PROGRAM SELANGKAH KE UNIVERSITI

8:00 AM


Pada bulan September yang lalu, satu projek yang diberi nama Projek Selangkah ke Universiti 2012 Peringkat Negeri Pahang telah dijalankan Universiti Malaysia Pahang (UMP). Projek ini telah berlangsung selama 2 hari iaitu 19 hingga 20 September 2012. Seramai 150 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah tingkatan 4 yang terpilih dari sekolah – sekolah di 5 buah daerah yang terpilih di Negeri Pahang. Daerah – daerah tersebut terdiri daripada daerah Cameron Highland, Bentong, Temerloh, Bera, dan Pekan.

Bermula jam 9.00 pagi, semua fasilitator telah pun menunggu ketibaan para peserta di Astaka UMP. Pendaftaran dilakukan oleh guru – guru pengiring dari setiap sekolah. Setelah selesai mendaftar dan menguruskan beg pakaian masing – masing, semua pelajar dikehendaki berkumpul untuk diberikan taklimat iaitu slot 1 yang disampaikan oleh penasihat kelab In – Smartive. Semasa taklimat tersebut, para fasilitator ditugaskan untuk mengedarkan tag nama, folder, beg, kemeja T dan sebagainya kepada semua peserta. Selepas sesi taklimat diberikan, para peserta dan guru pengiring dijamu hidangan ringan yang telah disediakan.

Taklimat yang disampaikan oleh Penasihat Kelab Insmartive
Ketibaan para peserta
Pembahagian tag nama, folder, beg, kemeja T dan sebagainya

Setelah menikmati kudapan, semua pelajar berkumpul kembali tepat 11.00 pagi untuk slot 2 iaitu “Tak Kenal Maka Tak Cinta”. Semasa slot ini 40 orang fasilitator Kelab In – Smartive diperkenalkan oleh Penasihat In – Smartive iaitu En. Wan Nazrul Helmy bin Mohd Zain kepada peserta. Setelah diperkenalkan, peserta juga akan melakukan sesi ice breaking yang dikelola oleh ketua fasilitator iaitu Saudara Badruzzaman Hj. Idris dan dibantu oleh semua ahli fasilitator. Peserta dibahagikan kepada 15 kumpulan dan 10 orang setiap kumpulan yang terdiri daripada pelbagai daerah. Ice breaking yang dijalankan melalui permainan yang diberi nama “Bang Bang Bang”. Aktiviti ini bertujuan untuk para peserta mengenali ahli kumpulan dengan lebih dekat lagi.

Perkenalan para fasilitator
Ice breaking yang menggunakan permainan "Bang Bang Bang"

Setelah itu, peserta berkumpul mengikut daerah masing – masing. Dengan kelolaan Penasihat In –Smartive, pembentukan jawatankuasa kebajikan, penginapan, makanan dan disiplin yang diketuai oleh penghulu dan penghuluwati telah dilakukan. Penghulu, penghuluwati dan AJK-AJK terpilih berdasarkan undian tertinggi di kalangan para peserta sendiri. Setiap AJK yang terpilih telah diarahkan untuk mengikuti arahan selanjutnya oleh fasilitator yang bertugas.


Setelah selesai sesi Ice breaking, para peserta menikmati makan tengahari dan peserta muslim mula melakukan pergerakan ke Masjid UMP untuk menunaikan solat zohor bagi daerah Pekan dan solat jamak bagi lain-lain daerah. Para peserta kembali ke Astaka untuk meneruskan slot yang ke – 3 iaitu mempelajari cara “Mind Map” yang berkesan. Peserta akan diberikan pendedahan terhadap kaedah sebenar kemahiran belajar secara peta minda yang diperkenalkan oleh Tony Buzan dan kepentingannya dengan strategi pembelajaran di universiti. Para peserta kelihatan sangat gembira semasa membuat peta minda tersebut dan tidak sabar untuk mengaplikasikannya ketika di dalam kelas. 


Para peserta mengambil makanan tengah hari masing-masing
Para peserta mempraktikkan "Mind Map" yang di ajar

Diteruskan dengan slot 4 iaitu “Campus tour” di mana para peserta bergerak dalam kumpulan dan diiringi fasilitator masing – masing berjalan dan melawat di sekitar UMP. Peserta sangat gembira apabila dapat berjalan dan melihat kawasan UMP dan ini merupakan pengalaman pertama mereka melawat kawasan universiti.


"Campus Tour"
Setelah peserta dari Pekan menunaikan solat Asar di masjid, semua peserta kembali berkumpul di Astaka untuk slot “Bob The Builder”. Peserta diberikan pendedahan mengenai prinsip asas ilmu struktur dan kejuteraan awam melalui aktiviti ini. Setiap kumpulan akan bersaing untuk membina struktur menggunakan cawan polisterin, gegelang getah, dan tali rafia yang perlu dipindahkan dari titik A ke titik B. Ketika aktiviti ini dijalankan, jelas kelihatan semangat berpasukan dan kerjasama antara ahli kumpulan masing-masing. Mereka berjaya menamatkan permainan interaktif ini dalam masa yang telah ditetapkan dan hasinya? Mereka sangat mengagumkan dan kreatif.

Selepas itu, peserta berkumpul untuk diberikan taklimat kolej kediaman oleh penasihat In – Smartive. Peserta lelaki akan menginap di Kolej Kediaman 2 (pergerakan dengan bas) manakala peserta perempuan akan menginap di Kolej Kediaman 1. Sebelum memulakan pergerakan, peserta diberikan bungkusan makanan untuk dinikmati di kolej kediaman masing – masing. Di kolej kediaman, peserta akan berehat, solat, dan membuat persediaan diri dengan memakai T – shirt UMP sebelum berkumpul tepat jam 8.30 malam untuk bergerak ke Astaka.

Tepat jam 9.00 malam, slot “Invent” dimulakan. Pada slot ini, peserta akan diberikan pendedahan mengenai Teknologi Hijau dan kepentingan kitar semula dalam kehidupan seharian. Setiap kumpulan akan bersaing untuk membina kit Green Science dalam 4 kategori yang berbeza iaitu Weather Station, Dynamo Torch, Enviro Battery, dan Windmill Generator. Pada awal aktiviti ini, para peserta kelihatan agak pening untuk menyiapkan tugasan tersebut. Namun, dengan bantuan fasi dan panduan dari buku manual mereka berjaya menyelesaikannya. Walaupun mengambil masa yang agak lama, apa yang dapat dibanggakan dengan peserta Selangkah Ke Universiti 2012 ialah mereka sangat bijak dan kreatif dalam mengaplikasi ilmu sains dengan menggunakan barang-barang yang terbuang. Apabila mereka berjaya menyiapkan tugasan ini, mereka diuji pula dengan soalan-soalan mencabar oleh panel penilai berdasarkan apa yang telah mereka.  Melalui aktiviti ini, kerjasama dan kebijaksanaan antara mereka dapat dilihat. Panel penilai bagi setiap kategori telah membuat pemarkahan bagi setiap kumpulan berdasarkan empat kriteria iaitu kepantasan (25%), fungsi (25%), kerjasama (25%) dan pembentangan (25%). Pemenang bagi setiap kategori telah diumumkan semasa Majlis Penutupan Selangkah Ke Universiti.

Peserta mengerah idea untuk slot "Invent"

Sesi seterusnya ialah “Happy Hour”. Peserta bersama – sama para fasilitator melakukan refreshment untuk lagu Selangkah ke Universiti, 1 Malaysia, Gemuruh dan ‘Such a Happy Day’. Dapat dilihat wajah-wajah ceria peserta ketika melakukan slot ini. Kemudian, peserta dibekalkan makanan ringan untuk minum malam dan seterusnya pulang ke kolej kediaman masing – masing untuk rehatkan diri dan tidur.


Pada hari kedua, setelah melakukan khidmat diri dan solat subuh, peserta telah mendaftar keluar dari kolej kediaman dan berkumpul untuk bergerak ke Astaka. Peserta akan menyimpan bagasi di ruang penyimpanan yang telah ditetapkan di Astaka. Setelah selesai, peserta bergerak ke Dewan Banquet Canseleri untuk slot “Morning Punch-In”. Peserta melakukan senaman ringan dan membuat raptai latihan untuk lagu Selangkah ke Universiti, 1 Malaysia dan Gemuruh yang akan dipersembahkan dihadapan Yang Dipertua BAKTI, YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor ketika Majlis Penutupan Selangkah Ke Universiti.

Sesi "Happy Hour"

Setelah itu, peserta menikmati sarapan pagi dan kembali ke dewan untuk meneruskan sesi seterusnya iaitu slot “D.I.C.E”. Sesi ini dikelola oleh Penasihat Kelab In – Smartive. Dalam aktiviti ini, peserta didedahkan dengan kemahiran membuat keputusan secara sistematik menggunakan teknik D.I.C.E iaitu ‘Define’, ‘Identify’, ‘Choose’, dan ‘Evaluate’. Peserta boleh menggunakan konsep ini apabila mahu melakukan perancangan selepas SPM. Seterusnya, peserta diminta untuk mempraktikkan pemahaman mereka terhadap teknik ini dengan menyelesaikan cabaran permainan ‘Nauru’ di akhir slot ini. Sesi seterusnya ialah sesi fotografi peserta- peserta, para fasilitator dan penasihat kelab. Sesi fotografi tersebut bertempat di hadapan bangunan Canseleri.


Sesi fotografi para peserta dan fasilitator lelaki
Sesi fotografi para peserta dan fasilitator lelaki

Selesai sahaja sesi fotografi, semua peserta kembali ke dalam dewan untuk slot “Battle of tongue”. Peserta dibahagikan kepada 2 kumpulan dan mereka dikehedaki membahaskan tajuk “Bakat atau Rupa”. Semasa aktiviti ini, berlaku sedikit kekecohan apabila masing – masing mahu menegakkan pendapat sendiri. Walau bagaimanapun, kegembiraan jelas terpancar di wajah masing – masing.


Sesi "Battle Of Tounge" antara peserta
Sesi "Battle Of Tounge" antara peserta

Setelah itu, diteruskan lagi dengan slot yang terakhir iaitu “Fifth Gear”. Di bawah  kelolaan penasihat kelab, para peserta membuat rumusan terhadap pengalaman mereka sepanjang 2 hari program dan mengisi borang maklum balas yang diedarkan. Peserta turut mendengar refleksi daripada para fasilitator. Terdapat pelbagai maklum balas yang kami terima daripada para peserta. Selesai sesi ini berakhir, peserta bergegas ke masjid untuk solat dan menukar pakaian kepada T – shirt BAKTI untuk majlis penutup.


Sesi "Fifth Gear"
Refleksi daripada peserta

Tepat jam 2.00 petang, semua peserta dan fasilitator telah berada di Astaka UMP bersiap sedia untuk Majlis Perasmian Penutup. Turut memberikan ucapan dalam majlis itu ialah Yang Dipertua BAKTI, YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor dan Profesor Dato’ Dr Daing Nasir Ibrahim, Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang. Perasmian penutup dilaksanakan oleh YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor.

Para peserta dan fisilitator membuat persembahan

Uniknya semasa majlis penutup tersebut, kita dapat menyaksikan penghulu menyampaikan ucapan. Walaupun agak kekok, penghulu tetap dapat menyampaikan dengan baik setelah diberikan latihan oleh Abang Wan dan Abang Acap. Beliau telah membuktikan yang beliau mampu berucap di hadapan lebih 200 orang. Ia merupakan satu percubaan yang baik. Di penghujung majlis penutupan, semua peserta dan fasilitator membuat persembahan melalui 3 buah lagu iaitu Selangkah ke Universiti, 1 Malaysia, Gemuruh beserta dengan gaya yang telah ditetapkan.


Selesai sahaja majlis tersebut, semua peserta berkumpul mengikut daerah masing – masing. Peserta mengambil bagasi masing – masing di tempat penyimpanan dan diserahkan kembali kepada wakil guru pengiring setiap daerah dan diiring hingga  ke bas untuk keberangkatan pulang ke daerah masing – masing.

Dengan berakhirnya program ini, kami berharap agar para peserta dapat memanfaatkan pengalaman yang mereka peroleh sepanjang berada di UMP. Mereka sangat beruntung kerana dapat merasai pengalaman bagaimana menjalani kehidupan sebagai pelajar universiti. Selain itu, kami juga berharap agar para peserta dapat menimba ilmu pengetahuan dan pelbagai pengalaman baru melalui slot – slot yang diadakan seterusnya dapat meningkatkan semangat mereka untuk meneruskan pelajaran ke universiti impian mereka. Akhir sekali, harapan kami ikatan yang terjalin antara para peserta dan fasilitator akan berpanjangan.


Majlis penutup



You Might Also Like

0 comments

Rakan Blog InSmartive

Total Pageviews