KEM INTERAKSI PEMIMPIN MUDA (IN-TEAM) SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN CHIKU 2
3:01 PM
Pada 29 hingga 31 Januari 2015, Kelab In-Smartive
Universiti Malaysia Pahang telah menjalankan sebuah inisiatif yang diberi nama
Kem Interaksi Pemimpin Muda (IN-TEAM) SMK Chiku 2 dan merupakan program yang
pertama bagi Kelab In-Smartive pada tahun 2015. Kem yang berlangsung selama
tiga hari dan dua malam dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Chiku 2. Penglibatan
peserta adalah daripada kalangan barisan kepimpinan sekolah tersebut. Seramai 103
orang peserta terlibat terdiri daripada pengawas sekolah dan pengawas pusat
sumber. Kem ini dikendalikan sepenuhnya oleh fasilitator Kelab In-Smartive UMP
dengan kerjasama daripada pihak sekolah.
Objektif kem ini diadakan adalah untuk melahirkan
pemimpin yang dapat menerajui tampuk kepimpinan di sekolah sekaligus
memantapkan lagi sifat seorang pemimpin dalam diri para peserta. Sebagai barisan
kepimpinan yang membantu pihak sekolah, mereka haruslah sentiasa bersiap siaga
untuk menerima sebarang bentuk ujian sama ada dari segi mental mahupun fizikal.
Di samping itu, aspek rohani dan juga intelektual juga perlu seiring agar
hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) iaitu untuk melahirkan
pelajar-pelajar yang cemerlang bukan sahaja dari aspek pelajaran sahaja malah
dari segi JERI iaitu Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelektual juga diutamakan.
29 Januari 2015 |Khamis
Tepat jam 3 petang, bas yang membawa fasilitator telah
selamat tiba di SMK Chiku 2. Para fasilitator telah membuat persediaan untuk
penginapan asrama dan acara penyerahan peserta. Majlis penyerahan telah
disempurnakan oleh guru yang bertugas. Setelah itu, para peserta dibenarkan
untuk menunaikan solat Asar dan slot pertama diteruskan iaitu taklimat kursus
yang telah disampaikan oleh saudara Shahrul Azri Bin Ibrahim merangkap pengurus
projek Kem Interaksi Pemimpin Muda (IN-TEAM) pada kali ini. Peserta didedahkan
dengan konsep ‘One For All, All For One’. Pemberian tag pengenalan diri serta
penyerahan barang amanah kepada para peserta turut dijalankan. Barang-barang
berharga seperti telefon bimbit serta beg duit juga diserahkan kepada
fasilitator atas faktor keselamatan.
Usai sahaja acara penyerahan peserta, para peserta digesa untuk ke tapak perhimpunan bagi mengetahui jumlah kesemua bilangan peserta yang hadir. Pelantikan penghulu dan penghuluwati sementara juga diadakan bagi memudahkan penyampaian maklumat secara terus kepada peserta.
Selesai taklimat kursus, para peserta dilepaskan
untuk khidmat diri dan makan malam. Setelah itu, para peserta bersiap sedia
untuk solat maghrib berjemaah di surau. Slot Celik Minda dijalankan di antara
solat magrib dan solat isya’. Slot yang bersifat kerohanian ini bertujuan
memupuk semangat membudayakan Al-Quran dalam diri setiap peserta. Pada jam 9
malam, pembahagian kumpulan diadakan di dalam slot ‘Tak Kenal Maka Tak Cinta’.
Slot ini memaparkan nama nama dan gambar para fasilitator kepada para peserta
untuk membolehkan mereka untuk mengenali fasilitator-fasilitator yang ada. Di
dalam slot ini, para peserta melakukan aktiviti di dalam kumpulan yang telah
ditetapkan bersama-sama dengan fasilitator.
Seterusnya adalah
slot ‘Mulanya Di Sini’ yang terbahagi kepada lima aktiviti iaitu perlantikan
penghulu dan penghuluwati, penubuhan organisasi kem, penghasilan ‘bandage’
kumpulan dan bendera pasukan serta pertabalan penghulu dan penghuluwati. Pencalonan
bagi penghulu dan penghuluwati serta pengundian diadakan bagi menentukan siapa
yang memenangi jawatan penghulu dan penghuluwati. Terlebih dahulu, setiap
daripada calon yang menawarkan diri untuk memegang jawatan dalam organisasi perlu
membuat manifesto bagi pencalonan mereka. Majlis pertabalan penghulu dan
penghuluwati dilangsungkan dan ditabalkan sendiri oleh pengurus projek, saudara Shahrul Azri Bin Ibrahim. Majlis
pertabalan dijalankan dengan iringan alunan muzik nobat yang mengasyikkan.
Slot Pra-muhasabah dijalankan
pada malam tersebut selepas kudapan. Slot ini bertujuan untuk membuka mata serta memberi
kesedaran buat para peserta untuk menilai semula apa yang terjadi pada hari pertama kem ini dijalankan di samping
untuk memberi peluang kepada mereka untuk membaiki diri agar menjadi lebih baik
bukan sahaja untuk keesokan harinya malah sampai bila-bila bagi menjadi
pemimpin yang hebat. Mereka diberi penekanan berulang kali mengenai keutamaan berfikir sebelum bertindak dan akal mendahului emosi
dalam setiap perkara. Emosi mereka benar-benar teruji apabila mereka dikehendaki
membuat keputusan dalam situasi genting.
Majlis pertabalan Penghulu dan Penghuluwati. |
Slot seterusnya adalah ‘Warkah Buat Sang Pemimpin’.
Tujuan utama slot ini dijalankan adalah untuk memberi kesedaran kepada para
peserta bahawa sifat memendam rasa itu sangat menyakitkan dan harus diluahkan
dengan cara yang betul dan terbaik. Di dalam slot ini, peserta dikehendaki
untuk menulis supucuk surat buat rakan tanpa perlu mendedahkan identiti si
penghantar surat. Aktiviti ini membolehkan setiap peserta meluahkan rasa di
samping mereka dapat membuat perubahan diri
masing-masing. Slot ini tamat bagi memberi laluan untuk kudapan.
30
Januari 2015 | Jumaat
Para peserta dikejutkan pada awal pagi iaitu seawal
jam 5 pagi bagi sesi Qiamullail. Meskipun tidur lewat berikutan slot Pra-muhasabah,
para peserta masih gagah untuk bangkit awal pagi bagi pengisian rohani. Usai
sahaja solat Subuh dan perkongsian ilmu, para peserta berkumpul di tapak
perhimpunan untuk perhimpunan pagi dan senaman pagi atau ‘Morning Punch-In’. Para
peserta kelihatan sangat gembira menjalani aktiviti senaman pagi yang diiringi
dengan alunan muzik yang menceriakan. Aktiviti ini membantu para peserta untuk lebih
bersemangat dan meningkatkan tahap kecergasan serta daya ketahanan diri para
peserta untuk menjalani aktiviti sepanjang hari.
Tepat jam 7.30 pagi, para peserta dilepaskan bagi
khidmat diri dan sarapan pagi. Selepas sarapan, semua peserta dikumpulkan
mengikut kumpulan masing-masing bagi meneruskan slot seterusnya iaitu slot
‘D.I.C.E’. Fasilitator membawa kumpulan masing-masing di sekitar kawansan
sekolah bagi memudahkan mereka berbincang antara satu sama lain. Peserta-peserta
didedahkan dengan kemahiran membuat keputusan dengan baik menggunakan teknik
D.I.C.E iaitu ‘determine’, ‘identify’,
‘choose’, dan ‘evaluate’. Slot ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran para
peserta untuk membuat keputusan dengan bijaksana dan tidak terburu-buru.
Para fasilitator menerangkan mengenai situasi dan
masalah yang terdapat di Pulau Nauru kepada peserta-peserta dan mereka
dikehendaki untuk mengenalpasti masalah utama dan solusi kepada permasalahan
tersebut. Aktiviti ini agak mencabar minda para peserta kerana pengetahuan
mereka mengenai Pulau Nauru adalah terhad. Mereka mengambil pendekatan
berbincang antara satu sama lain bagi menyelesaikan masalah di Pulau Nauru
tersebut. Pelbagai idea yang dikemukakan oleh para peserta. Melalui aktiviti
ini, mereka telah bekerjasama bagi mencari kata sepakat untuk membolehkan
masalah Pulau Nauru diselesaikan dengan cara yang terbaik. Setiap masalah dan
solusi yang difikirkan oleh peserta dibentangkan kepada para fasilitator
selepas itu.
Tamat sahaja slot D.I.C.E, aktiviti diteruskan lagi
dengan slot ‘S.W.O.T Analysis’. Berdasarkan teknik S.W.O.T ini, para peserta mampu
menguasai kemahiran pengurusan organisasi yang lebih sistematik berteraskan
keutamaan dengan mengenalpasti kekuatan, kelemahan, peluang, dan ancaman yang
terdapat dalam setiap sudut organisasi bagi melahirkan tampuk kepimpinan yang
efisien dan efektif. Aktiviti ini adalah kesinambungan bagi aktiviti ‘D.I.C.E’
yang mana para paserta masih lagi duduk di dalam kumpulan masing-masing dengan
hasil tunjuk ajar daripada fasilitator.
Selesai kudapan, kem
ini menjadi lebih ceria dengan gelak ketawa para peserta yang diteruskan dengan
aktiviti ‘Cheers Wars’. Pelbagai keletah dan aksi mencuit hati serta kata kata
yang bernas hasil daripada perbincangan singkat para peserta dalam merangka
strategi untuk menghasilkan sorakan. Setiap kumpulan akan berlawan antara satu
sama lain melalui medium sorakan mengikut nama kumpulan yang diberikan. Tujuan
utama aktiviti ini diadakan adalah untuk melatih setiap peserta untuk mengeluarkan idea dengan pantas dan
kreatif. Hal ini kerana masa yang diberikan untuk mereka mencipta sorakan buat
kumpulan mereka adalah singkat. Aktiviti ini merupakan aktiviti terakhir bagi
sesi pagi dan berakhir awal bagi memberi laluan kepada peserta dan fasilitator
lelaki, khususnya bagi membuat persiapan untuk
makan tengahari dan solat Jumaat.
Aktiviti diteruskan lagi pada sebelah petang dengan
slot ‘Last Man Standing’. Peserta dibahagikan kepada kumpulan kecil.Melalui
aktiviti ini, para paserta dapat mempelajari teknik mengawal diri dan emosi
ketika berkomunikasi dalam pelbagai situasi.Mereka diletakkan di dalam situasi
yang berbeza bagi melatih mereka untuk mengawal diri ketika berkomunikasi.
Peserta akan berbahas mengikut tajuk yang diberikan berdasarkan fakta yang
tepat dan relevan. Slot ini berakhir pada jam 4 petang untuk memberi laluan
untuk kudapan dan solat Asar.
Selesai solat Asar, semua peserta diminta berkumpul
di padang sekolah bagi meneruskan permainan ‘The Burj’. Peserta lelaki dan
perempuan dipisahkan membentuk dua kumpulan. Permainan ini meminta para paserta
untuk menyusun batang-batang paip secara tegak untuk dijadikan sebuah menara
setinggi yang boleh menggunakan penyambung paip dan tali rafia. Dalam tugasan
kali ini, para peserta diuji dengan hebat dimana kepantasan mereka untuk
berfikir secara kreatif dan kritis amat diperlukan di samping melatih mereka
mendengar arahan ketua bagi menyelesaikan setiap masalah yang timbul.
Pada
mulanya, kumpulan peserta lelaki mendahului kumpulan peserta perempuan. Dapatan
akhir aktiviti ini membuktikan bahawa peserta lelaki yang jumlahnya lebih kecil
berbanding peserta perempuan mampu untuk berfikir lebih pantas dan mahir
merangka strategi dan mahir dalam mendengar arahan ketua berbanding dengan
kumpulan peserta perempuan. Sebanyak 11 batang paip berjaya dinaikkan oleh
kumpulan peserta lelaki dan 9 batang paip berjaya dinaikkan oleh kumpulan
peserta perempuan. Permainan ‘The Burj’ ini berakhir pada jam 6.30 petang. Para peserta
dibenarkan untuk menikmati makan malam di dewan makan seterusnya khidmat diri.
Para peserta tekun mengatur strategi untuk menaikkan batang paip untuk membentuk menara. |
Slot ‘Celik Minda’ dikendalikan diantara solat
Maghrib dan solat Isya'. Di sini, para peserta ditayangkan dengan video ceramah
yang disampaikan oleh penceramah agama terkenal tanah air iaitu Ustaz Kazim
Elias yang mengupas topik 10 golongan yang solatnya tak diterima Allah. Slot
ini sedikit sebanyak dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan mengisi ruang
rohani dalam diri setiap peserta dan fasilitator itu sendiri.
Slot
pada sebelah malamnya pula dimulakan dengan slot ‘Salah Siapa ?’. Isu yang
diketengahkan di dalam slot ini adalah Masalah Disiplin di Sekolah Semakin
Berleluasa, Salah Siapa ?. Aktiviti ini membahagikan para peserta kepada lima
buah kumpulan yang mewakili setiap peranan yang terlibat dengan isu ini,
antaranya termasuklah pihak ibu bapa, guru dan kepimpinan sekolah. Pelbagai
reaksi dan hujah yang dikemukakan oleh para peserta bagi mempertahankan watak
atau peranan yang dipegang oleh kumpulan mereka. Melalui aktiviti ini, peserta-peserta mampu
berfikir dengan rasional untuk membuat kata putus yang terbaik bagi setiap
pihak tanpa wujud perasaan tidak puas hati dalam kalangan pihak yang terlibat.
Slot kemuncak pada
hari tersebut adalah slot ‘Cermin Diri’
atau nama lainnya adalah muhasabah diri yang dikelolakan oleh fasilitator Kelab
In-Smartive. Muhasabah pada kali ini menggunakan pendekatan sekolah dan
kepimpinan bagi melihat sama ada wujudkah rasa sayang dan pengorbanan barisan kepimpinan untuk sekolah
mereka. Setiap aspek penting iaitu jasmani, emosi, rohani, dan intelektual
diuji hebat pada malam itu bagi melihat setakat mana kemampuan mereka dapat memahami
konsep akal mendahului emosi yang telah diwar-warkan oleh fasilitator dalam
slot pra muhasabah yang lalu. Airmata dan perasaan marah kadang kala dizahirkan
oleh para peserta. Namun begitu, andai mereka benar-benar memahami konsep yang
disampaikan oleh fasilitator, pastinya mereka mudah memikirkan solusi yang
tepat bagi menambah baik diri mereka.
31
Januari 2015 | Sabtu
Hari terakhir di SMK Chiku 2. Pagi itu tiada slot
Qiamullail memandangkan para peserta kepenatan kerana tidur lewat selepas slot
muhasabah. Namun begitu, para peserta tidak ketinggalan untuk menunaikan solat
subuh secara berjemaah dan berhimpun di tapak perhimpunan. Masa yang terluang ketika
itu digunakan oleh para peserta untuk memikirkan idea bagi membuat persembahan
pada hari terakhir Kem Interaksi Pemimpin Muda (IN-TEAM). Tepat jam 7.30 pagi, para
peserta berkumpul di dewan makan untuk menikmati sarapan yang disediakan.
Slot seterusnya diambil alih oleh fasilitator yang
terlibat bagi meneruskan slot ‘Sembang Santai’. Di sini, peserta dapat
bertukar-tukar pandangan serta pendapat bersama fasilitator dan rakan-rakan
berkenaan topik yang dibincangkan. Slot ini sangat santai dan kelihatan para
peserta tidak lagi segan atau malu untuk bercakap di khalayak ramai. Banyak
topik dan isu yang dibincangkan. Tidak ketinggalan juga topik perbincangan mereka
mengenai kepimpinan di sekolah.
Slot ‘Hati ke Hati’ diteruskan selepas itu dimana
para peserta diberikan borang penilaian terhadap pelaksanaan kursus secara
keseluruhan terhadap diri dan kepimpinan mereka. Di samping itu, slot ini
bertujuan untuk merasionalkan semula para peserta terhadap setiap slot yang
dilaksanakan sepanjang kem ini.
Bagi mengakhiri Kem Interaksi Pemimpin Muda
(IN-TEAM) ini, majlis perasmian penutup diadakan. Ucapan daripada ketua pengawas
yang juga merupakan penghulu bagi kem ini, saudara Muhd Qayyum Bin Zainal Abidin, mendahului
majlis ini. Ucapan daripada pegawai pengiring Kelab In-Smartive Universiti
Malaysia Pahang, Cik Izzah Hayati Binti Yahya. Beliau menegaskan supaya segala ilmu yang diterapkan sepanjang kem ini dapat diaplikasikan dan
dimanfaatkan oleh setiap para peserta serta mampu menjadi suri teladan yang
baik bagi pelajar-pelajar yang lain. Tambahan lagi, beliau berharap barisan
pemimpin yang terdiri daripada para peserta ini kelak dapat memantapkan
organisasi kepimpinan dan mampu membawa perubahan positif di dalam sekolah.
Akhir sekali, ucapan daripada Pengetua SMK Chiku 2, Encik
Hasnuddin Bin Hashim, sekaligus merasmikan majlis penutupan Kem Interaksi Pemimpin
Muda (IN-TEAM) SMK Chiku 2. Sijil penyertaan kepada para peserta dari pihak Kelab
In-Smartive Universiti Malaysia Pahang turut diserahkan. Pihak sekolah juga turut menyerahkan cenderahati kepada para fasilitator Kelab In-Smartive. Tidak
ketinggalan, pengetua sekolah turut menyerahkan cenderahati kepada penasihat
Kelab In-Smartive merangkap Ketua Penyelidik Kepada Naib Canselor, Encik Wan
Nazrul Helmy Bin Wan Mohd Zain, yang diwakili oleh pegawai pengiring, Cik Izzah
Hayati Binti Yahya.
Majlis penutup kem ini diserikan lagi dengan persembahan
daripada para peserta yang mempersembahkan segala ‘refreshment’ dan tepuk-tepuk
yang diajar oleh para fasilitator. Turut memeriahkan majlis penutup ini adalah
persembahan daripada para fasilitator yang mempersembahkan pelbagai tarian
diiringi muzik yang rancak sebagai halwa telinga para peserta dan guru-guru
yang hadir. Tidak lupa juga sesi bergambar sebagai kenang-kenangan di antara
pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Chiku 2 dan Kelab In-Smartive Universiti
Malaysia Pahang. Upacara menandatangani banner program ini turut diadakan
sebagai simbolik majlis penutup kem ini.
Kalau
ada sumur di ladang,
Boleh
kami menumpang padi,
Kalau
ada umur yang panjang,
Moga
kita berjumpa lagi.
Disediakan oleh : Siti Nazhirah Binti Hamdan
Disediakan oleh : Siti Nazhirah Binti Hamdan
0 comments