagi bagi ahli kelab In-Smartive iaitu Program Titik Sentuhan 3.0. Seramai 36 orang fasilitator Kelab In-smartive dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah terpilih untuk menjayakan program ini.
Destinasi yang dituju pada kali ini ialah Asrama Kebajikan Ar-Rayyan yang terletak di Johor Bharu.  Kami sehati sejiwa ke program ini dengan membawa objektif yang satu iaitu berkongsi kasih sayang, pengalaman, serta suka dan duka kehidupan bersama adik-adik kami di Ar-Rayyan. Selain itu, kami juga ingin mengenali dan menyelami hati adik-adik ini dengan lebih dekat. Pada 24 Oktober 2013, tepat jam 9.00 malam, kami memulakan perjalanan kami dari Universiti Malaysia Pahang ke Johor Bharu. Pada jam 4.30 pagi keesokan harinya, kami singgah sebentar di kawasan Rehat dan Rawat (RnR),Machap untuk sesi khidmat diri. Setelah selesai segala urusan menguruskan diri dan bersarapan, kami meneruskan kembali perjalanan kami menuju ke destinasi tersebut. Namun, sebelum sampai di Asrama Kebajikan Ar-Rayyan, kami telah dibawa ke Taman Negara Tanjung Piai, Pontian untuk melihat  dan menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan. 

TAMAN NEGARA TANJUNG PIAI


Kami mengambil masa selama sejam untuk menikmati keindahan alam flora dan fauna ini. Kemudian, kami meneruskan perjalanan kami menuju ke destinasi yang sebenar iaitu Asrama Kebajikan Ar-Rayyan.
 Pada pukul 5.00 petang, kami sampai di sana dan kehadiran kami disambut baik oleh adik-adik Ar-Rayyan dan Ketua Warden mereka. Untuk pengetahuan semua, asrama ini hanya menempatkan seramai 11 orang pelajar perempuan. Walaupun penat menguasai diri kerana perjalanan yang mengambil masa yang agak lama, namum kami tidak pernah lupa untuk menunaikan kewajipan kami sebagai umat Islam kepada Sang Maha Pencipta, kami barisan fasilitator dan adik-adik Ar-Rayyan telah mengerjakan solat maghrib dan isya’ secara berjemaah dan diikuti dengan sesi tazkirah ringkas yang disampaikan oleh salah seorang fasilitator kami. Selepas selesai solat isya’, seramai 19 orang adik-adik lelaki daripada asrama Ar-Rayyan tiba dan kehadiran mereka telah membuat suasana kami pada malam itu lagi meriah. Dengan kehadiran mereka jumlah keseluruhan adik–adik Ar-Rayyan yang menyertai program ini adalah seramai 30 orang, 19 orang lelaki dan 11 orang perempuan. Selepas itu, satu sesi taklimat ringkas telah dibuat oleh pengurus projek Titik Sentuhan 3.0 iaitu Nor Zaratunaimah Bt Haji Kolan. Kemudian, disusuli dengan ucapan daripada Pengerusi Asrama Kebajikan Ar-Rayyan, Ustaz Mohamad Halimi Bin Hj Kolan.


        Sejurus selesai taklimat, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan akan menerima 5 atau 6 orang adik angkat. Tujuan pembahagian kumpulan ini dibuat adalah untuk mengenali adik-adik daripada asrama Ar-Rayyan ini dengan lebih dekat. Selain itu, kami juga ingin menyelami hati mereka tentang kehidupan yang mereka alami sekarang. Pandangan setiap individu terhadap mereka adalah berbeza, namun bagi kami, adik-adik ini adalah insan yang dipilih oleh Allah untuk menjadi penggerak bangsa kita pada masa hadapan.


sesi pembahagian kumpulan


         Slot ‘Kau Ada Aku Ada’ merupakan slot pembuka kepada program kami di sana. Slot ini bertujuan untuk mengajar kita erti mensyukuri nikmat kurniaan Allah SWT. Di samping itu, slot ini turut mengajar kita berkomunikasi dalam menyampaikan sesuatu maklumat melalui cara yang berbeza iaitu buta, bisu dan kudung. Selesai sahaja slot pertama, kami semua menikmati minum malam dan berehat bersama-sama. Walaupun penat, namun kelihatan adik-adik Ar-Rayyan tidak sabar untuk menunggu aktiviti pada keesokan harinya.

slot 'Kau Ada Aku Ada'


        Pada hari kedua kami di sana, 26 Oktober 2013, kami semua bangun seawal jam 4.30 pagi untuk slot kedua program ini iaitu slot ‘Tahajjud Cinta’. Walaupun masing-masing kelihatan seperti tidak mampu untuk membuka mata, namun kerana rasa cinta kepada Ilahi ,kami telah memperhambakan diri kepada-Nya dengan mengerjakan solat sunat tahajjud, solat sunat taubat, dan beberapa solat sunat yang lain. Sementara menunggu masuk waktu subuh, kami semua berzikir memuji-muji Allah Taala dengan rasa rendah diri. Setelah azan subuh berkumandang, kami sama – sama menunaikan solat subuh secara berjemaah. 

slot 'Tahajjud Cinta'



        Kemudian, pagi kami diisi lagi dengan tazkirah ringkas selepas subuh dalam slot ‘Celik Minda’. Seterusnya, program ini disusuli dengan senaman pagi. Tujuan senaman pagi ini dibuat adalah untuk memastikan adik-adik di Ar-Rayyan bersemangat untuk menghadapi hari mereka dan mencergaskan badan masing-masing sebelum slot-slot kami yang menarik dimulakan. Pelbagai cara telah kami aplikasikan dalam senaman tersebut agar menjadi lebih menarik dan lebih menyeronokkan. Kami berasa gembira melihat senyuman dan gelak tawa daripada adik-adik di Ar-Rayyan ketika melakukan senaman pagi bersama kami.

senyuman adik-adik Ar-Rayyan di pagi hari



Pada petang itu, selepas selesai menunaikan solat fardhu asar secara berjemaah, hujan turun membasahi bumi Johor. Namun, aktiviti kami tidak tergendala begitu sahaja, kami menggunakan inisiatif lain bagi memastikan program kami berjalan dengan lancar. Inisiatif yang kami gunakan adalah dengan meneruskan aktiviti kami di dalam rumah.
Pada petang itu, kami telah mengadakan slot ‘badan Cergas Minda Cergas’. Dalam slot ini, pelbagai permainan yang menarik telah kami adakan bagi menguji kecergasan minda adik – adik seperti sukaneka. 



Pada sebelah malam pula, selepas solat maghrib, sekali lagi slot ‘Celik Minda’ telah kami jalankan dan slot ini telah diisi oleh salah seorang fasilitator kami yang juga merupakan pelajar Universitas Teknologi Jakarta. Beliau telah berkongsi pengalaman dan suka duka kehidupan beliau di Indonesia. Seterusnya, apabila telah masuk waktu isya’ kami sekali lagi mengerjakan solat isya’ secara berjemaah. Alhamdulillah, setelah dua hari berada di sana ukhwah antara kami dengan adik-adik di Ar-Rayyan semakin akrab.


Kemudian, malam kami diisi lagi dengan slot yang tidak kurang hebatnya iaitu slot ‘Inspire’. Slot ini telah disampaikan oleh fasilitator Kelab In-Smartive yang berkaliber iaitu Nor Azmira Bt Othman dan Mohd Farhan bin Sulaiman. Kali ini, adik–adik Ar-Rayyan diberi suntikan semangat untuk mereka menempuhi masa hadapan dengan jayanya. Walaupun mereka kelihatan sangat letih, namum mereka masih lagi memberikan kerjasama yang sangat baik kepada kami. Sebaik sahaja tamat slot ini, mereka semua telah diberikan rehat bagi mengumpul tenaga untuk menghadapi hari esok bersama kami.
  
semua bersemangat mendengar penerangan daripada abang Farhan dalam slot 'Inspire'



Keesokan harinya, 27 Oktober 2013, hari terakhir kami bersama adik–adik di Ar-Rayyan, kami meneruskan lagi perjuangan kami. Seperti biasa, selepas selesai menunaikan solat subuh secara berjemaah, kami melakukan senaman pagi. Senaman pagi kali ini, berbeza daripada hari semalam, kerana senaman ini berkonsepkan ‘taici’. Adik–adik dilihat sangat terhibur dengan senaman tersebut. Sejurus selesai melakukan senaman pagi, kami semua menjamah sarapan yang disediakan oleh pihak asrama. Setelah semuanya selesai, kami meneruskan aktiviti terakhir kami di sana.

 Aktiviti terakhir kami bersama adik-adik Ar-Rayyan adalah aktiviti mencorakkan baju t-shirt. Setiap seorang daripada mereka diberikan sehelai t-shirt berwarna putih. Kami bersama adik–adik angkat daripada kumpulan kami dikehendaki untuk mencorakkan t-shirt tersebut mengikut kreativiti kami yang tersendiri. Pelbagai corak telah terhasil, gabungan daripada pelbagai idea yang dicurahkan oleh setiap adik-adik angkat kami. Kami menggunakan “cat spray” untuk menghasilkan warna di atas baju putih tersebut. Pelbagai corak yang terhasil itu menggambarkan kumpulan masing-masing. Selain itu, tujuan kami menjalankan aktiviti ini adalah untuk menjadikan kenang-kenangan kami bersama mereka selama 3 hari 2 malam kami di sana.


sesi mencorakkan baju t-shirt



 Tepat jam 11.00 pagi, Majlis Perasmian Penutup Program Titik Sentuhan 3.0 berlangsung. Majlis ini dihadiri oleh Ustaz Mohamad Halimi Bin Hj Kolan, Pengerusi Asrama Kebajikan Ar-Rayyan. Sebelum pulang, kami semua bergambar sebagai kenang – kenangan. Walaupun kami berasa sangat berat hati untuk meninggalkan adik–adik tercinta di Ar-Rayyan ini, namun perjuangan kami masih lagi belum selesai, banyak lagi komitmen lain yang menanti kami di UMP. Setiap pertemuan, pasti ada perpisahan. In Sha Allah, program ini akan bersambung lagi dengan Titik Sentuhan 3.1.

gambar kenangan bersama adik-adik di Ar-Rayyan



You Might Also Like

0 comments

Rakan Blog InSmartive

Total Pageviews