TITIK SENTUHAN
8:00 AM
Pada 15 Jun 2012 bersamaan 25 Rejab 1433H, seramai 37 ahli kelab In-Smartive Universiti Malaysia Pahang telah menyertai projek Titik Sentuhan yang merupakan satu projek khas yang juga julung kali dijalankan. Projek Titik Sentuhan ini diadakan di negeri Kedah Darul Aman, iaitu di Rumah Seri Kenangan, Bedong dan di Pondok Remaja Inabah (1) Malaysia, Kuala Nerang. Tujuan projek ini adalah untuk mendekatkan peserta kepada penekanan aspek kerohanian dalam kehidupan seharian dan untuk membuka minda supaya lebih menerima mereka yang bermasalah sosial. Selain itu, matlamat projek ini adalah untuk para peserta akan dapat berkongsi dan mempraktikkan pendekatan yang dipelajari semasa projek ini kepada masyarakat.
Pada jam 11.00 malam, 15 Jun 2012, bermulalah perjalanan kami daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP) menuju ke Rumah Seri Kenangan Bedong, Kedah. Sebelum tiba di Rumah Kenangan Bedong, kami telah singgah di RnR Gunung Semanggol untuk solat subuh dan sarapan pagi. Kami meneruskan perjalanan dan telah tiba di Rumah Seri Kenangan Bedong, Kedah pada jam 9.30 pagi, 16 Jun 2012. Setibanya kami di Rumah Seri Kenangan Bedong, satu sesi taklimat telah diberikan oleh salah seorang daripada barisan staf dari Rumah Seri Kenangan Bedong. Menurut taklimat yang diberikan, Rumah Seri Kenangan Bedong ini mempunyai seramai 274 penghuni warga emas yang terdiri daripada 173 lelaki dan 104 perempuan. Sejurus tamat taklimat, satu sesi soal jawab berkaitan Rumah Seri Kenangan Bedong di buka kepada peserta-peserta. Setelah selesai sesi soal jawab, kami di bawa melawat sekitar Rumah Seri Kenangan dan penghuni-penghuni warga emas yang amat menyayat hati. Pelbagai cerita suka duka dikongsi melalui hati ke hati peserta dan warga-warga emas di Rumah Seri Kenangan Bedong.
Pada jam 12.30 tengah hari, 16 Jun 2012, kami telah bergerak keluar daripada Rumah Seri Kenangan Bedong, menuju ke Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa untuk makan tengah hari yang di uruskan oleh Pengurus Dewan Makan, Puan Maria dan juga solat zohor secara jamak. Selepas semua selesai, kami meneruskan perjalanan kami menuju ke Perusahaan Air Nira Nipah Segar Ismail Che Kar di Kuala Sedaka,Yan, Kedah. Disana kami telah diberikan pendedahan tentang bagaimana membuat air nira nipah. Disana kami merehat kan diri sambil menikmati air nira nipah segar dan laksa kedah yang kelazatannya tidak dapat digambarkan melalui ucapan kata.
Demonstrasi mengutip air nira
Pada jam 3.30 petang, 16 Jun 2012, kami bergerak meninggalkan Perusahaan Air Nira Nipah Segar Ismail Che Kar menuju ke Pondok Remaja Inabah (1) Malaysia, Kuala Nerang, Kedah. Sejurus tiba di Pondok Remaja Inabah (1) Malaysia, kami disambut baik oleh Ustaz Faez Bin Abu Bakar, yang juga menjadi fasilitator kami di sana. Kami di berikan taklimat oleh Ustaz Faez dan selepas itu kami mendaftar penginapan di Pondok Remaja Inabah. Selepas selesai proses mendaftar penginapan di Inabah, bermulalah aktiviti kami bersama pihak Pondok Remaja Inabah (1) Malaysia.
Aktiviti di Pondok Remaja Inabah (1) Malaysia ini lebih kearah bimbingan rohani. Disini kami di dedahkan dengan kepentingan zikir yang terbahagi kepada dua; Zikir Jahar dan Zikir Khafi yang wajib diamalkan selepas setiap solat fardhu sekurang-kurangnya 165 kali. Disini kami mempelajari kaedah-kaedah pemulihan yang lain seperti melalui kaedah mandi. Penghuni di Inabah atau di panggil sebagai anak bina, di ajarkan Mandi Taubat sebagai satu rutin harian. Mandi taubat ini adalah salah satu dari metoda pemulihan yang diterapkan disini. Aktiviti pada 16 Jun 2012 tamat pada jam 12.00 tengah malam.
Pada jam 3.30 pagi, 17 Jun 2012, kami telah bangun untuk memulakan aktiviti pertama bersama pihak Inabah iaitu Mandi Taubat. Selepas itu kami semua, bersama anak bina Pondok Remaja Inabah, secara berjemaah menunaikan solat sunat yang menjadi rutin disana. Antara solat sunat yang di lakukan ialah seperti solat sunat taubat, solat sunat hajat, solat sunat tahajjud dan solat sunat witr. Selepas itu, slot bersama Pak Guru Hj. Mohd Zuki Assyuja’ Bin. Shafie, peneraju Pondok Remaja Inabah (1) Malaysia dalam menerangkan pengertian zikir. Pada sebelah tengah hari, kami telah diberikan satu slot hati ke hati dengan anak bina yang pernah terjebak dengan najis dadah. Ketika waktu ini, kami dapat bersoal jawab dengan anak bina tentang pengalaman sewaktu terjebak dengan penagihan dadah dan pengalaman ketika berada di pondok remaja Inabah yang mengubah mereka. Selepas sesi ini, kami di berikan waktu untuk melakukan aktiviti sendiri. Peserta dibenarkan untuk beriadah bersama anak bina ataupun melawat sekitar Pondok Remaja Inabah. Hari itu di akhiri dengan satu slot Muhasabah Diri oleh Ustaz Faez kepada peserta-peserta.
Riadah
Pada jam 9.00 pagi, 18 Jun 2012, hari yang menjadi hari terakhir kami di Pondok Remaja Inabah. Pada pagi itu juga, satu Majlis Perasmian Penutup ringkas antara pihak Pondok Remaja Inabah dan peserta projek Titik Sentuhan dilaksanakan. Pak Guru Hj. Mohd Zuki Assyuja’ Bin. Shafie, peneraju Pondok Remaja Inabah (1) Malaysia telah di jemput untuk merasmikan majlis perasmian penutup projek ini. Sebelum merasmikan majlis penutup tersebut beliau sempat memberikan sedikit sebanyak pengajaran untuk dijadikan pedoman kami semua. “Memang baik menjadi orang penting, tapi lebih penting menjadi orang yang baik” merupakan antara kata-kata yang sempat kami perolehi.
Majlis Perasmian Penutup
Selepas selesai perasmian penutupan majlis, kami bergerak ke Kampung Sungai Baru untuk makan tengah hari. Makan tengah hari ini telah ditaja oleh keluarga saudari Haffizothul Ommi yang merupakan peserta dalam projek ini. Sekalung penghargaan diberikan kepada jasa baik keluarga Haffizothul Ommi kerana sudi menaja para peserta untuk makan tengah hari. Selepas selesai makan tengah hari, kami menuju ke Muzium Padi yang berdekatan sebagai selingan perjalanan kami sebelum menuju balik ke Universiti Malaysia Pahang.
0 comments