PROJEK SEMAIAN BUDI 5.0

12:07 AM

Kelab In-Smartive sekali lagi mengembangkan sayapnya untuk berkampung di bumi jelapang padi, Jitra, Kedah pada tanggal 12 hingga 14 November 2015 yang lepas untuk menjalankan Projek Semaian Budi 5.0. Seramai 22 orang peserta yang terdiri daripada ahli kelab In-Smartive telah bertungkus-lumus bahu ke bahu bagi merealisasikan agenda mendekati masyarakat sekeliling terutama sekali para masyarakat di kawasan luar bandar dalam memberi sumbangan dan pengkhususan khidmat bakti kepada mereka. Pada saat semua penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) sedang sibuk bercuti bersama keluarga, kami telah menamatkan cuti pertengahan semester kami bersama keluarga In-Smartive dan warga Rumah Sejahtera.

11 November 2015 (Rabu)

Tepat jam 2130, kami memulakan perjalanan dari UMP Gambang menuju ke Jitra, Kedah dengan menaiki bas. Walaupun kami perlu mengharungi liku-liku perjalanan selama 17 jam, tetapi kami tetap teguh untuk meneruskan perjuangan dan selamat tiba pada keesokan harinya.

12 November 2015 (Khamis)

Tibanya kami di sana, kami berpeluang untuk menziarah rumah salah seorang ahli kelab In-Smartive iaitu saudari Amanina Farhana di Pusat Koreksional Perlis. Kami disambut baik oleh keluarga beliau. Di samping itu, kami juga telah disediakan hidangan makan tengahari yang cukup istimewa oleh mereka. Kami sempat berkongsi cerita dan bergurau senda bersama mereka. Justeru itu, kami dapat mengeratkan lagi ukhuwah bukan sahaja diantara ahli malah ahli keluarga mereka.

Sesi penyampaian cenderamata kepada keluarga Amanina Farhana

13 November 2015 ( Jumaat)

Dikeheningan pagi Jumaat yang mulia, kami mula bangkit dari tidur pada jam 0530 untuk bersama-sama menunaikan solat subuh. Setelah selesai menunaikan solat subuh, kami bersarapan sebelum menyambung misi kami. Kami bersiap-siaga untuk bersama-sama ke lapangan masyarakat di Rumah Sejahtera Batu Bertangkup Chuping, Perlis bagi menjalankan Projek Semaian Budi. Bertemakan "Dari Kampus ke Lapangan Masyarakat", projek in secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada kami untuk mendekati masyarakat pada masa kini terutamanya warga emas. Setibanya kami di sana, kami disambut dengan tangan terbuka oleh penduduk setempat. Layanan yang cukup mesra daripada mereka menyebabkan kami hilang rasa kekok. Setelah itu, kami dengan rela hati menggunakan kudrat kami untuk bersama-sama bergotong-royong membersihkan luar kawasan Rumah Sejahtera Batu Bertangkup dan Masjid Al-Husna Kampung Batu Bertangkup. 

Peserta melipat telekung dan sejadah di Masjid Al-Husna

Setelah selesai bergotong-royong, kami serta penduduk kampung telah bersama-sama berganding bahu membuat dan mengacau bubur asyura menggunakan resipi istimewa dari Kedah. Memandangkan setiap negeri, terutama negeri-negeri di semenanjung Malaysia mempunyai bubur asyura yang berlainan rasa dan ramuan, maka terdapat pelbagai cara untuk membuat bubur asyura. Jadi, kami berpeluang untuk belajar salah satu resipi yang baharu memandangkan setiap dari kami berasal dari negeri yang berlainan. Sungguh menarik aktiviti tersebut kerana sebilangan ahli kami tidak pernah merasai pengalaman semanis itu.

Sesi mengacau bubur asyura bersama penduduk kampung

Saudara Wafiq membantu penduduk membasuh kuali besar selepas membuat bubur asyura

Sebelum pulang, kami juga sempat duduk semeja untuk mendengar perkongsian cerita serta berbalas pantun bersama warga Rumah Sejahtera yang terdiri daripada lingkungan umur 60 dan ke atas. Melalui lawatan tersebut, peserta dapat menambah baik kemahiran berkomunikasi dan berinteraksi serta menyantuni golongan yang lebih tua.

Saudara Mukhris berbual mesra dengan salah seorang warga Rumah Sejahtera

14 November 2015 (Sabtu)

Sebelum kami meninggalkan bumi Kedah, kami berkesempatan sekali lagi untuk melaksanakan ziarah muhibbah di kediaman saudari Haffizothul Ommi dan keluarga di Kampung Sungai Baru, Mukim Gunong, Alor Setar. Beliau merupakan salah seorang alumni Kelab In-Smartive yang telah banyak menabur bakti kepada kelab. Kami berangkat pulang ke UMP tepat jam 1600.

Sesi bergambar bersama Haffizohtul Ommi dan keluarga





You Might Also Like

0 comments

Rakan Blog InSmartive

Total Pageviews