PROJEK KILAUAN MUTIARA (PKM) SK KUALA TRIANG

12:32 AM

        Pada tanggal 8 mei hingga 10 mei 2015, Kelab In-Smartive telah mengadakan Projek Kilauan Mutiara Sekolah Kebangsaan Kuala Triang hasil kerjasama antara pihak In-Smartive dan Sekolah Kebangsaan Kuala Triang dan mendapat sokongan daripada Persatuan Wanita Universiti Malaysia Pahang (MATAHARI). Kolaborasi ini merupakan kolaborasi yang ke-4 yang telah bermula sejak tahun 2012 lagi. Projek pada tahun ini diketuai oleh saudari Siti Nur Azeemah Binti Azeman.

         Seramai 20 orang fasilitator dipertanggungjawabkan untuk membimbing 52 orang pelajar SK Kuala Triang yang terdiri daripada pelajar tahun 4, 5 dan 6 dalam projek ini.

Jumaat | 8 Mei 2015

         Tepat jam 3.30 petang, majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Guru Besar SK Kuala Triang, Puan Kelsom Binti Haji Sidin kepada wakil Kelab In-Smartive, saudari Koh Bee Fong. Kemudian, program diteruskan dengan taklimat kursus yang diberikan oleh pengurus projek, saudari Azeemah.

Guru Besar SK Kuala Triang, Puan Kelsom berucap semasa Majlis Penyerahan Peserta

          Hari pertama membukai tirai dengan slot Tak Kenal Maka Tak Cinta. Para peserta dibahagikan kepada 7 kumpulan beserta 2 orang fasilitator setiap kumpulan. Para peserta diberi peluang untuk berkenalan lebih rapat dengan fasilitator masing-masing. Selepas itu, peserta diberi masa untuk sesi khidmat diri dan makan malam. Semasa makan, para peserta dilatih untuk membaca buku ilmiah selama 5 minit sebelum makan dan cara makan mengikut sunnah Nabi iaitu makan dalam talam.


Sesi perkenalan antara fasilitator dan ahli kumpulan

         Untuk solat Maghrib dan Isyak, semua peserta dan fasilitator solat secara berjemaah. Dalam slot Celik Minda, para peserta telah didedahkan dengan pengertian dan cara bacaan surah Al-Fatihah dengan betul. Usai solat Isyak, program diteruskan lagi dengan slot Solat Di Hatiku. Dalam slot ini, peserta diajar tentang cara mengambil wuduk dengan sempurna serta simulasi solat dengan betul. Melalui slot ini, peserta dapat mengetahui cara berwuduk dengan betul serta memperkukuhkan lagi cara solat dan bacaan dalam solat. Tepat jam 10.00 malam, slot Jendela Jauhari bermula. Slot ini bertujuan untuk melatih para peserta menyusun jadual yang berkesan serta sistematik mengikut kepentingan dan situasi.
  

Fasilitator menunjukkan simulasi solat yang betul kepada ahli kumpulan

Sesi pembentangan hasil kerja slot Jendela Jauhari
Sabtu | 9 Mei 2015

         Hari kedua dimulakan dengan sesi qiamulail dan solat Subuh pada jam 5.00 pagi. Selepas itu, semua pelajar berkumpul di dewan terbuka untuk sesi Perhimpunan Pagi yang dikendalikan oleh pelajar sendiri. Jam 7.00 pagi, sesi Rise and Smile atau senaman pagi bermula dan diketuai oleh Saudara Redzuan.

Sesi senaman pagi untuk menyihatkan tubuh badan
       Selepas sarapan pagi, sesi diteruskan lagi dengan slot Pulau Impian. Peserta diberi masa untuk merancang pulau mereka sendiri mengikut bajet harga yang telah ditetapkan. Slot ini bertujuan untuk memberi pemahaman kepada para peserta tentang teknik pengurusan dan membuat keputusan yang betul. Kemudian, sesi diteruskan lagi dengan slot Kapal Karam. Setiap peserta diberikan watak yang berbeza dan mereka diminta untuk berhujah berdasarkan watak tersebut. Melalui slot ini, peserta dapat berbincang dalam kumpulan untuk menegakkan sesuatu hujah mengikut kreativiti masing-masing.

Peserta menunjukkan kreativiti masing-masing dalam lukisan

Peserta berbincang tentang watak masing-masing
          Tepat jam 10.15 pagi, pelajar dibahagikan kepada 2 kumpulan besar untuk slot Last Man Standing. Slot ini diadakan untuk melatih peserta supaya berani bercakap di hadapan khalayak ramai dan dapat mengawal emosi jika dilontar dengan pelbagai pertanyaan dalam apa keadaan. Bagi slot Salah Siapa pula, peserta dipecahkan kepada 6 kumpulan kecil dan mereka diberi peluang untuk berdebat berdasarkan topik yang diberi. Melalui slot ini, peserta lebih berani untuk melontakan idea bagi menyelesaikan sesuatu masalah.

Peserta memberanikan diri bercakap di hadapan khalayak ramai

Peserta menyampaikan hujah sendiri untuk slot Salah Siapa

        Selepas makan tengah hari dan solat Zohor, slot Happy Hour yang diketuai oleh AJK Aktiviti telah diadakan bagi menarik minat peserta untuk mengikuti slot yang seterusnya. Kemudian, bagi menguji penguasaan kosa kata para peserta, mereka didedahkan dengan slot Choop versi Bahasa Inggeris. Tahap penguasaan bahasa setiap peserta juga turut memberansangkan. Sebelum solat asar, pelajar didedahkan dengan slot Timeline. Dalam slot ini, peserta didedahkan tentang hala tuju yang betul selepas mereka menduduki UPSR. Mereka juga dapat mengenal pasti jurusan yang bersesuaian dengan cita-cita mereka.

Peserta bersemangat untuk mengeluarkan idea masing-masing
        Jam 5.00 petang, aktiviti petang diteruskan lagi dengan slot The Burj. Slot ini untuk melatih kerjasama dalam kumpulan dan fokus dalam mendengar arahan ketua. Walaupun gagal beberapa kali, mereka tetap bertungkus lumus berusaha untuk mendirikan menara dengan menggunakan batang paip mengikut arahan yang diberikan oleh ketua masing-masing.


Menara batang paip sedang didirikan oleh para peserta
          Selesai solat Isyak, aktiviti malam dimulai dengan slot Sayang Si Buta. Semua pelajar diberi penutup mata dan dibawa berjalan di sekitar sekolah. Melalui slot ini, pelajar dapat mengetahui kepentingan mendengar dan memahami arahan serta dapat menginsafi dan menghargai anugerah pancaindera yang dianugerahkan oleh Maha Pencipta. Selepas itu, slot Cermin Diri yang lebih mengfokuskan kepada sesi memuhasabahkan diri peserta dan memberi peringatan tentang perangai mereka agar dapat berubah ke arah yang lebih baik.
   

Peserta bersedia untuk dilepaskan ke checkpoint pertama
Peserta dan fasilitator bersalaman sebagai tanda memohon maaf
Sabtu | 10  Mei 2015

        Seperti hari kedua, pelajar dikejutkan seawal jam 5.00 pagi untuk sesi qiamulail dan solat Subuh untuk memohon keberkataan supaya dipermudahkan sepanjang hari. Kemudian, para peserta dilatih untuk sesi persembahan bagi majlis penutup. Pada jam 8.30 pagi, slot Inspire yang dikendalikan oleh saudari Koh Bee Fong bermula. Walaupun hari itu merupakan hari terakhir, semua peserta masih bersemangat dan memberikan respons yang baik dalam slot ini. Slot ini bertujuan untuk memberi sedikit motivasi dan tiupan semangat kepada mereka untuk menuntut ilmu bagi mecapai kejayaan yang cemerlang sekaligus dapat membalas jasa ibu bapa mereka. Slot terakhir untuk program ini adalah Dari Hati Ke Hati. Setiap peserta diminta untuk memberi maklum balas mengenai program ini dan penilaian mereka secara keseluruhan menerusi borang kaji selidik.

Sesi perkongsian dari fasilitator

Peserta mengisi borang kaji selidik
         Akhir sekali, majlis penutup yang dirasmikan oleh Guru Besar SK Kuala Triang telah berlangsung tepat jam 11.15 pagi. Turut hadir, Encik Wan Nazrul Helmy Bin Wan Mohd Zain, wakil UMP dan Encik Ab Majid Bin Kasim, Naib Yang-Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kuala Triang. Sebagai simbolik perpisahan, sesi menandatangani banner projek dan sesi bergambar bersama-sama semua yang terlibat turut diadakan.


Sesi bergambar PKM SK Kuala Triang

You Might Also Like

0 comments

Rakan Blog InSmartive

Total Pageviews