PROJEK SEMAIAN BUDI 2.0

8:00 AM


Agenda bermula pada 19 Januari 2013 jam 2300 di mana seramai 28 orang peserta begerak keluar dari UMP Gambang menuju ke destinasi program di Sungai Petani, Kedah Darul Aman. Pergerakan berjalan lancar dan selamat sampai ke destinasi. Walaubagaimanapun, para peserta telah bertandang ke Pulau Pinang terlebih dahulu.

Di sana, kami telah mengambil kesempatan melihat suasana “Penang Road” yang tak pernah lengang daripada pengunjung. Di situ, terdapat pelbagai jenis makanan antaranya jeruk buah dan terdapat juga barangan-barangan lelong yang semestinya membuatkan para pengunjung berasa rambang mata. Di samping itu, kami turut tidak melepaskan peluang berkunjung ke Muzium Tan Sri P. Ramlee serta replika rumah beliau.


Agenda diteruskan dengan solat zohor berjemaah di masjid Negeri Pulau Pinang selepas selesai makan tengah hari. Destinasi terakhir di Pulau Pinang ialah kompleks membeli-belah Queen Bay. Bas seterusnya bergerak membawa kami ke tempat program pertama di SMS Mohammad Jiwa.

Ketibaan kami disambut baik oleh seorang warden asrama sekolah tersebut. Kami seterusnya menguruskan diri sendiri sebelum bertemu para pelajar tingkatan lima sekolah berprestasi tinggi (SBT) itu. Program Kilauan Mutiara Mini ini di sertai seramai 161 pelajar tingkatan lima SMS Mohamad Jiwa (SMSMJ) dan telah dibahagikan kepada tiga kelompok oleh pihak sekolah. Pada sebelah malam, aktiviti Program Kilauan Mutiara Mini di mulakan dengan kelompok pertama melibatkan 51 orang pelajar. Aktiviti pada malam tersebut dimulakan dengan bacaan doa pembuka majlis sebelum diteruskan dengan slot Selangkah Ke Universiti yang di sampaikan sendiri oleh penasihat Kelab Insmartive iaitu Encik Wan Nazrul Helmy bin Wan Mohd Zain.

Slot Selangkah Ke Universiti
Tamat sahaja sesi perkongsian bersama Encik Wan Nazrul Helmy bin Wan Mohd Zain, aktiviti seterusnya di sambung dengan slot Jendela Jauhari di mana para pelajar telah dibahagikan kepada lima kumpulan kecil bagi memudah para pelajar melontarkan idea mereka. Objektif slot ini adalah melatih pelajar dalam membuat sesuatu perancangan dengan lebih efektif dengan mengutamakan perkara mana yang perlu di segerakan.

Pembentangan slot Jendela Jauhari
Pada hari kedua, bermulalah sketsa atau agenda utama Projek Semaian Budi 2.0 untuk kami semua di Rumah Seri Kenangan (RSK) Bedong yang tidak terlalu jauh dari SMSMJ. Sampai sahaja di RSK Bedong, kami berpeluang menghadiri sekali perhimpunan bersama warga RSK bedong. Selesai sudah perhimpunan, kami telah di berikan taklimat oleh salah seorang pegawai di sana mengenai etika atau peraturan sepanjang berada di RSK Bedong. Selepas taklimat di sampaikan kami di bahagikan kepada dua kumpulan iaitu lelaki dan perempuan. Setelah itu kami di bawa ke asrama atau wad di mana penghuni menetap dan tugasan di agihkan kepada semua orang yang terlibat.

Antara tugasan yang dilakukan oleh kami pada hari tersebut adalah menghidangkan makanan kepada penghuni di wad, memotong kuku, mencukur janggut dan misai, menukar lampin dan mencuci pinggan. Hari pertama semestinya memberi banyak kenangan manis mahupun sedikit pahit kepada peserta di samping ratusan pengajaran dan iktibar.

Mencukur misai dan janggut
Pada jam 1700 para peserta dibawa pulang ke SMSMJ. Selesai sahaja berkhidmat di RSK Bedong, pada sebelah malam kami meneruskan lagi aktiviti Projek Kilauan Mutiara mini bersama kelompok kedua yang di sertai oleh 53 orang pelajar. Aktiviti bersama kelompok kedua sama sahaja dengan kelompok pertama cumanya terdapat beberapa penambahan slot bagi memantapkan lagi perkongsian bersama pelajar. Slot penambahan yang di lakukan adalah slot “Timeline” di mana pelajar di beri sedikit pencerahan serta pendedahan akan perjalan masa hadapan mereka.

Slot "Timeline"
Pada keesokan harinya, kami bersiap sedia untuk menabur bakti atau berkhidmat semula di RSK Bedong. Sebelum memulakan kerja kami di RSK Bedong kami berpeluang pergi ke Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) daerah Bedong berhadapan dengan RSK Bedong. PDK daerah Bedong berbeza dengan RSK Bedong di mana PDK daerah bedong menempatkan golongan orang kurang upaya (OKU). Antara salah satu objektif PDK daerah Bedong adalah meningkatkan kualiti hidup bagi orang kurang upaya (OKU) ke tahap maksimum. Penghuni di sana di berikan didikan dan tunjuk ajar mengenai seni kraft tangan dan hasil kraft tangan mereka akan di pasarkan dan di jual. Semestinya hasil kraft tangan mereka sangat cantik, kreatif dan teliti. Kami juga berkesempatan masuk ke dalam bilik kanak-kanak istimewa yang hiperactive. Di sana kami dapat melihat telatah dan ragam kanak-kanak tersebut. Kesabaran yang tinggi sangat di perlukan dalam melayan dan mengasuh kanak-kanak tersebut. Sayu rasanya hati semasa meninggalkan bilik tersebut di mana terdapat salah seorang kanak-kanak tersebut menangis dan tidak mahu melepaskan kami pergi.

Membuat seni kraft tangan
Kami hanya mampu meluangkan masa yang singkat sahaja di sana kerana masih banyak kerja menanti kami di RSK Bedong. Pada hari kedua di RSK Bedong ini, terdapat aktiviti baharu yang perlu dilakukan oleh beberapa orang daripada kami semua iaitu menggunting rambut penghuni di sana. Bagi mereka yang tidak terlibat, mereka akan menyambung kerja-kerja atau rutin harian seperti semalam. Tepat jam 1500 tamat sudah khidmat kami di sana untuk hari ke dua dan kami bergerak pulang semula ke SMSMJ.

Pada malam ketiga, kami bersama dengan kelompok yang ketiga melibatkan 49 orang pelajar daripada kelas Sains Kejuruteraan. Malam ketiga merupakan malam terakhir bersama pelajar sekolah dan aktiviti yang di lakukan sama seperti hari sebelumnya iaitu sesi Selangkah Ke Universiti, 'Timeline' dan Jendela Jauhari.

23 Januari 2013 merupakan hari terakhir para peserta di SMS Mohamad Jiwa dan Rumah Seri Kenangan Bedong. Agenda pagi bermula dengan kunjungan hormat penasihat Kelab Insmartive kepada Pengetua SMSMJ. Cenderahati di berikan kepada Pengetua SMSMJ sebagai tanda kenang-kenangan daripada kelab Insmartive.

Penyerahan cenderahati kepada pengetua SMSMJ
Seterusnya, buat kali terakhir dalam program ini kami berkunjung semula ke RSK Bedong untuk menabur bakti kepada masyarakat. Kali ini, peserta-peserta turut disertai oleh beberapa kakitangan jabatan kesihatan RSK Bedong dalam usaha menceriakan penghuni di sana. Hari terakhir ini merupakan hari yang sangat bermakna bukan sahaja kepada kami bahkan juga kepada penghuni di sana. Sebelum bergerak pulang dari, cenderahati daripada Kelab Insmartive di serahkan kepada pihak RSK Bedong sebagai tanda kenang-kenangan.


Aktiviti program berakhir dengan kunjungan kami ke rumah saudara Ikram iaitu salah seorang daripada ahli Kelab Insmartive di mana kami telah dijemput hadir ke kenduri arwah yang telah ditaja oleh Pn Norliza bt Ahmad.


You Might Also Like

0 comments

Rakan Blog InSmartive

Total Pageviews