KEM INTERAKSI PEMIMPIN MUDA (IN-TEAM) SMK TENGKU INDRA PETRA (1)

6:28 PM

Pada 10 September hingga 12 September yang lalu, satu inisiatif di bawah Kelab In-Smartive Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra (1) di Gua Musang, Kelantan telah menjalankan Kem Interaksi Pemimpin Muda (IN-TEAM) dengan jayanya. Projek ini diketuai oleh pengurus projek, saudara Muhammad Farid Bin Sulaiman. Program ini merupakan inisiatif kali pertama yang diadakan di antara Kelab In-Smartive dengan pihak sekolah. 

IN-TEAM kali ini melibatkan pelajar tingkatan 1, tingkatan 2, tingkatan 4 dan pelajar tingkatan 6 yang terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra (1) yang dibantu oleh 27 orang para fasilitator daripada Kelab In-Smartive.

Khamis | 10 September 2015

     Pada hari pertama menapakkan kaki di Gua Musang, Kelantan, para fasilitator digerakkan ke Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi dan perkampungan Limau Kasturi untuk melihat sendiri keadaan sekolah dan kampung yang terkesan akibat bencana banjir. Tinjauan sosioekonomi ini melihatkan kelainan yang dapat dirasai sendiri oleh para fasilitator dalam projek IN-TEAM kali ini.

Kawasan Kampung Limau Kasturi yang terkesan akibat banjir
    Tepat jam 4.30 petang, IN-TEAM Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra (1) dimulakan dengan majlis penyerahan pelajar yang disempurnakan oleh pengetua sekolah, Encik Md. Rashid Bin Mustafa kepada Kelab In-Smartive yang diwakili oleh Encik Asraf Bin Ahmad, Penolong Penyelidik Kepada Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang dengan gimik pengantin sebagai simbolik penyerahan. Program ini disambung dengan taklimat kursus yang disampaikan oleh saudara Muhammad Farid Bin Sulaiman selaku Pengurus Projek.

Majlis penyerahan peserta kepada Kelab In-Smartive
     Selepas solat Asar dan minum petang, slot pertama bagi projek ini dimulakan dengan slot Tak Kenal Maka Tak Cinta. Para peserta telah dibahagikan kepada 10 kumpulan dan diperkenalkan kepada semua fasilitator yang terlibat.

Slot Tak Kenal Maka Tak Cinta
    Solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah diadakan dan masa terluang diisi dengan tazkirah kerohanian. Setelah selesai, aktiviti diteruskan dengan slot Mulanya Di Sini. Peserta diarahkan untuk melantik penghulu dan penghuluwati sepanjang projek ini berlangsung. Slot ini dijalankan selama satu jam setengah. Antara dapatan daripada slot ini adalah pelajar dapat memahami fungsi jawatankuasa mengikut susunan organisasi yang ditetapkan dengan betul. Selepas selesai menyiapkan bendera dan bandage kumpulan, slot ini diteruskan dengan majlis pertabalan penghulu dan penghuluwati. Seterusnya, tepat jam 10.30 malam, pra-muhasabah telah diadakan sebelum slot pada hari itu diakhiri dengan slot yang diberi nama Warkah Buat Pemimpin. Peserta dapat mengenali diri mereka yang sebenar daripada pandangan sahabat mereka sendiri.

Peserta menyiapkan bendera dalam slot Mulanya Di Sini
Jumaat | 11 September 2015

      Seawal jam 5,30 pagi, peserta telah bergerak ke surau untuk menunaikan solat subuh berjemaah. Selepas itu, pada pukul 6.30 pagi, peserta sudah mula berkumpul di tapak perhimpunan untuk perhimpunan pagi yang dijalankan dalam Bahasa Inggeris. Tepat jam 7.15 pagi, senaman pagi yang dikenali sebagai slot Get Up dijalankan.

   Selepas selesai sarapan pagi, sesi dimulakan dengan slot D.I.C.E. Peserta awalnya diberi penerangan tentang Pulau Nauru serta ciri-ciri pulau tersebut oleh fasilitator kumpulan. Dengan penerangan tersebut, peserta dapat mengeluarkan isi-isi penting yang dapat membantu peserta menyelesaikan slot ini. Pesera dilatih untuk memahami teknik pengurusan secara sistematik dan teknik membuat keputusan dengan tepat menggunakan konsep D.I.C.E. iaitu Determine, Identify, Choose, Evaluate. Seterusnya, slot diteruskan dengan S.W.O.T. Analysis. Peserta telah dipecahkan mengikut kumpulan masing-masing. Slot ini dapat membantu peserta menyelesaikan masalah dalam sesebuah organisasi dengan lebih sistematik. Slot diteruskan dengan slot Cheers War sebelum solat Jumaat. Dalam slot ini, peserta telah mencipta sorokan kumpulan masing-masing. Dengan peperangan sorokan yang diadakan ini, peserta dapat melatih diri untuk berfikir dengan pantas dan mengeluarkan idea-idea yang kreatif.

Pembentangan peserta kepada para fasilitator di slot D.I.C.E.
      Pada pukul 2.45 petang, aktiviti diteruskan dengan slot Last Man Standing. Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan besar. Beberapa aktiviti dijalankan sebelum slot ini bermula, antaranya Battle of Question dan Battle of Statement. Tujuan slot ini adalah untuk membiasakan peserta mengeluarkan hujah dengan lebih yakin dan pantas. Slot ini diteruskan dengan slot Siapa Aku?. Melalui slot ini, peserta dapat mempelajari ciri-ciri yang patut ada pada seorang pemimpin dan merefleksikan pada diri mereka sendiri. Selepas solat Asar dan minum petang, slot diteruskan dengan The Burj. Slot ini sangat menguji pelajar apabila fasilitator memprovokasi pelajar untuk menaikkan batang paip. Peserta diajar untuk mengetahui kepentingan mendengar arahan ketua bagi menyelesaikan sesuatu tugasan.

Fasilitator menunjukkan wajah tokoh disebalik kotak dalam slot Siapa Aku?

Semangat berpasukan yang ditunjukkan peserta lelaki dalam menaikkan batang paip dalam slot The Burj
      Pada sebelah malam, aktiviti diteruskan dengan slot Salah Siapa? sesudah peserta menunaikan solat Maghrib dan Isyak. Dengan membawa tajuk Disiplin Kritikal, peserta telah dipecahkan kepada 5 kumpulan yang mewakili lima pihak yang harus dipersalahkan untuk mengadakan perdebatan. Slot Cermin Diri menjadi penutup pada hari kedua projek ini berlangsung untuk peserta memuhasabahkan diri dan lebih sedar untuk mencapai matlamat dalam hidup mereka.

Sabtu | 12 September 2015

      Seperti biasa qiamulail telah diadakan seawal 5.00 pagi di surau. Seterusnya, peserta berkumpul untuk perhimpunan pagi dan senaman pagi. Slot pertama pada hari terakhir ialah Sembang Santai. Peserta telah dikumpulkan di dalam dewan makan. Slot ini bertujuan untuk mendengar dapatan daripada peserta mengenai projek dan menerangkan objektif sebenar projek ini dijalankan. Dengan menjadikan 2 pelajar dan 2 fasilitator sebagai panel, peserta telah mendengar perkongsian antara semua panel tentang projek ini secara keseluruhan melalui pandangan peserta sendiri dan pengalaman fasilitator sepanjang projek ini berjalan. Selepas solat dhuha, slot diteruskan dengan slot Hati Ke Hati dimana peserta mengikut kumpulan masing-masing dan berkongsi pengalaman tentang projek kali ini. Perkongsian kumpulan ini membolehkan peserta memberi maklumbalas dan penilaian mereka terhadap perlaksanaan kursus secara menyeluruh.

Slot Hati ke Hati antara peserta dan fasilitator kumpulan dalam perkongsian sepanjang kem berlangsung


      Setelah selesai, jam 11.30 pagi, majlis kemuncak perasmian penutup dijalankan dengan kehadiran Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Gua Musang, Encik Muhammad Zahari Bin Othman selaku perasmi majlis penutup, Pengetua SMK Tengku Indra Petra (1), Encik Md. Rashid Bin Mustafa dan Encik Wan Nazrul Helmy Bin Wan Mohd Zain selaku penasihat Kelab In-Smartive. Majlis diserikan dengan persembahan daripada para peserta. Pemberian cenderamata daripada pihak sekolah dan Kelab In-Smartive turut diadakan. Projek ini diakhiri dengan sesi bergambar sebagai kenangan Kelab In-Smartive dan pihak sekolah.

Peserta lelaki dan perempuan terbaik bergambar bersama Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Gua Musang, Encik Muhammad Zahari Bin Othman

Gambar kenangan sebagai simbolik berakhirnya perkampungan 3 hari 2 malam di SMK Indra Petra (1)


You Might Also Like

0 comments

Rakan Blog InSmartive

Total Pageviews