KEM INTERAKSI PEMIMPIN MUDA (IN-TEAM) TAHUNAN IN-SMARTIVE 2014
7:27 PM
Pada 18 hingga 20 Oktober
2014, telah berlangsungnya Kem Interaksi Pemimpin Muda (IN-TEAM)
Tahunan bagi ahli-ahli Kelab In-Smartive, Universiti Malaysia Pahang (UMP). Kem
ini disertai oleh 114 orang mahasiswa UMP yang terdiri daripada ahli-ahli baru
serta ahli kanan In-Smartive. Seramai 11 orang fasilitator serta 6 orang
urusetia daripada kelab In-Smartive turut sama menjayakan kem ini . Kem ini
telah berlangsung dengan jayanya di Yusbika Kem, Paloh Hinai, Pekan, Pahang.
Objektif kem ini adalah sebagai
induksi kepada ahli-ahli baru serta melahirkan ahli-ahli yang komited, bersatu
padu berkeupayaan untuk memimpin. Selain itu, kem ini juga diadakan untuk
memantapkan kepimpinan peserta dan juga ketahanan fizikal dan mental mereka sebagai
seorang pemimpin. Kem ini dikelola oleh ketua urusetia iaitu saudari Tety
Hazira dan ketua fasilitator saudari Safiah.
18 Oktober 2014
Pergerakan bas daripada
kedua-dua buah kampus Pekan dan Gambang bermula jam 6.30 pagi. Para peserta
telah berkumpul dan bersedia di hentian bas sebelum itu. Setibanya para peserta
di Kem Yusbika, Paloh Hinai, para peserta diberikan taklimat ringkas. Oleh
kerana bas daripada kampus Pekan mengalami sedikit kelewatan, para peserta
daripada kampus Gambang memulakan terlebih dahulu sesi mendirikan khemah menerusi
slot ‘Rumahku Syurgaku’. Setibanya para peserta daripada kampus Pekan, sesi
mendirikan khemah turut disertai mereka.
Setelah selesai mendirikan
khemah, para peserta dihumpankan sekali lagi bagi diberikan taklimat melalui
slot ‘Taklimat Pentadbiran’. Di dalam taklimat tersebut, para peserta
dijelaskan dengan tema kem pada tahun ini iaitu ‘Bijaksana’ serta konsep atau
prinsip ‘One For All, All For One’ yang menekankan kesatu paduan dalam
berpasukan serta ‘Pilihan dan Berdikari’ yang memberi ruang kepada peserta
untuk membuat pilihan. Pada sesi ini juga tag nama dan barang amanah diberikan
kepada para peserta. Mereka juga diminta untuk menyerahkan barang-barang
berharga kepada fasilitator atas faktor keselamatan.
Seterusnya diteruskan dengan
slot ‘Ice Breaking’ yang bertujuan untuk mengurangkan rasa kekok dan kaku
antara peserta yang masih baru serta membahagikan mereka kepada 12 kumpulan.
Beberapa aktiviti diisikan didalam slot ini seperti nilai harta, ‘propose,
marry, and divorce’, dan ‘sifir sotong’.
'Ice Breaking' sedang dijalankan. |
Sebelum sesi pagi ditamatkan
dengan solat Zohor dan khidmat diri, para peserta telah diberikan ruang dan
peluang untuk bermanifesto menerusi slot ‘Manifesto’ di mana di dalam slot ini mereka perlu memilih
calon-calon barisan kepimpinan mereka sendiri untuk memimpin dan melancarkan
urusan mereka sepanjang kem ini berlangsung. Sebagai salah metod dalam sistem
demokrasi, calon-calon pemimpin telah memberikan hujah-hujah dan ‘janji’ bagi
menarik minat rakan-rakan peserta untuk mengundi diri mereka. Setelah itu, sesi
pengundian telah dijalankan dan beberapa orang peserta telah dipilih dan
dilantik sebagai barisan kepimpinan kem.
Perdana Menteri program sedang menerangkan Warta Hukuman. |
Setelah selesai makan tengah
hari dan slot berjemaah, sesi petang dimulakan dengan slot ‘Bandage’. Slot ini
adalah sebagai satu medium kepada para peserta untuk berbincang dan membina
identiti kumpulan masing-masing. Mereka dikehendaki untuk menghasilkan bandage
(kain balutan) yang mempunyai logo identiti kumpulan serta satu bendera naungan
keseluruhan pasukan mereka selain menghasilkan ‘cheer’ atau sorakan kumpulan. Seterusnya
para peserta membentangkan identiti kumpulan dan pasukan mereka kepada barisan
fasilitator. Lengkap dengan identiti pasukan, barisan kepimpinan peserta kem
ini ditabalkan secara rasmi oleh Presiden In-Smartive, saudara Asyraf bin
Ahmad. Sepanjang kem ini, pemimpin peserta diberikan gelaran seperti Dato’,
Dato’ Seri, dan Tun yang mencerminkan kepimpinan negara.
Tamat sesi ‘Team Building’
diteruskan pula dengan fokus seterusnya iaitu ‘Character Building’. Dimulakan
dengan slot ‘Lagu In-Smartive’, para peserta dikehendaki mencipta dan
mempersembahkan lagu-lagu versi Acapella di mana mereka tidak disediakan
sebarang alat muzik dan bantuan audio. Pelbagai ilham telah dizahirkan dan para
peserta menunjukkan bakat dan kebolehan masing-masing secara berkumpulan.
Seterusnya para peserta menunaikan solat Asar berjemaah, sebelum mereka dibawa
untuk beriadah dengan berjogging di sekitar kawasan kem dan tibanya waktu makan
malam.
Peserta sedang memikirkan gaya serta nyanyian untuk slot 'Lagu In-Smartive'. |
Bermula jam 8.30 malam,
diteruskan slot seterunsya iaitu ‘Penyelesaian Masalah: 8 karakter’. Para
peserta didedahkan dengan 8 jenis karakter yang mempunyai kemungkinan wujud di
dalam sesebuah organisasi terutamanya dalam Kelab In-Smartive sendiri dan
melakukan analisis terhadap karakter-karakter ini untuk dinilai dan mencari
penyelesaian terhadap sebrang kemungkinan yang bakal timbul. Memantapkan lagi
sesi malam ini, slot seterusnya adalah slot ‘Leader Without Title’. Di dalam
slot ini para peserta didedahkan dengan persepsi seseorang individu biasa tanpa
memegang jawatan mampu untuk menjadi seorang pemimpin dan bagaimana untuk
mengelakkan daripada mempunyai 8 karekter yang telah dibincangkan sebelum ini
menggunakan ‘S.W.O.T Analysis’.
Penerangan 8 karekter mengikut keputusan 'S.W.O.T Analysis'. |
19 Oktober
2014
Seawal jam
4.30 pagi para peserta bangun dari tidur serta bersiap untuk mendirikan solat
sunat Tahajud dan solat Subuh sebelum bersarapan. Diteruskan dengan slot
pertama, ‘Last Man Standing’. Berbanding pada kebiasaan sebelumnya, fokus utama
slot ini lebih tertumpu pada kemahiran peserta untuk menjawab hujah-hujah serta
provokasi yang dilontarkan oleh pendengar. Peserta dikehendaki untuk berdiri di
atas tempat yang lebih tinggi seperti kerusi untuk menyampaikan hujah agar
tampil lebih semangat dan gah. Para peserta telah dibahagikan kepada 3 kumpulan
besar agar penyampaian dalam slot ini menjadi lebih mudah.
Peserta sedang menyampaikan hujahnya. |
Sesudah kudapan pagi, slot seterusnya
adalah ‘In-Smartive & Legasi’. Para peserta didedahkan dengan simulasi
situasi sebenar pembikinan sesebuah inisiatif atau projek dari segi sebelum,
semasa, dan selepas perlaksanaan. Antara perkara yang ditekankan adalah
cara-cara menyediakan kertas kerja, tempahan bas, permohonan kewangan dan
penghantaran laporan kepada jabatan-jabatan universiti yang berkaitan.
Wakil Majlis Eksekutif (ME) sedang menerangkan berkenaan kertas kerja. |
Antara cabaran utama dalam kem ini
adalah daya ketahanan mental selain fizikal. Oleh itu, slot setersusnya iaitu
‘Cheers War’ dilaksanakan bagi mengurangkan kepenatan minda. Para peserta
dikehendaki berbincang dalam kumpulan masing-masing bagi mencipta pelbagai
sorakan untuk dipertarungkan. Seterusnya mereka akan saling berbalas sorakan
antara kumpulan. Suasana ceria dapat diwujudkan semasa sesi ini dijalankan.
Perancangan asal untuk
bergotong-royong selepas solat Asar terbantut kerana cuaca tidak mengizinkan.
Oleh itu, slot seterusnya diisi dengan slot ‘Refreshment’. Para peserta
bersama-sama fasilitator berlatih melakukan koleksi-koleksi refreshment
In-Smartive. Refreshment adalah salah satu keunikan yang dibawa oleh kelab
melalui inisiatif-inisiatif sedia ada kepada masyarakat sebagai sampingan yang
menghilangkan keletihan dan kelesuan peserta-peserta.
Selesai solat Maghrib dan Isyak,
slot ‘Route to Mecca’ dijalankan. Didalam slot ini para peserta diberikan
peta-peta laluan khas dari Malaysia untuk menuju ke Tanah Suci Mekah. Slot ini
menguji ketajaman dan kepekaan para peserta untuk merancang dan meneliti laluan-laluan
khas serta kaedah untuk ke Mekah selain dapat menanamkan hasrat dalam diri
masing-masing untuk menunaikan ibadah haji di sana suatu hari nanti.
Peserta sedang menyelesaikan masalah dalam 'Road to Mecca'. |
Sebelum para peserta dibenarkan
untuk tidur, sesi muhasabah diri dilaksanakan. Fokus muhasabah diri pada kali
ini adalah bagaimana para peserta perlu menghayati betapa pentingnya bagi
mereka untuk menjaga sesuatu amanah dengan baik dan menghayati kepentingan
setiap individu di dalam In-Smartive.
20 Oktober
2014
Hari terakhir pelaksanaan kem
In-Team Tahunan In-Smartive sekali lagi dimulakan dengan solat Tahajud dan
solat Subuh di awal pagi. Sebelum bersarapan, para peserta diberikan kebebasan
untuk melakukan aktiviti sendiri menerusi slot khas ‘Suke Hati Kome’. Sepanjang
waktu ini para peserta dibenarkan untuk berkemas dan bersiap peralatan dan
barangan sebelum keberangkatan pulang di sebelah petang.
Sesudah sarapan, slot ‘Penyelesaian
Masalah: Adab & Budaya’ dilaksanakan. Menerusi slot ini para peserta dapat
melakukan penilaian dan refleksi terhadap diri sendiri serta setiap aspek
urusan kelab melalui pendekatan modul ‘Salah Siapa?’. Para peserta membahas
serta mempidatokan hujah-hujah mereka bagi mengembangkan lagi idea-idea dan
potensi mereka.
Selepas solat fardhu Zohor dan makan
tengah hari, sesi diteruskan lagi dengan memberi peluang kepada calon-calon
Majlis Eksekutif Kelab In-Smartive yang turut sama dalam kem ini untuk bercakap dan berkongsi pengalaman serta
pengetahuan di hadapan bersama-sama ahli In-Smartive yang baharu. Mereka ini
adalah calon-calon pewaris bagi pimpinan kelab yang bakal menggantikan kepimpinan
sekarang.
Antara calon ME yang berkongsi pandangan. |
Persiapan untuk majlis penutup
dilakukan sebelum solat Zohor berjemaah. Setelah para peserta selesai melakukan
khidmat diri, Majlis Perasmian Penutup bermula pada jam 1.30 tengah hari.
Majlis disempurnakan dengan perasmian oleh Encik Wan Nazrul Helmy bin Wan Muhd
Zain, Ketua Penyelidik kepada Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang merangkap
Penasihat Kelab In-Smartive. Majlis tamat pada jam 4.00 petang menandakan
tamatnya Kem In-Team Tahunan In-Smartive 2014. Pergerakan pulang peserta dan
fasilitator ke kampus bermula setibanya bas di Yusbika Kem.
Anda adalah generasi yang akan menjaga In-Smartive pada masa hadapan. Syabas dan tahniah! |
0 comments