SMART REACH OUT @ VIETNAM 2015

3:18 PM

Pada 16 Ogos 2015, Kelab In-Smartive sekali lagi membawa satu inisiatif mobiliti antarabangsa yang dijalankan di bumi Vietnam. Wah, nampak seronok bukan? Tetapi bukan keseronokan yang dicari, malah manisnya pengalaman dan kesusahan mencari ilmu pengetahuan yang kami mahukan. Seramai 13 orang pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang terpilih telah bertungkus-lumus menyiapkan diri untuk menyampaikan ilmu kepada adik-adik di sana walaupun berlainan dialek. Kami juga meluangkan masa sebulan mempelajari Bahasa Vietnam mudah dalam satu aplikasi di laman sosial.

Memberi peluang kepada 30 orang penghuni SOS Children's Village Go Vap, Ho Chi Minh City, Vietnam mempelajari asas Bahasa Inggeris adalah objektif utama program ini dijalankan. Menarik bukan? Walaupun berlainan kepercayaan, namun mereka sentiasa bersemangat mempelajari Bahasa Inggeris.

16 Ogos 2015 (Ahad)

    Tepat jam 0810, kami bergerak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA 1) bermula dari UMP Gambang dengan menaiki bas dan menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH766 pada jam 1800 menuju ke Tan Son Nhat Airport, Vietnam. Setibanya disana, kami disambut mesra oleh warganegara Vietnam yang boleh bertutur dalam bahasa melayu, Encik Abdul Karim Bin Mohd Zain dan Encik Sulayman. Encik Sulayman yang juga lebih mesra dikenali dengan gelaran Pak Man banyak membantu urusan perjalanan sepanjang kami disana. Kami bermalam di Hotel Quang Trung sebelum memulakan sesi pengenalan modul keesokan harinya.

17 Ogos 2015 (Isnin)

       Seperti yang dijanjikan, kami bergerak ke SOS Children's Village tepat jam 1335. Kami mengambil inisiatif berjalan kaki ke SOS Children's Village kerana jaraknya hanya satu kilometer sahaja. Sesi pengenalan modul dan cara pembelajaran bersama Setiausaha SOS Children's Village, Le Mai Duy dijalankan sejurus sampai disana. Kami juga diberi kesempatan untuk melawat kawasan sekitar SOS Children's Village. Keramahan penghuni SOS Children's Village membuatkan kami tertarik dengan gaya hidup dan suasana di SOS Children's Village. Hilang rasa kekok apabila kami mendapat layanan mesra daripada salah satu keluarga yang berada disana.

     Setelah puas merasai kesegaran buah-buahan tempatan disana, kami meneruskan perjalanan ke kediaman pelajar lelaki SOS Children's Village pada jam 1655. Kami disambut baik oleh Encik Nguyen Van Phu, Timbalan Pengarah SOS Children's Village, Encik Le Hueng Fong, penterjemah serta pelajar-pelajar yang sangat aktif walaupun baru pulang dari sekolah masing-masing. Mereka dibahagi kepada dua kumpulan dan sesi pengenalan pelajar bersama fasilitator dimulakan. Pada mulanya, mereka agak kekok untuk memahami bahasa inggeris tetapi dengan kesungguhan fasilitator dibantu oleh beberapa orang pelajar berjaya menarik minat mereka dalam sesi pengenalan tersebut.


Sesi pengenalan modul
Saudara Naim sedang mengajar salah satu permainan menguji mind
18 Ogos 2015 (Selasa)

         Seawal jam 0820 kami menuju ke Chau Thoi Temple untuk slot Snap Snap yang memerlukan kajian kes terhadap infrastruktur bangunan dan budaya tempatan. Slot Snap Snap bertujuan menjayakan penerbitan buku Hundred Faces Of Vietnam. Chau Thoi Temple yang mempunyai 220 anak tangga telah berjaya didaki oleh kesemua fasilitator. Fasilitator juga turut diberi peluang mengenali agama Buddha. Seperti biasa, kami keluar berjalan menuju ke SOS Children's Village pada jam 1735. Slot pertama adalah taklimat ringkas serta pemberian beg cenderahati kepada setiap pelajar. Beg tersebut mengandungi keperluan pembelajaran seperti workbook dan kotak pensel yang akan digunakan sepanjang projek. Tema My Self dimulakan pada jam 1800 dengan modul Verb dan Proposition. Pelajar didedahkan dengan penggunaan kata kerja dalam kehidupan seharian serta penggunaan Proposition dengan betul. Seterusnya, pelajar dibahagi kepada lima kumpulan. Seramai satu atau dua orang fasilitator yang ditugaskan untuk setiap kumpulan. Kami banyak menggunakan gaya pergerakan badan dalam teknik pengajaran untuk memudahkan mereka faham apa yang ingin disampaikan. Mereka kelihatan begitu teruja dan bersemangat untuk mempelajari perkara baharu dan sentiasa mempunyai soalan untuk diajukan kepada setiap fasilitator. Pada sebelah malam, kami memenuhi slot Snap Snap dengan melaksanakan kajian kes terhadap kehidupan seharian dan cara hidup masyarakat pertengahan di Bu Vien Streets.

Pemandangan sekitar Chao Thoi Temple

Sesi pengajaran dan pembelajaran

19 Ogos 2015 (Rabu)

       Pada sebelah petang, sekembalinya kami ke SOS Children's Village, kami memilih modul Colour and Shape dan Greeting dalam tema My World. Modul ini sedikit sebanyak membantu para pelajar mempelajari cara mudah berkomunikasi dalam bahasa inggeris. Sebutan dan ejaan banyak dititikberatkan dalam modul Colour and Shape dan komunikasi pula ditekankan dalam modul Greeting.

Saudari Ain Nadhirah sedang menerangkan tentang modul Colour and Shape
20 Ogos 2015 (Khamis)

        Mariamman Temple adalah tempat ketiga untuk kami menjalankan aktiviti Snap Snap. Masyarakat tempatan tidak kekok untuk menceritakan mengenai Mariamman Temple walaupun berlainan agama. Pada sebelah petang, kembalinya ke SOS Children's Village, persiapan terakhir untuk majlis penutup dijalankan setengah jam sebelum majlis bermula. Latihan Choral Speaking juga dijalankan bagi melancarkan perjalanan majlis rasmi tersebut. Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Pengarah SOS Children's Village, Encik Nguyen Van Phu, dibantu oleh penterjemah, Encik Le Hueng Fong serta Ketua Penyelidik kepada Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang merangkap Penasihat Kelab In-Smartive, Encik Wan Nazrul Helmy Bin Wan Mohd Zain.

Para fasilitator mengambil gambar kenangan bersama Mak Cik Coc
21 Ogos 2015 (Jumaat)

         Pada jam 0720, kami menuju ke Christina Noble Children's Foundation untuk memeterai Memorandum of Understanding (MoU). Hasil daripada perbincangan antara pihak UMP dan Christina Noble Children's Foundation (CNCF) termeterai satu persetujuan dimana kedua-dua pihak menyediakan surat tunjuk niat. Setelah menunaikan solat Jumaat di masjid Jamiul Ho Chi Minh, kami ke Jeneral Konsulat Malaysia di Bandar Ho Chi Minh dengan melaksanakan kunjungan hormat kepada Konsul Jeneral, Tuan Sofian Akmal Abd Karim.

En. Wan Nazrul Helmy mewakili UMP menyerahkan cenderamata kepada pihak CNCF
Keceriaan jelas terpancar diwajah kanak-kanak di CNCF
Para fasilitator bergambar dihadapan Pejabat Jeneral Konsulat Malaysia di Bandar Ho Chi Minh, Vietnam
 22 Ogos 2015 (Sabtu)

         Kami dibawa ke dua buah tempat bersejarah di sekitar Bandar Ho Chi Minh iaitu War Remnants Museum dan Cu Chi Tunnels. War Remnants Museum merupakan muzium yang menceritakan mengenai sejarah serta kesan peperangan Vietnam terdahulu sehingga sekarang, Merasai sendiri pengalaman melalui Cu Chi Tunnels yang dibina semasa zaman peperangan dahulu adalah satu pengalaman yang tak dapat dilupakan semasa melawat Cu Chi Tunnels.

Saudara Zarif tidak melepaskan peluang untuk merakam gambar-gambar di War Remnants Museum bagi melengkapkan buku Hundred of faces
Barisan fasilitator mengambil gambar bersama potret kegemaran
23 Ogos 2015 (Ahad)

      Ternyata perbezaan dialek dan agama tidak menghalang usaha kami untuk terus berkongsi ilmu kepada pelajar, Walaupun ada cabaran untuk memahami bahasa mereka, namun semangat fasilitator dan juga pelajar itu sendiri telah menemui jalan keluar. Fasilitator bergerak ke Lapangan Terbang Tanh Son Nath pada jam 0630. Penerbangan pulang ke Malaysia adalah pada jam 1100 menerusi Malaysia Airlines MH751.

Gambar terakhir di Ho Chi Minh City Hall


You Might Also Like

0 comments

Rakan Blog InSmartive

Total Pageviews