TITIK SENTUHAN @ KEMBOJA

11:26 AM

          Projek Titik Sentuhan @ Kemboja ini merupakan salah satu inisiatif mobiliti antarabangsa yang dilaksanakan di bumi Kemboja pada julung kalinya  dan kepercayaan ini diberi kepada Kelab In-Smartive. Seronok kan? Namun sedemikian, bukan keseronokkan yang dicari tetapi pengajaran dan pengalaman yang mereka timba. Seramai 16 orang pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang terpilih telah bertungkus-lumus mempersiapkan diri untuk menyampaikan ilmu yang mereka ada kepada adik-adik di sana. Walaupun berbeza dialek yang digunakan, mereka tidak gentar untuk menyahut cabaran ini. Tidak ketinggalan, ada yang telah memuat turun aplikasi kamus bahasa Khmer sebagai persediaan. Tahniah diucapkan!!

          Objektif utama program ini ialah untuk memberi peluang kepada 142 orang pelajar Madrasah al- Nikmah al-Islamiyyah, Desa Bek Ornlong, Wilayah Kampong Cham, Kemboja mempelajari asas Bahasa Inggeris yang dilaksanakan sebagai Kelas Intensif di bumi sana. Menarik bukan? Siapa sangka sebenarnya mereka ini mempunyai bakat untuk menjadi seorang pendidik pada masa hadapan. Mereka dibimbing secara berkesan dengan bantuan 20 orang pendidik atau lebih dikenali sebagai fasilitator. Yang menariknya, pelajar di sana berbeza dengan masyarakat di Malaysia. Kenapa? Kenalah baca sampai habis.

16 November 2014 (Sabtu)

          Perjalanan kami bermula dari UMP kampus Gambang pada jam 2330 dengan menaiki bas ke KLIA2 dan menaiki penerbangan Air Asia AK 536 pada jam 0700 ke Phnom Penh, Kemboja. Setibanya kami di sana, kami disambut oleh kakitangan Madrasah Al- Nikmah Al-Islamiyyah dan dibawa ke Madrasah tersebut di desa Bek Ornlong, Wilayah Kampong Cham. Kami tiba di destinasi yang dituju pada pukul 1600 setelah 6 jam dalam perjalanan dengan menaiki bas. Kami disambut meriah oleh adik-adik daripada pelajar Madrasah Al-Nikmah Al-Islamiyyah, tenaga pengajar dan Pengasas Madrasah iaitu Ustaz Thohir merangkap Pegawai Agama Islam Daerah. 

          Seterusnya, kami ditempatkan di rumah keluarga angkat masing- masing bagi penginapan kami di sini. Sejurus selepas itu, peserta dihidangkan dengan makanan tradisional Kampong Cham yang disediakan oleh tuan rumah penduduk di sana. Keramahan masyarakat Desa Bek Ornlong membuat kami terpesona dan tertarik dengan suasana desa tersebut. Hilang rasa malu dan janggal dengan layanan yang petah walaupun terdapat perbezaan bahasa komunikasi.  Sebelum bergerak masuk ke dalam penempatan masing-masing, peserta diberi taklimat ringkas oleh Encik Saiful yang merupakan kakitangan daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni iaitu merangkap ketua delegasi mengenai misi, visi dan perjalanan program di Madrasah beserta dengan harapan yang diletakkan oleh Naib Canselor ke atas program ini . Pada waktu malam, peserta ditugaskan untuk menyediakan segala kelengkapan untuk mengajar mengikut pembahagian kelas dan modul.



Setiba kami di KLIA2

Taklimat ringkas oleh Encik Saiful, staf daripada Jabatan Hal
 Ehwal Pelajar dan Alumni


17 November 2014 (Ahad)

           Seawal jam 0700, bertempat di Kampong Cham diadakan penyerahan pelajar  di hadapan masjid Madrasah Al-Nikmah Al-Islamiyyah yang diketuai oleh Ustaz Thohir.  Acara penyerahan pelajar kepada fasilitator In-Smartive dimulakan dengan ucapan alu-aluan seterusnya taklimat ringkas mengenai projek ini. Sesi penyerahan pelajar diteruskan dengan pemberian beg cenderahati kepada setiap pelajar. Beg tersebut mengandungi alatan untuk pembelajaran seperti workbook, kotak pensil dan buku catatan yang akan digunakan sepanjang projek.

Penyerahan pelajar Madrasah AL-Nikmah Al-Islamiyyah kepada
 fasilatator Kelab In-Smartive.




           Modul My Self dimulakan pada jam 0900 pelajar dibahagikan kepada tiga kelas dimana peserta kelas pertama terdiri daripada pelajar dalam lingkungan umur 5-12 tahun. Pelajar kelas kedua  untuk yang berumur 8-15 tahun dan kelas ketiga pula bagi pelajar yang berumur12-17 tahun. Seramai 4 orang fasilitator yang ditugaskan untuk setiap kelas. Untuk sesi pagi, pelajar diajar nombor asas (1-10) dan perkenalan diri dalam Bahasa Inggeris. Kami lebih menggunakan gaya pengerakan dalam teknik pengajaran untuk memudahkan mereka memahami. Kami juga dibantu oleh perterjemaah untuk setiap kelas yang terdiri daripada pelajar di madrasah tersebut . 

        Sesi pembelajaran kami diselangi dengan refreshment yang bertajuk Chicken Numbers dan Let me introduce Myself. Pengajaran juga telah disampaikan melalui permainan interaktif menjawab soalan pada kertas mahjung yang dinamakan Sweet Circle,Snake and Ladder dan Dice Race. Para pelajar menunjukkan semangat belajar yang tinggi. Jika mahu dibandingkan semangat yang ditunjukkan oleh mereka dengan persekitaran pembelajaran di Malaysia, agak jauh berbeza. Walaupun mereka tidak tahu jawapan terhadap soalan yang diajukan, mereka tetap mengangkat tangan. Menarik bukan?

          Pada sesi petang, para fasilitator melanjutkan pengajaran dan latihan dalam kumpulan bagi mengukuhkan lagi ingatan mereka pada pembelajaran tadi. Pada sesi malam pula, peserta dibahagikan kepada dua kelas untuk modul  My World. Satu kelas akan diajar Singing dan satu lagi kelas akan diajar Action Song. Pada hari pertama, fasilitator mengajar cara sebutan perkataan dalam Bahasa Inggeris dengan betul kepada setiap pelajar.

Saudara Mukhris mengajar numbers dalam kumpulan

Para pelajar berbincang dalam kumpulan untuk menyiapkan
 latihan dalam workbook


Para pelajar belajar sebutan dalam bahasa Inggeris dalam 
slot my world
29 November 2014 (Selasa)

         Seawal jam 0800, diteruskan dengan modul My Friends. Para pelajar didedahkan dengan perkataan He, She, It, They, We,I dan penerangan dalam Bahasa Inggeris juga tidak ketinggalan. Selain itu, peserta juga diajar cara untuk menggunakan pronouns , verb to be dan Action verb. Sesi pembelajaran diselangi dengan refreshment, Personal Pronouns, I am happy dan permainan interaktif seperti Kelopak Jantung, One,two,go! dan One,two,action!.

          Pada sesi petang, peserta diajar berdasarkan setiap gambar (Action) disertakan dengan pergerakan. Latihan dalam kumpulan telah dijalankan bagi mengukuhkan lagi ingatan dan  menguji tahap kefahaman mereka. Seperti modul sebelumnya, jurubahasa akan membantu fasilitator dalam menyampaikan arahan dan cara perlaksanaan modul kepada para pelajar . Pada malam kedua untuk modul My World, peserta diajar  bahasa dan gaya yang perlu dilakukan mengikut kesesuaian skrip untuk persembahan masing-masing.

Saudara zarif mengendalikan pengajaran  dan pembelajaran
 dalam kelas 1
Para pelajar melekatkan kad yang diberikan kepada setiap 
orang pada padanan yang betul.


Pelajar diajar gaya pesembahan oleh para pengajar 
slot My World.


20 November 2014 (Rabu)

           Modul My Village dimulakan seawal jam 8. Dalam modul ini,  kami memfokuskan beberapa perkataan asas di sekeliling mereka iaitu home, flower, tree, grass, cow, cloud dan warna asas. Permainan Interaktif My Dream Village dan refreshment BOOM  serta YOU ARE HOLDING dipraktikkan dalam sesi iniPara pelajar dikehendaki melukis gambar persekitaran kampung mereka di atas kertas mahjung dengan pengetahuan yang mereka pelajari dalam sesi pembelajaran sebelum itu. Modul ini merupakan modul terakhir  dalam kelas. 

          Di sebelah petang pula,  diadakan satu jamuan di Madrasah An-Nikmah. Jamuan ini diadakan setelah berakhirnya sesi pengajaran dan pembelajaran oleh kami para peserta Titik Sentuhan dan adik-adik madrasah. Gotong-royong bagi menyediakan kelengkapan memasak dan juga melapah seekor lembu turut disertai oleh kami bersama-sama masyarakat Desa Bek Ornloung, Kampung Cham. Walaupun sedikit berbeza cara masakan di sini namun tetap membuka selera apabila dinikmati bersama-sama adik-adik madrasah dan juga masyarakat kampung. Semangat komuniti di sana sangat tinggi dan majlis tersebut begitu meriah. 

          Ini memberikan kami pengalaman yang sangat luar biasa dan berharga. Turut hadir memeriahkan kenduri desa ini ialah Imam Besar Daerah Stueng Trang, Ustaz Ahmad Abu Talib; Pengetua Madrasah al-Nikmah al-Islamiyyah, Ustaz Thahir Harun dan Ketua Penyelidik Pejabat Naib Canselor yang juga Penasihat Kelab In-Smartive, Encik Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain. Pada malam hari pula,  majlis perpisahan kami bersama dengan pelajar dan masyarakat Kampung Cham diadakan.  Persembahan dimulakan oleh para pelajar berdasarkan pembelajaran modul ‘My World’, diikuti dengan persembahan Joget Pahang oleh Fasilitator Kelab In-Smartive dan seterusnya penyampaian sijil kepada setiap wakil kelas pelajar. Acara diakhiri dengan penyerahan fail yang mengandungi profil semua pelajar Madrasah Al-Nikmah Al-Islamiyyah kepada Pengasas Madrasah iaitu Ustaz Tahir.


Saudari Tety Hazira mengendalikan slot “my village”
Pelajar berebut-rebut untuk menjawab soalan yang diberikan 
oleh fasilitator.

Para fasilitator dan masyarakat Wilayah Kampong Cham menolong
dalam kenduri komuniti.

Masyarakat di kampong Cham berkerjasama memasak untuk 
kenduri komuniti.

Di sekitar jamuan di Madrasah Al-Nikmat Al-Islamiyyah.

Persembahan daripada para pelajar dari slot “My World”.

Penyerahan sijil kepada tenaga pengajar Madrasah Al-Nikmat 
Al-Islamiyyah.

Penyerahan fail 'profiling' kepada Pengetua Madrasah 
Al-Nikmat Al-Islamiyyah.
Masyarakat Desa Ornlong, Kampong Cham dan pelajar yang datang 
semasa malam perpisahan.



21 November 2014 (Khamis)

         Selepas bersarapan buat kali terakhir di kampong Cham, kami bersalaman dengan para pelajar dan ke Bandar Phnom Penh. Berakhirlah permukiman kami selama 6 hari di Desa Baik Anlong, Kampong Cham. Berakhirlah juga tugas kami mengajar dan berkongsi ilmu bersama adik-adik disini. Rasa rindu kepada desa ini menyelubungi kami para fasilitator Kelab In-Smartive. Hanya semangat gigih penduduk desa meneruskan kehidupan dan semangat adik-adik peserta menuntut ilmu dibawa pulang ke Malaysia kelak. Kehidupan yang serba sederhana penduduk disini namun kejujuran dan keikhlasan serta harga diri sentiasa bersama mereka.

          Setelah selesai urusan daftar masuk ke hotel, kami menuju ke destinasi seterusnya iaitu National Universiti of Management pada jam 1600. Banyak perkara dapat kami bincangkan dan mengetahui tentang cara pembelajaran di universiti di sana. Mereka mempunyai uniform tersendiri untuk identiti mereka dan kebanyakkan mereka berkerja  sambil belajar untuk menanggung pengajian mereka di sana.  Lawatan kami di teruskan lagi dengan mengunjungi  kediaman Mufti Hj.Kamaruddin Yusof  iaitu Ketua Pengarah Pusat Islam Kemboja. Banyak maklumat menarik yang telah dikongsikan kepada para peserta mengenai sejarah Islam di Kemboja.


Perbincangan antara Pentadbir National Universiti Of Management dengan 
En Wan Nazrul Helmy dan En Saiful serta peserta Titik Sentuhan @ Kemboja

Lawatan singkat di kediaman Mufti Hj Kamaruddin Yusof  iaitu Ketua 
Pengarah Pusat Islam Kemboja.

22 November 2014 (Jumaat)

         Hari kedua di bandar Phnom Penh,  kami dibawa ke dua buah muzium iaitu Toul Sleng Genocide Museum dan Natioanal Museum of Cambodia. Toul Sleng Genocide Museum merupakan sebuah bangunan sekolah yang ditukarkan kepada sebuah pusat tahanan dan seksaan bagi tawanan perang di era perang saudara Kemboja semasa di nawah penguasaan Solath Sar, atau nama timangannya Pol Pot. Muzium ini menceritakan kembali cara pembunuhan dan penyeksaan terhadap tahanan perang terdiri daripada yang cerdik pandai, agamawan dan rakyat biasa dengan kejam. National Museum of Cambodia pula memberi informasi berkenaan sejarah dan seni ukir bagi era Kemboja Kuno iaitu di awal zaman perkembangan agama Hindu-Budha.

          Pada jam 1830 dan kami kemudiannya menuju ke Night Market yang tidak jauh dari situ. Keunikan Night Market tersebut ialah para pengunjung disediakan hamparan tikar di tengah-tengah pasar tersebut yang menjual pelbagai juadah makanan.  Kami dihidangkan makan malam yang ringkas dan sedap dan selepas itu kami diberi peluang untuk menghayati sendiri bandar Pnom Penh pada waktu malam. Para peserta mengambil peluang untuk menyelusuri kawasan jualan di Night Market, menaiki Tuk-tuk untuk melawat tempat-tempat menarik seperti Istana Diraja (The Royal Palace), Monumen Raja Sihanouk (Norodum Sihanouk Monument), dan Monumen Kemerdekaan Negara Kemboja (The Monument of Independece of Cambodia). Pada jam 2100,  semua peserta sudah memulakan sesi post-mortem bagi berkongsi pendapat dan mengambil kembali iktibar bagi perjalanan hari ini dan merancang perjalanan pulang pada hari esok.


Di sekitar lawatan ke Toul Sleng Genocide Museum


23 November 2014 (Sabtu) 

Perbezaan yang digunakan tidak mematah semangat kami untuk terus memberi khidmat bakti kepada adik-adik. Mereka disana menggunakan bahasa melayu champa.Nama seakan sama namun jauh berbeza dgn bahasa melayu yg digunakan di Malaysia.Walaupun kekadang terpaksa membuka kamus sendiri dan menggunakan khidmat perterjemah untuk menyampaikan sesuatu kepada adik-adik,  jiwa ini terus bersemangat untuk meneruskan hari-hari seterusnya. Satu pengalaman yg amat berharga dapat mempelajari bahasa asing.Pada jam 0900, para peserta diberi peluang untuk membeli-belah barangan dan cenderahati di sekitar Central Market dan Russian Market sebelum pulang ke Malaysia. 

Selesai sesi daftar keluar daripada hotel, Fasilitator Kelab In-Smartive bergerak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh pada jam 1600 menaiki bas yang telah disediakan. Penerbangan pulang ke Malaysia adalah pada jam 1700 dan kami selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) tepat jam 2000 waktu tempatan.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada barisan tenaga pengajar dari Madrasah iaitu Ustaz Mokhtae, Ustaz Ahmad, Ustaz Thohir, Ustazah Aminah dan Ustazah Nur yang mengalu-alukan kedatangan kami.Semoga Madrasah tersebut terus menyinar dengan syiar Islam dan bergerak seiring keperluan pembangunan pendidikan bagi masyarakat Champa khususnya.

Barisan Fasilitator Smart Reach Out Project @ Kemboja bersama
 Penasihat Kelab In-Smartive.

Barisan tenaga pengajar dari Kelab In-Smartive UMP yang berkhidmat di
 Madrasah Al-Nikmah Al-Islamiyah, Desa Bek Ornlong, Stung Treng,
 Kemboja pada 16-23 November 2014

"Ilmu yang dimiliki malah dikongsi akan bertambah, sekiranya kamu merindui ilmu maka berkongsilah. Nescaya ilmu itu akan bertambah dari setiap sisi. InShaAllah."

#SROCambodia
#InSmartive

Credit to : Nur Syafiqah binti Kamaruzaman


You Might Also Like

0 comments

Rakan Blog InSmartive

Total Pageviews