KEM INTERAKSI PEMIMPIN MUDA KOLEJ MATRIKULASI KEDAH

8:00 AM

Bertarikh 27 hingga 30 September 2012 bermulanya episod Kem Interaksi Pemimpin Muda (In-Team) di  Seri Juluk Resort, Naka  yang julung kali diadakan. Kem Interaksi Pemimpin Muda yang bertemakan “All For One & One For All” ini disertai oleh 80 orang peserta daripada pelajar Kolej Matrikulasi Teknikal Kedah yang terdiri di kalangan Kepimpinan Perwakilan Pelajar dan Pelajar berjawatan di asrama.Kem ini dapat dijayakan dengan hasil komitmen dan kerjasama 27 orang fasilitator yang terdiri daripada ahli Kelab In-Smartive. Sebelum tiba di Seri Juluk Resort, kami telah singgah sebentar di KMTK untuk solat zohor dan ketibaan kami di sana telah disambut oleh Tuan Muhamad Termizi Nurdin selaku penyelaras projek. Selesai solat zohor, kami bersama 80 orang peserta telah ke Seri Juluk Resort,Naka dan tiba di sana pada jam 5.30 petang. Setibanya di sana, wakil dari Kolej Matrikulasi Teknikal Kedah Tuan Amar Shah Ali, selaku Ketua Jabatan Pengurusan Pelajar telah merasmikan projek ini dan memberi sampul berisi senarai nama para peserta sempena simbolik penyerahan pihak In-Smartive.

Majlis perasmian dan sesi penyerahan
Selesai majlis penyerahan, taklimat telah di berikan oleh pengurus projek dan peserta telah di berikan beberapa barang amanah iaitu tag nama dan belon berisi air. Mereka juga telah di terangkan mengenai kod etika, ketepatan masa, disiplin dan slogan atau pendekatan yang akan di gunakan malah di aplikasikan sepanjang program iaitu "One For All, All For One". Jam tangan, telefon bimbit atau sebarang alat elektronik telah di kumpul dan di simpan di mana penggunaan sebarang alat elektronik adalah di haramkan sepanjang program.

Penyerahan barang amanah
Pada malam pertama di sana, aktiviti di mulakan dengan sesi "Tak Kenal Maka Tak Cinta" di mana perkenalan sesi barisan fasilitator yang di kelola oleh saudara Ahmad Muzaidi Bin Ab Razab. Sebelum beralih ke sesi yang seterusnya, malam itu telah terjadi satu peristiwa di mana penghulu dan penghuluwati menerima hukuman atas kesalahan anak buah mereka membuang makanan ke dalam tong sampah. Provokasi yang wujud menyebabkan situasi menjadi makin tegang di mana para peserta dalam di lema sama ada ingin membantu penghulu dan penghuluwati atau tidak. Namun atas semangat "All For One, One For All", ada peserta yang sanggup menerima hukuman bersama-sama.Sejurus hukuman dilaksanakan, para peserta  beralih pula kepada sesi ”Mulanya Di sini” dimana para peserta dibahagikan kepada 10 kumpulan. Setiap kumpulan diminta untuk mencipta bendera beserta kata-kata semangat yang melambangkan kumpulan mereka.

Mencipta bendera kumpulan
Pada keesokan harinya, dengan azam dan semangat yang baru para peserta telah bangun seawal 5.00 pagi untuk qiamulail yang diketuai oleh AJK Kerohanian. Selesai qiammulail dan solat subuh berjemaah, para peserta bersedia untuk aktiviti senam pagi. Kemudian ketabahan para peserta di uji lagi apabila mereka hanya dihidangkan ubi kayu bersama kelapa sebagai sarapan pagi mereka.

Menu sarapan pagi
Program diteruskan lagi dengan sesi “Light Camera Action”. Peserta perlu membentangkan bendera, motto serta visi dan misi kumpulan mereka. Antara nama kumpulan yang dicipta adalah The Incredible Six, 5 sense, The Seven, Taming Sari, Our Style, X-Tech, Positive Infinity, KAIZEN, Five Stars dan Go-Ten. Melalui aktiviti ini, para peserta akan diuji  bagaimana cara mereka berfikir untuk menjawab soalan yang dikemukakan serta kebolehan untuk bercakap dengan penuh keyakinan dihadapan khalayak ramai.

Sesi "Light Camera Action"
Kemudian para peserta beralih kepada sesi “D.I.C.E” pula. Sesi ini dikelola oleh Penasihat Kelab In-smartive sendiri, Encik Wan Nazrul Helmy bin Wan Mohd Zain. Aktiviti ini mendedahkan kemahiran membuat keputusan menggunakan teknik “D.I.C.E” iaitu Determine, Identify, Choose and Evaluate. Di akhir sesi, para peserta diminta untuk membentangkan kata sepakat mereka dalam membuat keputusan. Selesai sesi tersebut para peserta dijemput untuk makan tengah hari kemudian para peserta lelaki perlu bersiap sedia untuk ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat manakala para peserta perempuan dikehendaki solat zohor berjemaah.

Sesi "DICE"
Sesi seterusnya adalah “Last Man Standing”. Setiap kumpulan mempunyai beberapa orang fasilitator pembimbing dan mereka akan dinilai tahap keupayaan untuk mengawal diri dan emosi ketika berkomunikasi dalam pelbagai situasi dengan memahami jenis penonton. Antara aktiviti bagi sesi ini adalah “Battle of question”’ dan pertandingan berbahas menggunakan ayat penyata sahaja.

Antara yang berani berhujah di hadapan
Sesi seterusnya adalah “The Burj”. Dalam sesi ini para peserta dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu lelaki dan perempuan dan mereka akan bersaing untuk mendirikan sebuah struktur ‘menara’ yang seimbang dengan menyambung batang-batang paip pvc yang dibekalkan. Aktiviti ini memerlukan kerjasama yang sangat kuat antara ahli kumpulan. Selesai aktiviti ini, peserta diarahkan bergegas ke dewan makan dan bersiap sedia untuk solat maghrib berjemaah. Sebelum solat isyak, para peserta diberi sedikit pengisian oleh saudara Muhd Amirul Farhan Bin Arif Rahimi.

Kerjasama yang di tunjukkan bagi mendirikan sebuah menara
 Sesi pada malam itu diteruskan dengan slot “Who’s Who?” yang dikelola oleh Saudara Ahmad Muzaidi B Ab Razab. Aktiviti ini memerlukan beberapa orang peserta yang dipilih secara rawak untuk tampil kehadapan bagi membuat penilaian terhadap wajah pemimpin yang diletakkan dalam kotak yang disediakan.

Kemuncak sesi pada malam itu adalah sesi “Muhasabah Diri” yang dikendalikan sendiri oleh Encik Wan Nazrul Helmy selaku penasihat Kelab In-Smartive. Sesi ini bertujuan memberi kesedaran dan pengisian rohani kepada peserta dimana teknik ‘hard recall’ digunakan. Pelbagai mainan emosi telah melanda para peserta pada malam tersebut.  Malam yang cukup panjang bagi para peserta tersebut berakhir dengan sesi maaf bermaafan.

Pada hari terakhir  para peserta meneruskan satu lagi sesi iaitu “Resolusi”. Sesi ini dikelola oleh Encik Wan Nazrul Helmy bin Wan Mohd Zain dan dilakukan secara santai bagi mendengar pendapat dan luahan hati para peserta terhadap program ini. Antara luahan hati yang dilontarkan oleh salah seorang peserta iaitu Mohammad Ashraf Mohd Nazari yang menyatakan "Melalui pendedahan praktikal yang diterima daripada para fasilitator, kini saya memahami bahawa kepimpinan yang berkesan menuntut kerangka pemikiran positif selain kemahiran komunikasi serta kemampuan untuk mengawal diri dan mengurus tekanan".

Selesai sesi “Resolusi” para peserta beralih pula kepada sesi “Kuasa, Kudrat, Karisma atau Akal”. Sesi ini merupakan perkongsian khas mengenai cabaran penguatkuasaan undang-undang imigresen yang dijayakan oleh Komandan Depot Tahanan Imigresen Juru, Pulau Pinang, Encik Mohd Sabri Zainal.


Perkongsian santai dari Komandan Depot Tahanan Imigresen Juru, Pulau Pinang
Pada jam 1.00 petang, majlis penutup telah diadakan. Keunikan majlis ini meyaksikan keberanian pengerusi majlis menyahut cabaran untuk mengendalikan majlis tanpa sebarang teks ucapan bantuan daripada guru mereka. Majlis Penutup dirasmikan oleh Tuan Amar Shah Ali, selaku Ketua Jabatan Pengurusan Pelajar  dan majlis berakhir pada jam 3.30 petang. Darrshini A/P Tanabbal dinobatkan sebagai peserta wanita terbaik manakala Mohammad Ashraf Mohd Nazari sebagai peserta lelaki terbaik.

Wajah mereka yang pada awalnya tidak senang dengan kehadiran kami kini berubah. Hubungan antara para fasilitator dan para peserta sudah mulai akrab. Pelbagai kisah suka duka yang dilalui bersama sepanjang 3 hari. Latihan ,slot dan tunjuk ajar selama 3 hari ini masih tidak mencukupi bagi melahirkan seorang pemimpin yang berguna. Jika di awal program para peserta pasif, malu untuk bercakap, segan untuk bertindak dan tidak menepati masa tetapi di akhir program mereka membuktikan bahawa mereka adalah pemimpin yang berani, berdisplin, proaktif, berwibawa dan berkredibiliti. Sesungguhnya ilmu yang ada perlu diaplikasikan, perubahan yang wujud perlu istiqamah, semangat yang ditunjukkan perlu dikobarkan dan keihklasan itu perlu disematkan dalam setiap tindakan.




You Might Also Like

0 comments

Rakan Blog InSmartive

Follow by Email

Total Pageviews